Pengiraan Detik 33 Hari ke PRU13 – Adakah Najib akan membubarkan Parlimen pada 11 Mac pukul 11.11 pagi?

Dua hari lalu, saya telah ditanya sama ada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan membubarkan Parlimen pada 11 Mac pukul 11.11 am.

Ini mengingatkan saya kepada ramalan “Enam Satu” dua tahun lalu, bahawa Najib akan membubarkan Parlimen pada 11 Nov, 2011, yang mempunyai “6 angka 1”, memandangkan “11” merupakan nombor kegemaran dan nombor ajaib Najib.

Akan tetapi “Enam Satu” “11.11.11” telah datang dan pergi, tahun 2011 dan 2012 telah berakhir, dan bermula hari ini, Parlimen ke-12 telah melangkaui lima tahun jangka hayat kebiasaan menjadikan Najib di mata kebanyakan rakyat Malaysia sebagai Perdana Menteri “tidak sah”, terutamanya apabila Najib merupakan Perdana Menteri paling lama tanpa mandatnya sendiri hampir empat tahun lamanya!

Malaysia boleh mencipta sejarah dunia dan masuk di dalam Guinness Book of Records sebagai negara yang telah berada di dalam keadaan kempen pilihan raya umum untuk hampir empat tahun sejak Najib menggantukan Tun Abdullah sebagai Perdana Menteri keenam Malaysia pada 3 April 2009.

Akan tetapi Najib masih takut untuk membubarkan Parlimen untuk berdepan dengan pilihan raya walaupun beliau hanya memperoleh ruang bernafas hanya 49 hari lagi sebelum Parlimen sekarang terbubar secara automatik pada 27 April mengikut Perlembagaan, tanpa keperluan untuk Perdana Menteri mengadap Yang di Pertuan Agong bagi membubarkan secara rasmi!

Najib hanya ada dirinya untuk dipersalahkan sekiranya beliau dianggap sebagai Perdana Menteri “tidak sah” yang sepatutnya menjadi Perdana Menteri Sementara mengetuai Kabinet Sementara yang tidak sepatutnya membuat sebarang keputusan besar atau substantif baik melibatkan dasar, perlantikan, kewajipan berkontrak atau menyalahgunakan perkhidmatan awam baik pegawai, simber dan dana awam tanpa berunding dengan Oposisi.

Malam semalam, sewaktu melancarkan Institut Wasatiyyah Malaysia, Najib menyeru umat Islam dan bukan Islam di Malaysia untuk mengamalkan konsep dan semangat wasatiyyah (sederhana) dan menjadikannya teras serta hala tuju negara untuk memastikan kemakmuran dan kebaikan negara.

Najib semakin berjaya menjadi pendukung “ironi kepada ironi”, secara terbuka menyokong konsep yang beliau tidak ada niat atau kesungguhan politik untuk mengamalkannya.

Saya hanya perlu berikan tiga contoh:

  • Dasar 1Malaysianya empat tahun lalu untuk semua rakyat Malaysia melihat dirinya terlebih dahulu sebagai rakyat Malaysia, dan kemudiannya barulah melihat dirinya berdasarkan bangsa, agama, kawasan geografi – yang tidak diakui Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan sehingga sekarang tidak pernah disokong secara terbuka baik oleh Kabinetnya, Majlis Tertinggi UMNO atau Majlis Tertinggi BN.

  • Pernyataan beliau mahu menjadikan Malaysia “demokrasi terbaik di dunia” akan tetapi menunjukkan isyarat menolak untuk memastikan pilihan raya umum ke-13 dianggap bersih, bebas dan adil di dalam dan luar negara.

  • Beliau menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya Transparency International-Malaysia walaupun Malaysia di bawah pemerintahan beliau adalah yang paling korup dibandingkan dengan lima Perdana Menteri sebelumnya, tidak kira kriteria apa pun yang digunakan. Walaupun Najib menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya, beliau dan pemimpin UMNO/BN tidak ragu-ragu untuk mengingkarinya, ketika pusing satu negara, sehingga ke hari ini.

  • Wibabawa atau legitimasi apa yang ada pada sokongan Najib terhadap Wasatiyyah dan penubuhan Institut Wasatiyyah Malaysia apabila sejak empat tahun lalu Biro Tata Negara (BTN) di dalam Jabatan Perdana Menteri memiliki belanjawan sebanyak RM300 juta untuk menjadi alat kebencian kaum bagi menghasut kebencian kaum dan mencipta lebih banyak rasis berbanding nasionalis Malaysia – amat bercanggah dan memudaratkan kepada konsep dan semangat wasatiyyah?

Bolehkah Najib menjelaskan apakah itu “wasatiyyah” yang beliau ucapkan ketika Tahun Baru Cina baru-baru ini, beliau dan kerajaan beliau melanggar konsep dan semangat wasatiyyah seperti contoh berikut:

  1. Mendukung ekstrimisme dan pembohongan apabila beliau mengisytiharkan di Kuala Terengganu pada 23 Feb bahawa “satu undi untuk DAP adalah satu undi untuk penindasan umat Islam”,

  2. Arahan bersifat rasis, ekstrimis dan memecah-belah untuk menayangkan filem 13 Mei, Tanda Putera, secara ekslusif kepada 3,000 peneroka Felda walaupun November lalu Kabinet telah menetapkan filem itu “tidak sesuai” ditayangkan kerana “berat sebelah” dalam paparannya tentang rusuhan 13 Mei pada tahun 1969; dan

  3. Menghalang seorang wartawan bukan Melayu daripada sebuah akhbar Bahasa Inggeris daripada membuat liputan sebuah program yang dianjurkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Pulau Pinang semalam sementara wartawan Melayu dibenarkan masuk.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Timur