Surat rasmi Ketua Menteri Pulau Pinang kepada Menteri Kesihatan Datuk Seri Subramaniam

15 Julai, 2013

YB Datuk Seri Dr. S. Subramaniam
Menteri Kesihatan
Kementerian Kesihatan Malaysia
Blok E1, E6, E7 & E10
Kompleks E
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62590 PUTRAJAYA

YB Datuk Seri Dr.,

KESAHIHAN KES TIGA (3) ORANG DOKTOR BERBANGSA CINA DI DUA (2) BUAH HOSPITAL KERAJAAN DI PULAU PINANG BERSIKAP RASIS KERANA ENGGAN MEMBERIKAN RAWATAN PERUBATAN KEPADA PESAKIT MELAYU

Dengan hormatnya saya merujuk kepada perkara yang amat serius tersebut di atas.

2. Suatu tuduhan serius telah dilemparkan oleh seorang Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dalam Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada 3 Julai 2013 bahawa terdapat tiga (3) orang doktor berbangsa Cina di dua (2) buah Hospital Kerajaan di Pulau Pinang bersikap rasis kerana enggan memberikan rawatan perubatan kepada pesakit Melayu ekoran "tsunami Cina" yang mengakibatkan pengundi Cina tidak memihak kepada Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum Ke-13 baru-baru ini.

3. Saya menimbulkan perkara ini kerana saya telah menerima aduan bukan sahaja daripada warga doktor tetapi juga para pesakit yang melahirkan rasa tidak puas hati terhadap permainan perkauman yang dilihat sungguh membahayakan. Malah, pesakit-pesakit Melayu sendiri melahirkan rasa kecewa mereka tentang permainan kontroversi perkauman ini kerana mereka sendiri menceritakan bagaimana doktor-doktor berbangsa Cina di Hospital Kerajaan mahupun Hospital Swasta di negeri ini, memberikan rawatan perubatan sehingga menyelamatkan nyawa mereka.

4. Doktor berbangsa Melayu juga berasa tidak puas hati kerana tuduhan liar yang sama juga boleh dilemparkan ke atas mereka. Sepertimana yang YB Datuk Seri Dr. sedia maklum, semua doktor bekerja secara berpasukan menghadapi tugas yang berat dan melibatkan tempoh masa kerja yang panjang serta ada kalanya, tiada masa rehat yang mencukupi.

5. Pada masa yang sama, sehingga kini, pihak Hospital Kerajaan di Pulau Pinang ataupun Jabatan Kesihatan Pulau Pinang tidak menerima sebarang aduan rasmi berkenaan perkara ini. Oleh kerana aduan tersebut mungkin disampaikan di peringkat atasan yakni di Putrajaya, maka pihak Kerajaan Negeri ingin mendapatkan kepastian tentang aduan ini.

6. Sehubungan itu, kerjasama YB Datuk Seri Dr. adalah dipohon untuk menyiasat kesahihan perkara ini dengan segera. Sekiranya benar, tiga (3) orang doktor terbabit bukan sahaja harus dipecat daripada pekerjaannya, malah harus dibatalkan lesen perubatan sebagai doktor kerana telah melanggari Hippocrates Oath. Namun, sekiranya tuduhan tersebut adalah tidak benar, saya kira adalah wajar untuk YB Datuk Seri Dr. tampil memberikan pembelaan sewajarnya demi membersihkan imej para doktor bukan sahaja yang berbangsa Cina tetapi semua doktor berdasarkan etika profesionalisma dan moraliti.

7. Jawapan awal oleh YB Datuk Seri Dr. amatlah dihargai.

Sekian, terima kasih.

Yang ikhlas,

(LIM GUAN ENG)
Ketua Menteri Pulau Pinang

Lim Guan Eng Ketua Menteri Pulau Pinang