Tema PR Pulau Pinang untuk PRU-13 adalah “Pulau Pinang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat”

Terlebih dahulu, saya ingin bermula dengan mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi tahniah kepada saudara-saudari sekalian pada pagi ini atas kejayaan kalian semua kerana bertahan lasak selama 5 tahun untuk meneruskan satu idea Malaysia yang adil, satu idealisma Malaysia anak Iban, Kadazan, Melayu,Cina dan India anak kita, satu iltizam Malaysia yang bersih, satu inspirasi Malaysia yang bermaruah satu satu ilham Malaysia yang berkebajikan dan makmur untuk semua.

Namun ada juga segelintir yang tidak dapat bertahan. Mereka telah tunduk kepada godaan rasuah, dan telah pun meninggalkan kita. Saudara-saudari yang berada di sini merupakan mereka yang telah berpegang teguh kepada prinsip-prinsip perjuangan kita untuk menegakkan keadilan, kebenaran, demokrasi, integriti dan kebebasan rakyat Malaysia.Saya tabik kepada anda semua!

Prinsip Cekap Akauntabel Telus atau CAT tunjang pentadbiran

Dalam 5 tahun pentadbiran Pakatan Rakyat, kita telah membina wawasan untuk menjadi negeri pintar yang bertaraf antarabangsa – negeri yang mendidik dan mengasuh modal insan; negeri yang paling sesuai didiami di Malaysia; negeri yang membebaskan masyarakat daripada kejahilan, kemiskinan, kronisma dan rasuah; kerajaan negeri berjiwa rakyat yang memperkasakan rakyat dengan ilmu pengetahuan, memperkuasakan rakyat dengan hak dan kebebasan serta memperkayakan rakyat agar semua dapat mengecapi hasil ekonomi.

Kita boleh lihat Pulau Pinang yang bersih, hijau, sihat dan selamat. Inilah tema PR Pulau Pinang untuk PRU 13 iaitu menjadi Pulau Pinang negeri yang paling bersih, paling hijau, paling sihat dan paling selamat di Malaysia. Dengan erti kata lain, matlamat kita adalah untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri No. 1 di Malaysia.

Bila kita sebut Pulau Pinang yang bersih bukanlah setakat bersih secara fizikal tetapi juga dalam pentadbiran dan kepimpinan. Menerusi prinsip CAT, kita telah memperkenalkan dasar tender terbuka yang kompetitif dan mewajibkan pengisytiharan harta bagi barisan EXCO termasuk Ketua Menteri. Buat kali pertama, kita haramkan ahli-ahli keluarga pemimpin daripada berurusan dengan kerajaan negeri dan mendedahkan kontrak kerajaan untuk orang awam. Di samping itu, kita juga telah menggubal dan memelopori Enakmen Kebebasan Maklumat dan Enakmen Pilihan Raya Kerajaan Tempatan walaupun mendapat halangan hebat daripada Kerajaan Persekutuan BN.

Hasil daripada pengamatan prinsip-prinsip CAT, kita telah berjaya menghentikan defisit yang telah berlarutan dengan mencatat belanjawan lebihan setiap tahun berturut-turut sejak 2008. Kita telah berjaya bukan sahaja untuk menyelamatkan MPSP daripada menjadi bangkrap setelah kerugian RM230 juta dalam 7 tahun sebelumnya, tetapi kita juga telah mengurangkan hutang Negeri sebanyak 95%.

Lebihan-lebihan kewangan ini pula telah digunakan untuk dasar-dasar seperti:

  • Bantuan kewangankepada warga miskin, warga emas, OKU, ibu tunggal, penunggang beca, pelajar-pelajar sekolah rendah, menengah dan IPTA.

  • Peruntukan tahunan untuk Sekolah Agama Rakyat, sekolah Cina, Tamil dan Mubaligh.

  • Memartabatkan agama Islam dan kebebasan agama lain dengan menambahkan peruntukan dan meluluskan tanah;

  • Wifi percuma di semua kawasan awam di seluruh Pulau Pinang.

  • Perkhidmatan bas percuma di perkarangan kota George Town serta perkhidmatan “park and ride” yang melintasi Jambatan Pulau Pinang untuk membawa pekerja yang berulang-alik dari Seberang Perai ke Pulau.

  • Melaksanakan projek-projek infrastruktur yang bernilai berbilion-bilion ringgit untuk mengurangkan kesesakan lalulintas dan banjir kilat di seluruh negeri.

  • Menjadi negeri pertama untuk memperuntukkan RM500 juta bagi Tabung Perumahan Mampu Milik untuk membina 22,172 unit rumah mampu milik yang direka bentuk oleh HDB Singapura. Semalam saya telah mengumumkan 3,000 lagi buah rumah mampu milik di kawasan pulau.

  • Menjadi negeri pertama untuk menghapuskan kemiskinan di Malaysia pada tahun 2013 dengan memastikan pendapatan isi rumah minima RM770 sebulan bagi setiap keluarga di Pulau Pinang, lebih tinggi daripada Paras Garis Kemiskinan Negara iaitu RM763 sebulan.

Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat

Demi membina, melatih, menarik dan mengekalkan aset paling bernilai Pulau Pinang iaitu modal insan kita, kerajaan negeri telah memberikan wang tahunan kepada sekolah bantuan dan sekolah agama rakyat, menubuhkan pusat-pusat pembelajaran dan latihan serta menarik universiti bertaraf dunia di hab pendidikan di Balik Pulau.

Untuk menjayakan pembangunan modal insan, Pulau Pinang mesti memiliki kehidupan seimbang yang penuh dengan budaya, seni, muzik dan rekreasi. Pelbagai Dalam tempoh masa lima tahun yang lalu. Pulau Pinang sudah pun menjadi terkenal sebagai pusat kesenian dan kebudayaan antarabangsa dengan penganjuran acara-acara seperti Fest Warisan George Town dan Pesta Pulau Pinang, di samping pemulihan bandar warisan sedunia yang diiktiraf dunia.

Inisiatif hijau bukanlah sekadar kempen tiada beg plastik percuma, tetapi juga menghentikan penggunaan beg polistirena secara beransur, menubuhkan zon-zon bebas asap, memperkenalkan Hari Ahad Tanpa Kenderaan, serta mencatat kadar perkitaran semula yang tertinggi di Malaysia iaitu 26%.

Untuk memastikan rakyat Pulau Pinang hidup dalam keadaan yang lebih sihat pula, kita telah menubuhkan Pusat Dialysis CAT di Pulau dan juga di Seberang Perai, di mana rawatan dialysis akan diberi dengan harga hanya RM30 setiap rawatan.Pada masa yang sama, kita juga merancang untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai Negeri Basikal yang pertama di Malaysia dengan pembinaan laluan basikal yang akan mengelilingi Pulau dan juga di kawasan-kawasan Seberang Perai. Yang terbaru, kita akan menganjurkan “Penang Run 2013-2014”, iaitu acara larian yang unik kerana akan berlangsung pada 4 hari yang berlainan dan merangkumi jumlah jarak 77km.

Akhir sekali, kita juga telah memastikan bahawa Pulau Pinang adalah negeri yang selamat dengan usaha-usaha seperti pemasangan CCTV dan program polis masyarakat, di samping kerjasama erat dengan pihak polis. Hasil daripada usaha-usaha ini, Pulau Pinang telah mencatatkan penurunan kadar jenayah yang paling banyak di Malaysia pada tahun 2012.

Pembangunan Pulau Pinang untuk masa depan

Selama 50 tahun, Pulau Pinang telah dianaktirikan oleh Kerajaan Persekutuan yang menyebabkan infrastruktur pengangkutan awam dan juga dalam pelabuhan laut dan lapangan terbang tidak bertaraf antarabangsa. Landasan lapangan terbang kita masih tidak sebesar Langkawi dan terlalu pendek untuk membenarkan pesawat Airbus A380 untuk belepas dalam keadaan penuh. Pelabuhan Pulau Pinang akan menjadi terbiar selagi projek pengorekan dasar laut untuk mendalamkannya kepada 15 meter sebanyak RM353 juta tidak dijalankan. Feri Pulau Pinang yang ikonik hidup segan mati tak mau.

Kerajaan negeri berusaha dalam 5 tahun untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam untuk menangani masalah kesesakan lalulintas tetapi dihalang oleh kerajaan pusat BN. Pulau Pinang merupakan negeri pertama yang tawarkan bas percuma dalam George Town dan juga secara dua hala di antara Seberang Jaya ke Bayan Lepas dan Balik Pulau yang dibiayai penuh oleh kerajaan negeri sebanyak RM2.5 juta setahun. Kita telah mengambil pendekatan luar kotak dengan menawarkan RM10 juta setahun kepada Rapid Penang untuk menyediakan perkhidmatan bas percuma di serata negeri Pulau Pinang pada waktu puncak. Malangnya, tawaran ini tidak diterima oleh kerajaan Persekutuan.

Oleh itu, kerajaan negeri tidak ada pilihan tetapi mengumumkan projek RM6.3 bilion untuk membina 4 lebuhraya utama untuk mengatasi masalah keseseakan lalulintas di antara Tanjung Bungah ke Batu Ferringhi dan Teluk Bahang, di antara Persiaran Gurney dan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, di antara Bandar Baru Air Itam dengan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dan terowong bawah dasar laut daripada Persiaran Gurney ke Bagan Ajam si Seberang Perai Utara bagi mengurangkan kesesakan lalulintas. Kita tidak boleh terima pandangan pihak tertentu yang mahu kita kenakan bayaran masuk setiap kereta yang masuk kawasan pulau kerana Pulau Pinang bukan hanya untuk orang kaya tetapi untuk semua.

Untuk membekalkan rumah mampu milik kerajaan negeri mencipta sejarah di Malaysia dengan memperuntukkan jumlah paling besar sebanyak RM500 juta untuk Tabung Perumahan Mampu Milik bagi membina 22,172 unit rumah, termasuk di kawasan pulau. Baru-baru ini, kita telah mengadakan pameran dan pendaftaran minat perumahan mampu milik Kerajaan Negeri yang telah disambut dengan baik dengan lebih 19,000 permohonan. Antara projek-projek rumah mampu milik yang bakal dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri adalah projek 1,320 unit di Jalan SP Chelliah (George Town), 12,000 unit di Bandar Cassia, Batu Kawan, Teluk Kumbar, Ampang Jajar, Kampung Jawa dan Bukit Mertajam.

Pulau Pinang No. 1

Adalah tidak mustahil untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai No. 1 di Malaysia. Pulau Pinang sudah pun diiktiraf di persada antarabangsa pada tahun 2011 apabila kita dipilih oleh Yahoo Travel sebagai antara 8 pulau teratas di dunia yang harus dilawat. Pada tahun ini, George Town telah dipilih sebagai lokasi persaraan No. 4 di dunia dan satu-satunya bandar Asia dalam senarai 8 teratas. Pada tahun 2011 dan 2012, George Town telah menjadi bandar paling sesuai didiami buat kali pertama dalam sejarah Malaysia.

Sungguhpun begitu, jalan ke arah menjadi No. 1 itu penuh dengan rintangan dan cabaran. Semasa penubuhan Malaysia pada tahun 1963, pendapatan per kapita Malaysia merupakan 13.6% pendapatan AS, manakala pendapatan per kapita Korea dan Taiwan adalah lagi rendah iaitu 10.7% dan 12.6% masing-masing. 50 tahun lalu, kita jelas di hadapan berbanding Korea dan Taiwan, Hari ini, Malaysia sudah terkebelakang. Sementara Korea dan Taiwan sudah berjaya menjadi ekonomi berpendatapan tinggi, Malaysia masih lagi terperangkap dalam perangkap pendapatan sederhana walaupun mempunyai banyak kelebihan semulajadi berbanding negara-negara tersebut.

Pendapatan sebagai % pendapatan AS (dalam KDNK per kapita)

1963 1996 2007
Taiwan 12.6% 55.7% 66.8%
Korea Selatan 10.7% 49.9% 61.4%
Malaysia 13.6% 30.7% 31.9%

Jelas, Pulau Pinang dan Malaysia kini sudah pun terkebelakang. Sungguhpun begitu, dalam 5 tahun yang lepas, sedikit demi sedikit kita telah berjaya kembali ke halatuju yang betul. Melalui amalan prinsip CAT yang menjadi tunjang pentadbiran, peningkatan kesesuaian untuk didiami dengan usaha Pulau Pinang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat, pembangunan infrastruktur untuk meningkatkan keterhubungan Pulau Pinang serta dasar berjiwa rakyat yang memperkasakan rakyat dari segi ekonomi dan demokrasi, membebaskan rakyat daripada belenggu kemiskinan dan menghapuskan gejala rasuah dan kronisme dalam pentadbiran, kami yakin kita dapat memacu Pulau Pinang ke arah menjadi negeri No. 1 di Malaysia.

Dengan ini, saya berbesar hati untuk mengumumkan bahawa tema PRU13 Pakatan Rakyat Pulau Pinang adalah “Pulau Pinang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat”.

Lim Guan Eng Pengerusi Pakatan Rakyat Pulau Pinang & Ketua Menteri Pulau Pinang