Hanya dengan menubuhkan IPCMC sahaja maka kes kematian dalam tahanan dapat dielakkan

Hanya dengan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Aduan Salahlaku Polis (IPCMC) sahaja maka kematian dalam tahanan dapat dielakkan, berikutan kematian dalam lokap ketiga dalam masa 11 hari. Kematian Karuna Nithi dua hari lalu di lokap polis Tampin menjadi jumlah kematian suspek yang ditahan polis mencecah tiga orang. Sebelum itu, R James Ramesh mati di lokap polis Pulau Pinang pada 26 Mei, manakala N Dhamendran yang dibunuh kejam dengan 52 kecederaan sewaktu ditahan di lokap ibu pejabat polis Kuala Lumpur pada 21 Mei.

Jumlah kematian dalam tahanan sejak tahun 2000 ialah 219, sebuah angka yang mengejutkan yang pastinya akan bertambah tanpa sebarang langkah dan mekanisme untuk menghalang kes sebegini kecuali dengan IPCMC. Tidak ada sebab kenapa Kerajaan Persekutuan BN tidak bersetuju dengan pengawasan pihak polis sedangkan ia telah dicadangkan oleh Suruhanjaya Siasatan Di Raja terhadap pasukan polis pada tahun 2005.

Walaupun beberapa kematian dalam tahanan mungkin disebabkan faktor semulajadi, orang awam akan terus curiga dengan cara soal siasat polis, kecuali jika pihak polis bersih dan dipastikan tidak korup. Hanya sebuah mekanisme yang telus dan akauntabel seperti IPCMC boleh mengembalikan keyakinan orang ramai dan memastikan tahanan polis selamat. Jika tidak, rakyat akan terus mengalami mimpi negeri bahawa jika mana-mana ahli keluarga mereka ditahan polis, orang yang ditahan mungkin mati dalam tahanan.

Orang ramai telah putus harapan dengan Menteri Dalam Negeri yang baru Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang nampaknya tidak berminat memerangi jenayah tetapi lebih menumpukan untuk menggunakan cara yang kasar dan tegas untuk membisukan suara yang tidak bersetuju dengan pihaknya. Walaupun mereka rakyat yang patuh kepada undang-undang yang menuntut pilihanraya yang bebas, adil dan bersih. Adakah Datuk Seri Najib, pemimpin MIC atau MCA akan berani mengotakan janji dengan menyokong penubuhan IPCMC di dalam dan luar Parlimen?

Lim Guan Eng Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan