Hentikan pembodohan rakyat melalui revisinisme sejarah

Saya kecewa terhadap tindakan polis yang menahan Sasterawan Negara A. Samad Said yang juga dikenali sebagai Pak Samad pada lewat malam 3 September yang lalu, berikutan penahanan dua orang lagi aktivis iaitu Hishammudin Rais dan Adam Adli Abdul Halim sehari sebelum itu.

Alasan yang diberi atas penahanan Pak Samad, Hishammudin Rais dan Adam Adli adalah kerana mereka didakwa mengibarkan "Bendera Sang Saka Malaya" pada malam sebelum Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka.

Ini bukan kali pertama pihak polis berbuat demikian. Pada tahun lepas, seorang blogger juga disiasat polis kerana mengibarkan "Bendera Sang Saka Malaya".

Bendera Sang Saka Malaya, merupakan bendera Tanah Melayu merdeka yang dikemukakan oleh pergerakan pejuang kemerdekaan AMCJA-PUTERA yang terdiri daripada tokoh-tokoh yang ada di kalangan mereka lebih awal lagi menuntut kemerdekaan tanahair sepenuhnya sebelum tokoh-tokoh UMNO dan Parti Perikatan.

Justeru, pengecaman terhadap seorang tokoh Melayu tersohor seperti Pak Samad dan aktivis-aktivis lain semata-mata kerana mereka memperingati sejarah asli negara kita merupakan satu lagi usaha revisinisme sejarah yang didukung oleh parti pemerintah Barisan Nasional.

Revisinisme sejarah merupakan penyelewengan fakta sejarah bagi memberi gambaran yang tidak tepat tentang apa yang berlaku. Usaha berbentuk propaganda ini sering dilakukan oleh rejim yang cuba menutup fakta sejarah bagi mencapai kepentingan politik yang sempit.

Satu lagi contoh revisinisme sejarah ialah filem Tanda Putera yang mendapat pembiayaan kewangan oleh kerajaan Barisan Nasional yang cuba memberi gambaran sejarah daripada teropong politik sempit UMNO-Barisan Nasional.

Justeru, saya menyeru kerajaan Barisan Nasional supaya berhenti menyebarkan propaganda politik melalui revisinisme sejarah termasuk dalam sukatan pelajaran Sejarah di peringkat sekolah. Kerajaan tidak patut memperalatkan sejarah sebagai propaganda politik demi untuk menjamin kedudukan parti pemerintah. Selain itu, saya juga menyeru supaya segala tuduhan terhadap Pak Samad, Hishammudin Rais dan Adam Adli digugurkan serta merta.

Steven Sim Chee Keong Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan, DAPSY & Ahli Parlimen Bukit Mertajam