PM tidak harus sekali lagi memungkiri janji pilihan raya kepada rakyat Pulau Pinang

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak harus sekali lagi memungkiri janji pilihanraya kepada rakyat Pulau Pinang sepertimana yang dilakukan atas janji memansuhkan Akta Hasutan dengan menggantikannya dengan Akta HarmoniNegara baru yang merupakan janji tidak ditepati. Hari ini merupakan ulangtahun pertama pengumuman bersejarah oleh Datuk Seri Najib Razak pada 11 Julai 2012 dalam satu jamuan makan malam Jabatan Peguam Negara tentang Akta Hasutan 1948 dimansuhkan dan digantikan dengan Akta Harmoni Kebangsaan.

Saya masih ingat ucapan Perdana Menteri setahun lepas bahawa Akta Harmoni Negara akan memperkukuhkan hubungan erat peringkat kebangsaan dan membela perpaduan negara serta memupuk harmoni agama. Malangnya janji memansuhkan akta yang berusia 64 tahun ini tidak ditepati sehingga hari ini dan beberapa Menteri, termasuk Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, telahpun menentang ia dimansuhkan dan menyatakan ia akan dikekalkan.

Adakah janji-janji pilihanraya beliau kepada rakyat Pulau Pinang untuk membina 20,000 unit rumah mampu milik, sistem monorel dan membekalkan 200 bas tambahan Rapid Penang juga akan tinggal janji kosong dan menghampakan rakyat Pulau Pinang? Jawapan kepada soalan Parlimen saya adalah dibawah:-

NO. SOALAN: 22

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN

DEWAN RAKYAT, MALAYSIA

DARIPADA : Y.B. TUAN LIM GUAN ENG (BAGAN)

PERTANYAAN : LISAN

TARIKH : 08.07.2013

Y.B. TUAN LIM GUAN ENG [BAGAN] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan sama ada Kerajaan akan menunaikan janji membina 20,000 unit rumah mampu milik di Pulau Pinang, sistem monorel yang dijanjikan pada 2006 serta bas tambahan Rapid Penang (dijanji sejak 2010) untuk mengatasi kesesakan trafik. Apakah kos perbelanjaan serta nyatakan program infrastruktur jalan yang dicadangkan.

JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan sentiasa komited untuk memastikan janji-janji yang dibuat ditepati dan dilaksanakan untuk manfaat keseluruhannya. Manfaat yang diberikan adalah tidak terhad kepada negeri-negeri tertentu sahaja, malahan segala aspek perancangan dan pembangunan mengambil kira kesejahteraan rakyat di semua negeri di mana tiada rakyat yang akan terpinggir dari menikmati arus pembangunan Negara.

Sebagai Kerajaan yang sentiasa menepati janji dan mendahulukan rakyat, Kerajaan akan melaksanakan pembinaan perumahan mampu milik di Pulau Pinang sepertimana yang telah dinyatakan sebelum ini. Bagi peringkat awal, Kerajaan komited untuk membina 9,999 buah rumah mampu milik dan kos rendah di mana antara lokasi yang dikenal pasti adalah; Air Itam, Air Putih dan Paya Terubong. Dalam pada itu, pembinaan rumah mampu milik dan kos rendah tambahan juga sedang dalam pertimbangan dan akan diumumkan setelah dimuktamadkan.

Kerajaan sedia maklum akan keperluan untuk menambah baik mutu perkhidmatan pengangkutan awam di semua negeri di mana secara dasarnya segala perancangan untuk mempertingkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam sedang diselaraskan dan di dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) melalui satu pelan perancangan strategik yang komprehensif iaitu Rangka Kerja Nasional Pengangkutan Awam Darat. Oleh hal yang demikian, Negeri Pulau Pinang turut diberikan perhatian dalam usaha untuk menambah baik mutu perkhidmatan pengangkutan awam di negeri tersebut melalui penyediaan Rancangan Induk Pengangkutan Awam Darat khusus untuk Negeri Pulau Pinang. Penyediaan rancangan berkenaan adalah penting dan bertujuan untuk menampung permintaan pengangkutan awam dalam tempoh 20 tahun akan datang di Negeri Pulau Pinang selaras dengan kehendak Seksyen 3(3)(b), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010. Sehubungan dengan ini, cadangan pelaksanaan sistem monorel di Negeri Pulau Pinang dan integrasinya dengan sistem-sistem pengangkutam awam yang lain akan diteliti oleh SPAD semasa penyediaan rancangan berkenaan.

Selain itu, sukacitanya dimaklumkan bahawa rakyat Negeri Pulau Pinang bakal menikmati kemudahan pengangkutan awam bas baru yang lebih cekap dan selesa di mana Kerajaan melalui RapidBus Sdn Bhd (subsidiari Syarikat Prasarana Negara Bhd sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan) yang mengendalikan perkhidmatan bas RapidPenang akan membekalkan 200 buah bas secara berperingkat. Sebanyak 80 buah bas dijangka akan memulakan perkhidmatan pada suku tahun keempat 2013 dan baki 120 buah bas lagi dijangka akan memulakan perkhidmatan pada tahun 2014.

Mengenai kos perbelanjaan sepertimana yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat, anggaran kos bagi pembinaan rumah mampu milik masih belum ditentukan kerana pada masa ini ia masih di peringkat awal perancangan. Manakala kos perbelanjaan untuk sistem monorel dijangka akan ditentukan semasa SPAD membuat Rancangan Induk Pengangkutan Awam Darat Negeri Pulau Pinang. Bagi pembekalan 200 buah bas baru RapidPenang, kos perbelanjaan terlibat adalah dianggarkan berjumlah RM134 juta.

Untuk makluman Yang Berhormat, selaras dengan pelan strategik Highway Network Development Plan (HNDP), dalam Rolling Plan ke-3 (2013-2014), Kerajaan akan melaksanakan tiga projek infrastruktur jalan raya di Negeri Pulau Pinang iaitu:

i) Menaiktaraf jalan Negeri (P10) dari Batu Maung ke Jalan Sultan Azlan Shah;

ii) Menaiktaraf Bayan Lepas Expressway dari Batu Maung ke Jambatan Pulau Pinang; dan

iii) Menaiktaraf Jalan Persekutuan FT006 dari Teluk Kumbar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas.

Tambahan lagi, Kerajaan juga telah mengenal pasti empat projek infrastruktur jalan raya untuk dicadangkan dilaksanakan dalam Rolling Plan ke 4 (2013-2015). Projek-projek berkenaan adalah seperti berikut:

i) Menaik taraf Laluan FT001 dari Jambatan Tuanku Abdul Rahman (Sek.757) ke Jambatan Merdeka (Sek.782), Seberang Perai Utara, Pulau Pinang;

ii) Menaik taraf Laluan FT3111 dari Jejambat Bukit Tengah ke Persimpangan Lebuh Raya Butterworttj-Kulim, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang;

iii) Membina Jalan dari Laluan FT001 di Jawi ke Persimpangan Bertingkat Jambatan Kedua Pulau Pinang, Batu Kawan, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang; dan

iv) Membina Jalan Pintasan Sg Dua, dari Jalan Negeri P198 ke Jalan Negeri P203, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang.

Lim Guan Eng Ketua Menteri Pulau Pinang & Ahli Parlimen Kawasan Bagan