Pengiraan Detik 40 Hari ke PRU13 – Rakyat Malaysia dijemput untuk memberikan pandangan mereka sama ada saya perlu menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya TI-M selepas ditandatangani Najib

Pengerusi Transparency International-Malaysia (TI-M) Paul Low telah mengakui bahawa Ikrar Integriti Pilihan Raya (EIP) yang ditandatangani oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak minggu lepas tidak terikat dengan undang-undang.

Bagaimanapun, TI-M akan mempertanggungjawabkan mereka yang menanda tangan, termasuklah Najib, dengan mendedahkan kesalahan mereka pada lama sesawang dan media sosial seperti Facebook danTwitter untuk memberikan tekanan kepada mereka yang melanggar ikrar.

Saya berterima kasih kepada Paul Low kerana berterus-terang mengakui bahawa tiada cara menguatkuasakan melalui undang-undang tanda tangan EIP Najib akan tetapi apa yang sepatutnya membuatkan TI-M terganggu adalah kurangnya moral, etika dan kemampuan meyakinkan kerena strategi “memalukan mereka yang melanggar ikrar secara atas talian” tidak mungkin menggentarkan hati keras mereka yang melanggar ikrar.

Inilah sebabnya mengapa Najib boleh menjadi pelanggar EIP TI-M bersiri dalam tempoh 15 hari Tahun Baru Cina, termasuklah contoh berikut:

  • Mengingkari ikrar unruk mendukung prinsip “Kebenaran, integriti, tatalaku beretika dan akauntabiliti” apabila berkempen di Kuala Terengganu dengan mencipta pembohongan bahawa “undi untuk DAP adalah satu undi kepada penindasan terhadap umat Islam seluruhnya”;

  • Mengingkari ikrar “Tadbir urus yang baik serta ketelusan” apabila Najib memberikan arahan yang bersifat perkauman dan memecah-belahkan untuk secara eksklusif menayangkan filem 13 Mei, Tanda Putera, kepada 3,000 peneroka Felda walaupun Kabinet membuat keputusan November lalu bahawa filem itu “tidak sesuai” ditayangkang kerana “berat sebelah” dalam memaparkan rusuhan 13 Mei 1969.

  • Bersalah melakukan rasuah “politik wang” menjelang PRU13 dengan perbelanjaan besar melebihi RM3.5 juta untuk menjemput bintang K-Pop Korea ke Pulau Pinang untuk Rumah Terbuka Tahun Baru Cina BN pada 11 Febuari untuk mempersembahkan Gangnam Style – politik wang menjelang dan ketika kempen pilihan raya umum merupakan ibu kepada rasuah yang berleluasa di Malaysia.

Bagaimana strategi “namakan dan malukan” TI-M akan berjaya terhadap Najib dan UMNO/BN apabila mereka tidak merasakan sebarang rasa malu terhadap Indeks Persepsi Rasuah (CPI) TI sepanjang 18 tahun yang telah memberikan rekod buruk kepada empat tahun pemerintahan Najib sebagai lebih korup berbanding Perdana Menteri sebelumnya yakni Tunku Abdul Rahman, Razak, Hussein Onn, Dr. Mahathir dan Abdullah Ahmad Badawi?

Bagaimana strategi “namakan dan malukan” TI-M berkenaan Ikrar Integriti Pilihan Raya akan berjaya atau mempunyai sebarang kemungkinan berjaya apabila setakat ini Najib tidak mempedulikan strategi “namakan dan malukan” paling teruk dan memalukan melibatkan skandal antarabangsa yang lama tidak selesai-selesai, baik pembunuhan C4 warga Mongolia Altantuya Shaariibuu, pembelian kapal selam Scorpene berjumlah RM7 bilion daripada syarikat pertahanan Perancis DCNS ketika Najib merupakan Menteri Pertahanan dan siri-siri skandal besar perolehan kewangan pertahanan seperti penipuan penswastaan RM400 juta Kementerian Kewangan melibatkan ketua Wanita UMNO Selangor Raja Ropiaah Raja Abdullah?

Inilah sebabnya mengapa saya telah melontarkan soalan-soalan berikut minggu lalu berikutan riuhnya Perdana Menteri mendandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya TI-M:

  1. Sekiranya Suharto atau Marcos, dua orang yang telah menaikan nama ASEAN ke peringkat global apabila mengiringi “pemimpin paling korup dalam dunia” seperti kleptocrats Mobutu Sese Seko dari Zaire dan Sani Abacha dari Nigeri, telah menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya sewaktu di puncak kuasa, apakah akan memperhebat atau mencemar ikrar itu?

  2. Apakah TIM mempunyai sebarang mekanisme untuk menerima dan menyiasat rungutan bahawa penandatangan telah melanggar empat prinsip yang termaktub di dalam Ikrar Integriti Pilihan Raya – baik ketika menjelangnya PRU13 atau ketika kempen PRU13?

  3. Apakah Transparency International Malaysia mempunyai peruntukann memadam dan membatalkan penandatangan kepada Ikrar Integriti Pilihan Raya yang terang-terangan melanggar empat prinsipnya menjelang PRU13?

  4. Adakah TI-M bersetuju kepada penambahan kepada Ikrar Integriti Pilihan Raya untuk memastikan penandatangani telah menandatangan satu dokumen yang bermakna untuk mewujudkan era baru integriti, yang perlu menyebutkan antaranya iltizam berikut daripada penandatangan:

(i) Pengisytiharan Umum Aset oleh semua Menteri, Timbalan Menteri, Ketua Menteri dan Menteri Besar (a) sebelum mereka memegang jawatan (b) pada waktu ini.

(ii) Berikrar “tiada politik wang” dalam PRU13.

(iii) Berikrar tidak akan membangkitkan momokan 13 Mei atau menggunakan politik ketakutan, ugutan atau kebencian untuk menakut-nakutkan

pengundi;

(iv) Iltizam terhadap pilihan raya bebas, adil dan bersih; dan

(v) Berikrar untuk menerima keputusan pengundi PRU13 dan akan memudahcara satu peralihan kuasa yang aman di Putrajaya sekiranya itulah kehendak pengundi.

Malaysia tidak mahu Kebangkitan Arab yang melibatkan pertumpahan darah dan revolusi.

Sebaliknya dengan menjemput Psy ke Malaysia dengan Gangnam Stylenya, Malaysia sepatutnya mencontohi peralihan demokratik Korea Selatan pada tahun 1997 apabila Korea Selatan mengambil langkah penting untuk menjadi negara demokrasi matang apabila melaksanakan peralihan kuasa secara aman dengan calon presiden Oposisi Kim Dae-jung yang dipilih dan mengangkat sumpah sebagai Presiden Korea Selatan.

Bolehkah Malaysia mencapai tahap Kebangkitan Korea Selatan yang dilalui negara itu dalam transformasi demokratik sejak 15 tahun lalu dan memperlihatkan satu peralihan kuasa secara aman di Putrajaya dalam PRU13?

Saya bersedia menandatangi Ikrar Integriti Pilihan Raya TI-M tetapi mestilah sesuatu yang bermakna dan bukannya amalan sia-sia hanya untuk “menutup” rasuah yang berleluasa dan penyalahgunaan kuasa oleh pengingkar integritim, ketelusan dan akauntabiliti!

Saya menjemput rakyat Malaysia untuk memberikan pandangan mereka sama ada saya patut menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya TI-M selepas Najib menandatanganinya, baik melalui media sosial atau saluran langsung yang lain.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Timur