BN bertanggungjawab sepenuhnya ke atas jurang polarisasi yang semakin membesar antara 51% penyokong PR terhadap BN

BN bertanggungjawab sepenuhnya ke atas jurang polarisasi yang semakin membesar antara 51% penyokong PR terhadap BN, sementara salahguna kuasa oleh Pendaftar Persatuan (ROS), pihak Polis, Jabatan Imigresen, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menyebelahi kepentingan BN daripada kepentingan awam. Tindakan terbaru oleh ROS terhadap DAP yang membawa kemungkinan penyahdaftaran DAP dan juga larangan oleh Jabatan Imigresen ke atas Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nuruh Izzah daripada memasuki Sabah menunjukkan bahawa BN sanggup menyalahgunakan kuasa mereka melalui taktik penipuan dan dakwaan palsu. Penindasan dan kezaliman sebegini akan memisahkan rakyat dan tidak akan membawa ke arah penyatuan malah akan memberi kesan negatif kepada perpaduan nasional.

DAP mengecam pengarah ROS Abdul Rahman Othman atas dakwaan palsu beliau bahawa lebih 700 perwakilan DAP telah dinafikan hak mereka untuk mengundi di Kongres Kebangsaan Parti pada tahun lepas kerana mereka tidak diberi notis terlebih dahulu. Saya tidak pernah bertemu lagi dengan seorang anggota perkhidmatan awam yang sanggup menipu secara terbuka tanpa segan silu kerana ROS telah menghantar surat kepada kami untuk menuntut bukti notis yang dihantar kepada empat cawangan DAP bagi menghadiri kongres parti - Taman Sri Sungai Pelek di Selangor, Taman Nesa di Skudai, Johor, serta Desa Dahlia dan Ladang Paroi di Negri Sembilan.

Jumlah perwakilan dari keempat-empat cawangan ini adalah kurang daripada 15 orang dan bukannya lebih 700 orang perwakilan seperti yang didakwa oleh ROS. Persoalannya, bagaimana Abdul Rahman boleh membesar-besarkan isu ini daripada hanya 15 orang perwakilan yang dipertikaikan kepada 700 orang perwakilan? Jelas sekali beliau tidak layak untuk menjadi pengarah ROS kerana beliau seorang penipu dan sanggup diperalatkan oleh UMNO dan BN.

Kelmarin, Setiausaha Organisasi Kebangsaan Anthony Loke telah membekalkan bukti bahawa perwakilan daripada tiga daripada empat cawangan yang dipertikaikan telah menghadiri kongres parti tersebut. Justeru tidak timbul sama sekali persoalan mereka tidak diberi sebarang notis tentang kongres parti ataupun dinafikan hak untuk mengundi.

Kecaman DAP terhadap larangan Nurul Izzah memasuki Sabah tidak ada kena mengena dengan perjanjian 20 Perkara Sabah. DAP tidak membantah perjanjian 20 perkara tetapi sebaliknya kami membantah penyalahgunaan kuasa oleh rejim yang zalim dan yang menentang semangat perjanjian 20 perkara tersebut. Begitu juga, kecaman DAP terhadap pasukan polis dan jabatan imigresen adalah terhadap penyalahgunaan kuasa oleh beberapa pegawai kanan yang sanggup menjadi alat kepada BN untuk menang pilihan raya dan bukannya terhadap seluruh anggota jabatan-jabatan tersebut.

DAP ingin meluahkan rasa jijik terhadap persekongkolan pihak polis dengan Utusan Malaysia dalam usaha memburu melalui dakwaan-dakwaan yang tidak berasas bahawa terdapat sekumpulan askar cyber yang dikenali sebagai Red Bean Army telah diupah oleh DAP untuk menggulingkan kerajaan melalui internet. DAP ingin menyatakan bahawa kami tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang kewujudan Red Bean Army, lagi-lagilah apabila DAP adalah sebuah parti yang miskin dan tidak berupaya untuk mengupah atau membayar sesiapa daripada pasukan yang kononnya dikenali sebagai Red Bean Army. Sehingga kini, pihak polis atau Utusan tidak pernah memberitahu siapa sebenarnya ahli-ahli Red Bean Army tersebut. Jelas, cerita fitnah tentang Red Bean Army yang ingin menggulingkan kerajaan melalui internet adalah cubaan untuk mewujudkan ketakutan walaupun tidak pernah ada mana-mana diktator yang pernah diguling melalui internet.

Mengapa sehingga kini SPRM masih enggan menyiasat pemimpin-pemimpin BN yang memiliki kekayaan luar biasa seperti Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Taib Mahmud? Yang paling teruk ialah Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya bertindak "lebih BN daripada BN sendiri" dalam usaha melawan PR semata-mata kerana PR menuntut pembaharuan sistem pilihan raya bagi memastikan senarai pengundi yang bersih dan undi popular akan mencerminkan keputusan sebenar pilihan raya.

DAP menyeru penyokong-penyokong kami untuk bertenang dan berdiri teguh melawan dakwaan palsu terbaru ROS terhadap DAP. Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP akan mengadakan mesyuarat tergembar pada hari Rabu minggu depan di ibu pejabat DAP untuk membincangkan tindakan seterusnya bagi melawan dakwaan palsu tersebut dan tentangan kuat daripada pengarah ROS yang dilihat sebagai sedang mengorak langkah untuk menyahdaftarkan DAP.

Lim Guan Eng Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan