Saya kecewa Tanda Putera remehkan jasa Tun Razak

Menurut artikel Malaysiakini yang bertajuk “Zam: DAP irate as its logo stands out in Tanda Putera” yang bertarikh 4 September 2013, bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin dipetik sebagai berkata, DAP menentang filem Tanda Putera kerana logo parti itu jelas dipaparkan dalam filem kontroversi 13 Mei 1969 dalam babak rusuhan kaum.

Saya ingin menyatakan bahawa saya telah menonton filem Tanda Putera, dan saya mengaku bahawa saya sangat kecewa. Walau bagaimanapun, rasa tidak puas hati saya terhadap filem ini tidak begitu banyak berpunca daripada hakikat cemuhan terhadap DAP (sememangnya, logo kami kelihatan jelas dalam kebanyakan adegan rusuhan kaum, meskipun tidak ada rujukan langsung bagi menghubungkan DAP dengan rusuhan). Ini adalah kerana saya telah menjangkakan penyelewengan realiti ini, sebagaimana DAP sentiasa dimangsakan dengan pelbagai tohmahan sejak kebelakangan ini, khususnya berkenaan pemilihan CEC yang lalu.

Saya juga tidak terkejut dengan gambaran tidak adil dan berat sebelah terhadap masyarakat Cina sebagai pencetus utama rusuhan kaum. Itu juga telah dijangka, memandangkan filem ini dibiayai sepenuhnya oleh geran RM4.8 juta daripada FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional) dan MDEC (Perbadanan Pembangunan Multimedia). Lagipun, perangkap perkauman dan provokasi adalah modal harian media arus perdana yang dikuasai BN.

Walau bagaimanapun, apa yang paling mengejutkan saya, dan mengecewakan pada masa yang sama, adalah hakikat bahawa disebalik jumlah wang yang dilaburkan, filem ini gagal dalam objektif utamanya – menghormati dan memuliakan pencapaian sebenar Allahyarham Tun Abdul Razak.

Tun Razak, Perdana Menteri kedua, juga dikenali sebagai Bapa Pembangunan, gelaran penghormatan yang mencerminkan usaha beliau dalam memperjuangkan reformasi tanah besar-besaran yang dilaksanakan pada 1960-an dan awal 1970-an.

Di bawah kepimpinan beliau, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Lembaga Pembangunan Bandar (UDA) telah dibentuk, yang akhirnya membawa kepada pembangunan luar bandar yang pesat dan pembandaran besar-besaran orang Melayu. Melalui FELDA, Melayu luar bandar telah ditempatkan semula ke kawasan pembangunan baru dan dikurniakan tanah bagi membolehkan mereka melibatkan diri dalam pertanian moden. UDA pula telah ditugaskan untuk memudahcarakan migrasi Melayu ke bandar.

Hasil daripada inisiatif ini, berjuta-juta orang Melayu berjaya keluar daripada kemiskinan, manakala peluang pendidikan dan ekonomi dapat dicapai oleh orang Melayu luar bandar yang kemudiannya membentuk kelas menengah Melayu berdaya maju yang ada kini. Ini semua adalah sumbangan terbesar Tun Razak kepada negara.

Malangnya, sesiapa yang menonton filem ini tidak akan dapat menghargai mana-mana usaha tersebut. Sebaliknya, penonton hanya akan mengetahui bahawa kalaulah tidak kerana Tun Razak, syarikat penerbangan Malaysia hari ini akan dikenali sebagai MAL, dan bukan MAS.

Selain daripada penyalahgunaan nyata berjuta ringgit dana awam untuk propaganda diri sendiri, saya percaya tragedi terbesar filem ini adalah kegagalan untuk menyumbang nilai positif berkenaan salah satu daripada pemimpin besar negara kita.

Zairil Khir Johari Ahli Parlimen Bukit Bendera