NRW terendah di Malaysia, PBAPP terbukti Pengusaha Berkuasa Air Negeri No.1 di Pulau Pinang

Saya berasa gembira kerana dapat bersama-sama semua yang hadir pada pagi ini untuk menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Kolektif di antara Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) dengan Kesatuan Kakitangan PBAPP dan Kesatuan Pekerja-pekerja PBAPP. Ini adalah Perjanjian Kolektif kelima ini yang berkuatkuasa mulai 1 Januari 2012 hingga 31 Disember 2014.

Dilihat daripada tempoh masa rundingan iaitu bermula April 2012 menunjukkan ianya bukanlah satu proses yang mudah. Dalam hal ini, saya mengucapkan terima kasih dan tahniah sekali lagi kepada Yang Berbahagia Dato’ Syed Mohamad Bin Syed Murtaza yang banyak membantu pihak Pengurusan dan Kesatuan untuk mendapat suatu penyelesaian. Juga saya ingin menekan di sini bahawa dalam segala isu yang dibincangkan, Keharmonian Perusahaan tetap diutamakan oleh kedua-dua pihak.

Saya berharap pihak kesatuan selepas ini akan terus memberikan sokongan kepada setiap inisiatif dan program yang dirancangkan oleh pihak pengurusan yang sudah tentu mendapat sokongan daripada Lembaga Pengarah. Ini adalah bagi memastikan komitmen syarikat yang menitikberatkan peningkatan berterusan bagi memastikan perkhidmatan yang berkualiti kepada pelanggan-pelanggan dan pengguna-pengguna air di negeri Pulau Pinang dilaksanakan dengan baik.

Kejayaan PBAPP menurunkan Non-Revenue Water(NRW) daripada lebih 18.4% pada 2011 kepada hanya 17.6% pada 2012, yang terendah di Malaysia di mana purata NRW adalah 36.7%, menunjukkan PBAPP adalah pengusaha berkuasa air negeri No.1 di Pulau Pinang. Kita semua seharusnya sedar bahawa kita perlu terus mempertingkatkan pencapaian demi memastikan faedah dan manfaat untuk kakitangan dan pekerja juga dapat dipertingkatkan. Sudah tentu syarikat akan berkongsi bersama setiap keuntungan yang dituai hasil titik peluh kakitangannya menerusi imbuhan sewajarnya.

Gaji Minima RM1,100 Yang Dicadangkan oleh Pakatan Rakyat (PR) Mengutamakan Pekerja Malaysia & Pada Awalnya Tidak Merangkumi Pekerja Asing Seperti Dasar Barisan Nasional (BN)

Perlu ditegaskan bahawa gaji minima yang ditekankan oleh Kerajaan Negeri memberikan keutamaan kepada pekerja Malaysia dan pada awalnya tidak merangkumi pekerja asing seperti yang diterima pakai oleh Barisan Nasional (BN). Pakatan Rakyat (PR) berkomited untuk membantu pekerja dan majikan tempatan terlebih dahulu. Hanya BN mahu membantu pekerja asing agar pekerja asing dapat menikmati tahap gaji yang sama dengan pekerja Malaysia. Mungkin BN mahu jaga pekerja asing kerana mengharapkan orang asing akan menyokong mereka. Itulah sebabnya gaji minima RM 1,100 sebulan yang dicadangkan oleh PR bertindak adil kepada pekerja Malaysia bukan seperti cadangan RM900 daripada BN yang lebih mementingkan pekerja asing.

Lim Guan Eng Ketua Menteri Pulau Pinang