DAP memuji sikap rakyat Malaysia, Islam dan bukan Islam, kerana bersama-sama mengutuk dan mengeji tindakan menjijikkan Sekolah Kebangsaan Seri Pristana

Ramai yang marah dengan tindakan memalukan terhadap pelajar bukan Islam dengan menggunakan alasan bulan suci Ramadan. Sepertimana yang pernah diberitahu kepada saya oleh seorang ulama Islam, orang bukan Islam boleh makan di hadapan orang Islam malah orang Islam tersebut akan berolah ganjaran pahala. Islam tidak membenarkan tindakan sedemikian dan DAP berharap supaya rakyat Malaysia dapat membezakan antara Islam yang mulia dan aman, berbanding mereka yang merosakkan nama baik Islam dengan memberi layanan yang begitu menghina terhadap anak-anak kecil tersebut.

Rakyat Malaysia berhak untuk marah dengan tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab dan tidak rasional oleh pihak sekolah. Dalam menunjukkan kemarahan mereka, DAP berharap ia dapat disalurkan terhadap kegagalan Kementerian Pendidikan untuk memupuk rasa hormat terhadap semua agama. Kegagalan Kementerian Pendidikan untuk mengambil kira sensitiviti agama lain menunjukkan sikap pemimpin BN di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Sikap tidak sensitif terhadap perasaan orang bukan Islam diperlihatkan dengan keengganan Kerajaan Persekutuan BN untuk bertindak terhadap Presiden Perkasa, Ibrahim Ali yang mengancam untuk membakar kitab Bible serta calon parlimen BN di Shah Alam, Zulkifli Noordin yang menghina agama Hindu dan tidak pula menarik balik kenyataannya mahupun meminta maaf. Sebaliknya, pasangan muda Alvivi dihukum walaupun mereka telah meminta maaf atas tindakan keji mereka yang tidak menunjukkan rasa hormat terhadap bulan Ramadan yang suci.

Atas sebab itu, ibu bapa tidak boleh disalahkan kerana enggan menghantar anak mereka ke sekolah rendah kerajaan tetapi memilih untuk ke sekolah vernakular, kerana risaukan kesejahteraan anak-anak mereka. Moga-moga anak-anak ini tidak akan mengalama sindrom rendah diri selepas pengalaman yang tidak menyenangkan itu.

Kewujudan MIC, Gerakan dan MCA di dalam Barisan Nasional, meskipun sudah sama sekali tidak relevan dan gagal menyumbang kepada BN, memperlihatkan bahawa pihak-pihak yang meragukan ini sekadar berasa senang dengan faedah dan keistimewaan berbanding prinsip dan polisi yang memberi faedah kepada rakyat. Bagaimana parti-parti politik ini masih kekal di dalam BN yang hanya mahu mewakili sebuah komuniti atau sebahagian daripada masyarakat sahaja?

Marilah kita rakyat Malaysia, Islam dan bukan Islam, bersama-sama menentang tindakan provokatif dan layanan diskriminasi di sekolah di Sungai Buloh ini. Marilah kita rapatkan barisan dan bersolidariti dengan rasa kemanusaan, menentang budaya perkauman dan kebencian dengan memperkukuhkan pendirian bahawa meskipun kita berbeza kepercayaan dan warna kulit, kita semua tetap sebangsa - bangsa manusia.

Lim Guan Eng Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Bagan