Dato Roslan Saidin tiada pilihan kecuali menarik balik kenyataan beliau dan meminta maaf secara terbuka kepada semua doktor

ADUN UMNO Pinang Tunggal Dato Roslan Saidin perlu menarik balik dan memohon maaf secara terbuka kepada semua doktor atas pembohongan sensasi beliau bahawa terdapat 3 orang doktor berketurunan Cina di 2 buah hospital kerajaan di Pulau Pinang yang bersifat rasis kerana enggan merawat pesakit Melayu disebabkan oleh kempen pilihan raya DAP semasa pilihan raya umum baru-baru ini. Ini berikutan kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam semalam bahawa tidak ada unsur-unsur perkauman dalam isu ini.

Roslan membuat kenyataan dalam Dewan Undangan Negeri pada 3 Julai bahawa insiden itu membabitkan enam pesakit, dua doktor dari Hospital Kepala Batas dan seorang dari Hospital Seberang Jaya. Roslan mengaitkan dakwaan beliau dengan kejayaan kempen DAP yang menyebabkan kemorosotan sokongan masyarakat Cina terhadap BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu. Walau bagaimanapun Roslan tidak memberikan apa-apa keterangan atau membuat aduan rasmi kepada Kementerian Kesihatan.

Hanya selepas tekanan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan surat terbuka saya yang menuntut tindakan Subramaniam, sama ada Roslan membuat sebarang laporan mana-mana pesakit yang mengadu berkenaan kualiti rawatan perubatan kepada Kementerian Kesihatan. Saya telah menggesa Subramaniam untuk menghukum doktor terbabit jika dakwaan berkenaan perkauman tersebut benar dengan memecat mereka serta menarik kelayakan mereka sebagai doktor kerana melanggar sumpah untuk merawat semua manusia tanpa mengira bangsa, jantina dan agama.

Sebaliknya kini, Subramaniam berkata tidak ada isu perkauman dan isu yang timbul adalah kemahiran komunikasi doktor tersebut yang lemah. Jelas sekali Roslan perlu menarik balik kenyataan beliau dan memohon maaf. Sekarang Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam telah secara terbuka menolak dakwaan Roslan itu, Roslan perlu memohon maaf atas pembohongan yang telah mencemarkan imej baik doktor dan juga menjejaskan keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum.

Roslan perlu sedar bahawa beliau telah melakukan satu kesilapan yang serius dengan membuat pembohongan ini di dalam Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dan perlu menunjukkan rasa hormat terhadap dewan yang mulai ini dengan berkata benar, bukan sebaliknya.

Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri Pulau Pinang gembira dengan sokongan yang diberikan oleh doktor Melayu yang marah pada serangan tidak jujur terhadap profesion perubatan ini dan pesakit Melayu yang tidak percaya kepada Roslan kerana kesihatan dan nyawa mereka telah diselamatkan oleh doktor Melayu, Cina dan India.

Lim Guan Eng Ketua Menteri Pulau Pinang