Terserah Najib untuk menentukan sama ada pembohongan dan provokasi perkauman Tahuddin selari dengan seruan “perdamaian kebangsaan” dan insiatif “Global Movement of Moderates” anjuran beliau

Terserah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menentukan sama ada pembohongan dan provokasi perkauman Timbalan Menteri Pertanian Datuk Tajuddin Abdul Rahman dalam kempen pilihan raya kecil Kuala Besut kelmarin selari dengan dengan seruan “perdamaian kebangsaan” dan insiatif “Global Movement of Moderates” anjuran beliau.

Baru kelmarin dilaporkan bahawa Menteri Luar Negeri Datuk Seri Anifah Aman telah menyempurnakan lawatan selama tujuh hari ke tiga negara di Eropah, iaitu Poland, Latvia, dan Russia, untuk mempromosikan inisiatif “Global Movement of the Moderates”.

Tetapi, pada hari yang sama, Tajuddin terlibat dalam ekstremisme dengan menyebarkan pembohongan dan provokasi perkauman dalam pilihan raya kecil Kuala Besut, bertentangan sama sekali dengan ikrar untuk menjadikan pilihan raya ini sebagai model bagi “politik Ramadan” yang terkawal dan bermoral sebagai menghormati bulan suci tersebut.

Mungkin tiada ucapan yang lebih padat dengan pembohongan dan provokasi selain yang disampaikan oleh Tajuddin di Kuala Besut kelmarin apabila beliau tanpa walau pun secebis bukti telah mendakwa bahawa DAP ingin menghapuskan sistem monarki berperlembagaan dan kesultanan untuk mewujudkan sebuah negara republik, selain menuduh DAP sebagai anti-Melayu dan anti-Islam.

Pada bulan Disember 2011, saya telah mencabar Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muyiddin Yassin untuk mengemukakan bukti atau meminta maaf atas pembohongannya apabila beliau, dalam ucapannya di perhimpunan agung tahunan Wanita, Pemuda, dan Puteri UMNO, secara tersirat menyatakan bahawa DAP mahu menghapuskan kesultanan Melayu dan menubuhkan sebuah republik.

Tetapi Muhyiddin tidak melakukan kedua-duanya. Ini menunjukkan betapa rapuhnya komitmen pemimpin nombor dua dalam kerajaan UMNO/BN itu terhadap kebenaran, kesucian moral dan integriti.

Hakikat bahawa pemimpin UMNO terpaksa menggunakan pembohongan dan provokasi perkauman dalam bulan Ramadan yang suci untuk mempertahankan kerusi DUN yang dianggap sebagai kubu kuat UMNO yang kononnya boleh mereka menangi semula dengan majoriti undi yang meningkat dalam pilihan raya kecil kali ini menunjukkan bahawa sebahagian pemimpin UMNO tertentu semakin terdesak kerana merasakan politik perkauman mereka yang tidak bertanggungjawab dan sembarangan sedang digugat hebat oleh para pengundi di seluruh negara yang lebih bermaklumat dan bijak.

Najib selalu menyebut bahawa UMNO perlu berubah kerana jika tidak UMNO akan diubah. Apakah Najib mampu membawa perubahan dalam UMNO dengan mula mengambil pendirian tegas terhadap pembohongan dan provokasi perkauman yang disebarkan oleh Tajuddin di Kuala Besut kelmarin, atau beliau akan terus membisu walaupun pembohongan seperti itu menjejaskan sama sekali usaha “perdamaian kebangsaan” dan inisiatif “Global Movement of the Moderates?

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Gelang Patah