Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya harus jelaskan adakah peningkatan perkhidmatan A&E dan forensik di Hospital Balik Pulau bernilai RM20 juta

Timbalan Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya harus jelaskan adakah peningkatan perkhidmatan Accident & Emergency (A&E) dan Forensik di Hospital Balik Pulau bernilai RM20 juta atau melibatkan blok dan Pusat Rawatan Kanser baru.

Ini adalah kerana ekoran pengumuman Dr. Helmi baru-baru ini bahawa tambahan peruntukan RM20 juta akan dibelanjakan untuk Hospital Balik Pulau. Persoalannya adalah apakah bentuk perbelanjaan tersebut? Adakah RM20 juta ini semata-mata untuk meningkatkan perkhidmatan A&E dan Forensik sahaja atau untuk menubuhkan satu Pusat Rawatan Kanser baru di Hospital Balik Pulau. Sudah dimaklumkan bahawa Pulau Pinang tidak mempunyai pusat rawatan kanser di mana-mana hospital kerajaan.

Perlu ditekankan bahawa untuk sebuah negeri yang merupakan pemimpin dalam pelancongan perubatan di seluruh Malaysia dan di antara terbaik di kalangan pusat ratawan swasta, susah untuk diterima bahawa Hospital Kerajaan di Pulau Pinang begitu ketinggalan sehingga tidak ada pusat rawatan kanser.

Ini diakui secara tidak langsung oleh jawapan Menteri Kesihatan sehingga terpaksa bergantung kepada perkhidmatan hospital swasta seperti berikut:

SOALAN NO: 34

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT

JAWAPAN OLEH YB DATUK SERI DR. S. SUBRAMANIAM

MENTERI KESIHATAN MALAYSIA

PERTANYAAN : LISAN

DARIPADA : TUAN LIM GUA ENG (BAGAN)

TARIKH : 8 JULAI 2013

SOALAN :

Tuan Lim Guan Eng (Bagan) minta MENTERI KESIHATAN menyatakan mengapakah tiada pusat rawatan penyakit barah di Hospital Besar Pulau Pinang dan Seberang Jaya, adakah rancangan menambahkannya dengan pusat kardiak. Nyatakan jumlah doktor dan jururawat serta rancangan untuk mengatasi kekurangan ini dan membesarkan semula hospital di Pulau Pinang.

Tuan Yang di-Pertua,

Hospital Pulau Pinang telah pun menyediakan perkhidmatan kardiologi dan kardiotorasik kepada pesakit di Wilayah Utara Semenanjung Malaysia. Hospital Seberang Jaya juga menyediakan perkhidmatan kardiologi melalui lawatan pakar kardiologi secara berkala dari Hospital Pulau Pinang. Di dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10), Hospital Seberang Jaya akan dinaiktaraf dengan membina blok baru bagi menampung tambahan perkhidmatan termasuk perkhidmatan kardiologi dan kardiotorasik, khusus bagi pesakit kanak-kanak (peadiatric cardiology and cardiothoracic).

Hospital Pulau Pinang turut menyediakan perkhidmatan rawatan kanser (Oncology and Nuclear Medicine) dan buat masa ini memperolehi perkhidmatan radioterapi dari Hospital Mount Miriam dan juga Hospital Pantai Mutiara. Peroelhan perkhidmatan radioterapi dari kedua-dua hospital swasta ini dibuat melalui perjanjian persefahaman perolehan perkhidmatan yang dipersetujui dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Pesakit-pesakit yang mendapat perkhidmatan ini adalah dari Wilayah Utara Semenanjung Malaysia.KKM sedang merancang untuk menyediakan perkhidmatan rawtan radipterapi di salah sebuah hospital Kerajaan di Pulau Pinang dan dijangka dapat dilaksanakan di dalam RMKe-10 ini. Projek ini akan dipohon di dalam Rolling Plan 4.

Di bawah RMKe-10, Hospital Pulau Pinang juga akan turut mendapat Blok Baru Bangunan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak bagi mengganti Hospital Bersalin yang lama. Selain itu, Hospital Balik Pulau juga akan turut dinaiktaraf bagi meningkatkan perkhidmatan A&E dan Forensik. Hospital-hospital lain akan diberi peruntukan untuk melaksanakan kerja-kerja kecil yang diperlukan dari semasa ke semasa.

Tuan Yang di-Pertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat sehinggan 31 Mac, 2013 terdapat seramai 866 orang Pegawai Perubatan Pakar dan Pegawai Perubatan Bukan Pakar serta 2,146 orang Jururawat sedang berkhidmat di hospital-hospital KKM di Negeri Pulau Pinang. Peratusan pengisian jawatan tersebut adalah melebihi 90%. KKM sememangnya prihatin dan sentiasa berusaha untuk menambah bilangan anggota kesihatan di semua fasiliti kesihatan di seluruh negara termasuklah di Negeri Pulau Pinang.

Untuk makluman Yang Amat Berhormat juga, pada masa ini KKM telah mempunyai bilangan Pegawai Perubatan Bukan Pakar yang mencukupi untuk menampung keperluan perkhidmatan kesihatan di fasiliti-fasiliti kesihatan KKM. Ini berikutan peningkatan bilangan graduan perubatan dari dalam dan luar negara setiap tahun yang telah menyumbang kepada pertambahan Pegawai Perubatan Bukan Pakar di KKM. Keadaan ini dapat dilihat melalui peningkatan jumlah graduan perubatan yang melebihi 200 peratus dalam tempoh (5) tahun lepas, iaitu 3,700 orang pada tahun 2012 berbanding seramai 1,200 orang pada tahun 2007.

Walau bagaimanapun, KKM masih menghadapi kekurangan Pegawai Perubatan Pakar. Oleh itu, beberapa langkah telah diambil oleh KKM bagi menambah bilangan Pegawai Perubatan Pakar. Di antaranya ialah:-

  1. Melatih lebih ramai Pegawai Perubatan untuk melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang kepakaran melalui pertambahan bilangan slot biasiswa daripada 800 setahun pada tahun 2011 kepada 1,000 tempat mulai tahun 2013. Pertambahan 200 slot ini melibatkan anggaran kos sebanyak RM2.4 juta setahun;

  2. Melantik semula secara kontrak Pegawai Perubatan Pakar yang telah bersara wajib untuk berkhidmat dengan KKM; dan

  3. Melantik Pegawai Perubatan Pakar di kalangan warganegara dan bukan warganegara secara kontrak untuk berkhidmat dengan KKM.

Lim Guan Eng Ketua Menteri Pulau Pinang & Ahli Parlimen Kawasan Bagan