Datuk Seri Najib Tun Razak dalam keterdesakan membuat janji kosong pilihan raya dan secara tidak jujur mengulang janji kitar semula kononnya Kerajaan Persekutuan

Perdana Menteri Sementara Datuk Seri Najib Tun Razak telah menghina 4,000 keluarga sedia ada, dalam keterdesakan membuat janji kosong pilihanraya dan secara tidak jujur mengulang janji kitar semula kononnya Kerajaan Persekutuan akan membina 9,999 unit rumah kos rendah dan sederhana di Air Putih, Ayer Itam dan Paya Terubong.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat terkejut dengan pengumuman Najib kononnya melalui 1Malaysia Development Berhad, beliau telah menandatangani perjanjian beli tanah di Air Putih, Ayer Itam dan Paya Terubong bagi membina 2,222 rumah kos rendah dan sederhana serta 1,111 rumah mampu milik. Tanpa memaklumkan 4,000 keluarga yang terlibat dan bakal dihalau dari tempat tersebut, Najib telah mengina mereka kerana sanggup mengorbankan perumahan yang dikongsi 4,000 keluarga hanya kerana tujuan politik. Mengapakah BN dan Najib berperangai buruk sebegitu dengan tidak berunding dahulu dengan 4,000 keluarga tetapi hanya terus mahu meranapkan rumah mereka dengan satu pengumuman sahaja tanpa memaklumkan mereka?

Jelas sekali Najib sangat terdesak untuk membuat janji-janji kosong untuk membina 9,999 rumah mampu milik, satu janji yang tidak bernilai kerana ia dibuat betul-betul sebelum pilihanraya. Sesungguhnya janji Najib untuk membina 9,999 rumah mampu milik di Air Putih, Ayer Itam dan Paya Terubong tidak pun termasuk dalam manifesto BN yang dilancarkan oleh Najib sendiri. Janji baru ini nyata sebuah penipuan kerana jika rumah ini akan dibina oleh kerajaan persekutuan BN, kenapa janji ini tidak dimasukkan dalam manifesto nasional BN?

Najib juga tidak jujur apabila berjanji bahawa mereka yang tinggal di 962 rumah satu bilik di Kampung Melayu akan diberi rumah tiga bilik di dalam skim rumah mampu milik di Ayer Itam. Ini satu lagi janji kosong BN yang terus dikitar semula dalam setiap pilihanraya umum; yang kali terakhir dilakukan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamad Yakcop pada tahun 2008 dan tidak pernah ditunaikan.

Bagi rumah pangsa Padang Tembak, janji Najib untuk menggunakan tanah FRU digabungkan dengan kawasan rumah pangsa sedia ada untuk membina 4,800 rumah kos rendah dan sederhana membangkitkan persoalan sama ada penduduk sedia ada akan dihalau keluar, terutamanya yang menyewa. Malah, isu kesesakan lalulintas juga masih tidak diselesaikan. Dalam sebuah kawasan yang sesak dengan kepadatan tinggi, bagaimana Kerajaan Persekutuan akan membina lebuhraya baru bagi mengatasi kesesakan jalanraya dengan kepadatan yang bertambah disebabkan 15,000 rumah baru.

BN selalu mengkritik kerajaan negeri kononnya mengabaikan kesesakan lalulintas disebabkan projek perumahan, termasuk 22,172 unit rumah mampu milik yang dicadangkan oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat. Namun BN telah memilih untuk berdiam diri tanpa menyatakan lebuhraya apa yang ia akan bina apabila terjadinya kesesakan jalanraya yang amat teruk di Air Putih, Paya Terubong dan Ayer Itam hasil daripada 15,000 rumah baru ini?

Pakatan Rakyat mencabar Najib untuk melaksanakan janji BN, terutamanya projek monorail yang dijanjikan dalam tahun 2006. Walaupun BN gagal melaksanakan janjinya dalam tahun 2006, Najib masih tidak segan untuk mengulangi janji kitar semula untuk membina monorail tersebut sekali lagi. Tun Abdullah Ahmad Badawi telah gagal melaksanakan janji tersebut ketika beliau menjadi Perdana Menteri, dan Datuk Seri Najib juga gagal melakukannya selepas mengambil alih daripada Pak Lah. Jelaslah bahawa monorail atau tram hanya akan diwujudkan di Pulau Pinang apabila Dato Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri yang baru pada 5 Mei 2013.

Lim Guan Eng Pengerusi Pakatan Rakyat Pulau Pinang & Ketua Menteri Sementara Pulau Pinang