Law Choo Kiang dan Ustaz Maktar Hj Shapee dicadangkan oleh PR Pulau Pinang Sebagai Yang DiPertua Speaker dan Timbalan Yang DiPertua Speaker DUN Pulau Pinang

Saya bagi pihak Pakatan Rakyat Pulau Pinang akan mencadangkan ADUN Bukit Tambun Law Choo Kiang dan ADUN Sungai Bakap Ustaz Maktar Hj Shapee sebagai Yang DiPertua Speaker dan Timbalan Yang DiPertua Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada 28 Jun 2013.

EXCO Negeri Pulau Pinang mencadangkan Pengerusi PKR Pulau Pinang, Dato Mansor Othman sebagai Yang DiPertua Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang disokong penuh oleh ahli EXCO PKR.

EXCO Negeri Pulau Pinang telah sebulat suara mencadangkan nama Dato Mansor Othman sebagai Yang DiPertua Speaker Dewan Undangan Negeri selepas mendapat maklum balas daripada dalam dan luar Kerajaan Negeri dari peringkat bawah sehingga peringkat tertinggi di Pulau Pinang.

Walau bagaimanapun selepas berunding dengan Ketua Umum PKR yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen, Dato Seri Anwar Ibrahim, Law Choo Kiang telah dipersetujui sebagai Yang Dipertua Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang manakala Ustaz Maktar Shapee sebagai Timbalan Yang Dipertua Speaker. Dato Seri Anwar akan bertemu dengan semua pihak yang berkaitan kemudian untuk menjelaskan keputusan ini.

Saya akan mencadangkan usul ini pada hari Jumaat dan Timbalan Ketua Menteri 1 Rashid Hasnon akan menyokong usul tersebut.

Lim Guan Eng Ketua Menteri Pulau Pinang & Pengerusi Pakatan Rakyat Pulau Pinang