Menjemput Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya ke pejabat saya di Komtar pada hari Rabu bagi menunjukkan bukti saya secara lisan bersetuju untuk menyiasat dakwaan ADUN UMNO, Dato Roslan Saidin

Kerajaan Negeri Pulau Pinang menjemput Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya ke pejabat saya di Komtar pada hari Rabu 31 Julai 2013 untuk menyerahkan bukti bahawa saya telah bersetuju secara lisan bagi menyiasat dakwaan ADUN UMNO Pinang Tunggal, Dato Roslan Saidin bahawa 3 doktor Cina di hospital kerajaan di Pulau Pinang mengamalkan perkauman dengan menolak untuk merawat pesakit Melayu.

Hilmi memberitahu Bernama bahawa Kementerian Kesihatan masih menunggu laporan siasatan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang berkenaan dakwaan tersebut sebagaimana yang dijanjikan secara lisan oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng. Beliau berkata Kementerian Kesihatan akan membuat keputusan berkenaan tindakan lanjut hanya selepas menerima laporan Kerajaan Negeri.

Dakwaan Hilmi ini mengejutkan kerana jelas tidak benar sama sekali. Saya tidak pernah berjanji secara lisan atau secara bertulis untuk menyiasat dakwaan serius oleh Roslan kerana saya tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk menyiasat. Hilmi jelas tidak layak untuk menjadi Timbalan Menteri Kesihatan jika beliau tidak tahu bahawa semua hospital kerajaan adalah di bawah bidang kuasa dan pengawasan Kementerian Kesihatan dan Kerajaan Persekutuan, bukan Kerajaan Negeri.

Oleh sebab inilah saya menulis surat kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam 2 minggu lalu untuk meminta beliau mengesahkan dakwaan serius yang dibuat oleh Roslan di dalam Dewan Negeri Pulau Pinang pada 3 Julai lalu. Jika benar, maka tindakan perlu diambil terhadap doktor terbabit tetapi jika tidak benar maka Roslan mesti memohon maaf secara terbuka kerana membuat tuduhan tidak berasas yang merosakkan reputasi dan imej semua doktor di Malaysia.

Jelas Hilmi cuba melarikan diri dan mengelak daripada tanggungjawab serta melepaskannya kepada Kerajaan Negeri dengan berhelah bahawa tiada tindakan akan diambil sehingga Kerajaan Negeri menghantar laporan kepada Kementerian Kesihatan. Namun bagaimana mungkin Kerajaan Negeri menghantar laporan jika tiada janji dibuat secara lisan oleh saya dan apatah lagi Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa untuk menjalankan siasatan ke atas doktor di hospital-hospital kerajaan? Adakah ini jalan keluar untuk Kementerian Kesihatan tidak menyiasat dakwaan palsu bahawa tiada laporan telah diterima dari Kerajaan Negeri?

Kerajaan Negeri bersedia menjalankan siasatan jika Hilmi sanggup menyerahkan kuasa penuh hospital kerajaan di Pulau Pinang kepada Kerajaan Negeri. Atas sebab ini, Hilmi dijemput ke pejabat saya pada hari Rabu sama ada untuk menunjukkan bukti bahawa saya telah membuat janji lisan atau menyerahkan kuasa penuh terhadap semua hospital kerajaan di Pulau Pinang kepada Kerajaan Negeri.

Lim Guan Eng Ketua Menteri Pulau Pinang