1.6 juta rakyat Pulau Pinang akan menentukan 4 projek lebuhraya dan cadangan sistem trem

Kerajaan PR Pulau Pinang akan berserah kepada keputusan 1.6 juta rakyat Pulau Pinang, yang akan menentukan penganugerahan tender untuk 4 projek lebuhraya bernilai RM6.3 bilion, termasuk terowong bawah laut pertama di Asia Tenggara dari Gurney Drive ke Bagan Ajam. Pembinaan keempat-empat lebuhraya utama ini telah dianugerahkan kepada konsortium yang terdiri daripada sebuah syarikat tempatan dan Beijing Urban Construction Group, iaitu syarikat pembinaan negara China yang telah membina Stadium Olimpik “Bird’s Nest” di Beijing.

Sekiranya PR memenangi kuasa di Putrajaya, PR akan cadangkan sistem trem di seluruh negeri untuk menghubungkan Pulau dan Seberang Perai. Monorel yang dicadangkan BN adalah tidak sesuai untuk bandar warisan dunia seperti Pulau Pinang, dan strukturnya yang ditinggikan akan merosakkan keindahan estetika negeri. Kerana sistem trem yang bergerak atas tanah adalah sesuai dengan warisan Pulau Pinang, jalan-jalan alternatif baru diperlukan supaya jalan-jalan sedia ada dapat digunakan untuk landasan trem.

Tidak kepada Monorel, Ya kepada Trem

Projek monorel BN tidak akan menjadi kenyataan walaupun BN menang di Pulau Pinang atas dua sebab. Pertama, monorel tidak akan diizinkan oleh UNESCO dan pembinaannya akan mengakibatkan kehilangan taraf Bandar Warisan Dunia UNESCO. Kedua, BN tidak pernah menepati janji monorel dahulu yang dibuat oleh mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2006. Janji ini tidak ditepati juga oleh Dato’ Sri Najib Tun Razak apabila beliau menjadi Perdana Menteri. Jelas, kita harus menunggu sehingga Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri untuk merealisasikan sistem trem.

Pengangkutan awam adalah bidang kuasa kerajaan Persekutuan semata-mata. Meskipun kerajaan negeri mempunyai dana, kerajaan Persekutuan boleh menafikan lesen dan kerjasama untuk membenarkan sistem pengangkutan awam di Pulau Pinang. Keengganan untuk bekerjasama ini telah menjadi jelas apabila kerajaan Persekutuan telah menolak cadangan bayaran RM10 juta setahun oleh kerajaan negeri untuk menyediakan perkhidmatan bas percuma Rapid Penang semasa waktu puncak di seluruh negeri Pulau Pinang. Oleh kerana kerajaan negeri PR Pulau Pinang tidak sanggup menjadi kerajaan yang duduk berdiam sahaja, kita akan membina jalan-jalan alternatif untuk mengganti keengganan kerajaan Persekutuan BN untuk menepati janji pengangkutan awam yang berkesan di Pulau Pinang.

Tidak kepada Caj Kemasukan ke George Town, Pulau Pinang

PR dengan tegas menolak cadangan ekstrim untuk mengenakan caj kemasukan bagi semua kenderaan yang memasuki George Town, Pulau Pinang kerana PR komited terhadap pergerakan bebas orang dalam dan dari luar negeri Pulau Pinang. Pengamalan “model Singapura” ini untuk mengurangkan kesesakan trafik adalah elitis kerana mengehadkan George Town kepada penghuni sedia ada dan bersifat diskriminasi kerana memastikan hanya orang yang berada dapat memasuki George Town, Pulau Pinang.

Bolehkah Teng Chang Yeow Menjelaskan Kenapa BN Menjual Tanah 940 Ekar di Tanjung Pinang Untuk Harga RM1 Sekaki Persegi?

Kerajaan negeri Pulau Pinang berasa kesal atas fitnah-fitnah Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow tentang harga tender, sama ada kerajaan Persekutuan telah dimaklumkan atau meluluskan tender untuk konsortium tempatan-antarabangsa berkenaan, serta kelajuan penganugerahan tender tersebut.

Kerajaan Persekutuan sudah sedar tentang cadangan projek ini sejak tahun 2011 apabila Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Razak dan Premier China Wen Jia Bao menjadi saksi kepada Memorandum Persefahaman (MoU) dengan saya untuk 4 projek lebuhraya dan terowong yang telah berlaku di Kuala Lumpur. Tender terbuka dan kompetitif telah dilangsungkan pada 14.11.2011 dan rundingan awam telah dijalankan pada tahun 2011. Keseluruhan proses tender telah dilaksanakan dengan telus dan bertanggungjawab.

Bagaimanakah empat projek ini boleh dikatakan dibuat dengan laju apabila projek pertama hanya akan siap selepas tahun 2017 dan terowong dalam tahun 2023-25, walaupun kerajaan negeri akan cuba untuk menyiapkannya menjelang 2020? Masa pembinaan yang lama ini adalah kerana keperluan untuk mematuhi syarat-syarat Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA). Kegagalan untuk mematuhi EIA akan bermakna keempat-empat projek tersebut tidak akan diteruskan.

Kontrak rasmi masih lagi diperbincangkan dan dijangka akan ditandatangani dalam beberapa bulan yang akan datang dan tidak akan diteruskan jika ditolak oleh rakyat. Lagipun, harga tender terakhir bukanlah RM8 bilion yang dijangkakan tetapi RM6.3 bilion yang telah dianugerahkan kepada pembida terendah, iaitu Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd. Tidak ada sebarang wang tunai yang akan dibayar tetapi bayaran akan dibuat dalam bentuk 110 ekar tanah tebusguna di Tanjung Pinang.

Dakwaan Teng bahawa tanah tebusguna itu tidak wujud adalah fitnah kerana BN-lah yang telah meluluskan penambakan tanah 940 ekar dengan harga mengejut RM1 sekaki persegi dengan syarat 10% tanah diberi kepada kerajaan negeri. Bolehkah Teng menjelaskan kenapa BN telah menjual tanah tersebut dengan harga yang begitu murah dan tidak masuk akal, iaitu RM1 sekaki persegi? Kerajaan negeri PR Pulau Pinang telah berjaya meningkatkan jumlah tanah yang akan diberi kepada negeri daripada 10% kepada 20%, yang akan digunakan untuk membiayai pembinaan 4 lebuhraya utama ini.

Kesesakan lalulintas yang teruk beberapa hari yang lepas pada Jambatan Pulau Pinang Pertama adalah disebabkan kerja pembaikan ke atas jambatan, dan mengingkatkan kita semua betapa kita memerlukan laluan penghubung ketiga untuk masa depan. Sementara 3 lebuhraya baru ini yang akan mengurangkan kesesakan lalulintas ke Batu Ferringhi, di sekitar George Town serta Bandar Baru Air Itam dan Farlim adalah berdasarkan keperluan, terowong bawah laut ini mempunyai fungsi lain iaitu untuk merangsangkan pembangunan ekonomi Seberang Perai Utara (SPU).

Kerajaan negeri Pulau Pinang tidak akan duduk berdiam dalam isu kesesakan lalulintas dan mengambil jalan senang dengan menyalahkan kerajaan Persekutuan atas kegagalannya untuk menyediakan pengangkutan awam. Kita juga tidak akan mengamalkan pendekatan yang berkisar pada Pulau semata-mata dan sebaliknya akan mengambil pendekatan menyeluruh yang merangkumi keperluan Seberang Perai. Jika ada jambatan yang menghubungkan Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan, patut ada juga penghubung kepada SPU untuk memajukan pembangunan ekonomi.

Lim Guan Eng Ketua Menteri Pulau Pinang