Syarikat swasta tidak boleh melaksanakan dasar diskriminasi dari segi agama, budaya, bangsa atau jantina

Saya terasa amat sedih melihat adanya syarikat-syarikat swasta di Malaysia, apatah lagi di kawasan keutamaan seperti KLCC yang menjalankan dasar diskriminasi mengikut agama dan budaya dalam tawaran pekerjaan. Pihak media telah melaporkan bahawa ramai wanita beragama Islam ditolak permohonan pekerjaan di KLCC secara langsung atas sebab mereka bertudung.

Akan tetapi yang mengejutkan adalah bila pihak universiti dan tokoh-tokoh ekonomi menyokong tindakan sebegitu atas dasar “free market” atau pasaran bebas atas sebab kepentingan keuntungan.

Mengikut The Malaysian Insider, pakar Ekonomi RAM Holdings Dr Yeah Kim Leng berkata pasaran perniagaan komersial seperti pasar raya dan pusat membeli-belah adalah pasaran kompetitif yang ditentukan oleh pelanggan.

"Perniagaan komersial mensasarkan kepada pelanggan, dan untung rugi... faktor kaum bukan penentu kepada kelangsungan perniagaan bertahan lama. Kita boleh sediakan tempat dan sebagainya, tetapi kalau tak bertahan dan tiada pembeli, peniaga tetap akan rugi," katanya.

Alasan di atas perlu diketuk sekeras-kerasnya dan tidak boleh diterima di Malaysia di mana penubuhan sebuah masyarakat yang adil, bertimbangrasa, saksama dan tanpa diskriminasi adalah keutamaan. Jika sesebuah perniagaan hanya dapat mencapai keuntungan berdasarkan diskriminasi mengikut bangsa, agama dan jantina, lebih baik jika syarikat tersebut tidak beroperasi di negara kita.

Mengikut justifikasi yang diberikan oleh Dr Yeah, atas kepentingan untung rugi dan “pasaran kompetitif yang ditentukan oleh pelanggan”, adakah kita akan membenarkan sesebuah syarikat mendiskriminasikan kaum wanita atas sebab keperluan mereka untuk mengambil cuti 3 bulan setiap kali anak dilahirkan? Adakah syarikat kita tidak akan memberikan keutamaan kepada pekerja beragama Islam atas sebab keperluan pihak Muslimin dan Muslimat untuk bersembahyang beberapa kali sehari? Adakah kaum India dibenarkan untuk dipinggirkan atas sebab mereka berkulit hitam?

Dasar diskriminasi tidak ada ruang dalam masyarakat Malaysia dan langsung tidak boleh dibenarkan untuk berakar atau menjadi sesuatu perkara kebiasaan. Pihak majikan hanya boleh memilih pekerja mereka mengikut prinsip-prinsip kemahiran, sama ada dari segi pendidikan, pengalaman dan kemahiran tertentu untuk pekerjaan-pekerjaan yang spesifik.

Ketua Jabatan Perniagaan dan Pentadbiran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Dr Suhaimi Mohd Sarif berkata, desakan kumpulan berkenaan adalah disebabkan mentaliti "mereka yang mahukan subsidi…Mereka rasa diskriminasi disebabkan kadar sewa yang mahal.”

"Persepsi yang ada pada Bumiputera adalah mereka perlu menerima dikenakan bayaran yang lebih rendah... ini mentaliti mereka yang mahu subsidi," katanya.

Saya ingin menekan bahawa isu diskriminasi bukannya isu mentaliti subsidi. Permintaan peluang pekerjaan dengan majikan-majikan di KLCC ini bukannya permintaan gaji lebih tinggi daripada pekerja yang lain. Mereka juga tidak meminta mendapat pekerjaan tersebut atas sebab mereka bumiputera. Isu diskriminasi terbangkit atas sebab permohonan mereka ditolak hanya atas sebab mereka bertudung.

Sempena menyambut Hari Kemerdekaan ke 56 dan Hari Malaysia ke 50, kami berharap supaya semua majikan di negara kita akan dapat memansuhkan segala sikap diskriminasi terhadap kaum Melayu, India, Cina dan orang-orang asal Sabah dan Sarawak. Kami menyeru supaya semua pihak mahupun pihak kerajaan, swasta atau masyarakat, akan mengutamakan rakyat Malaysia tak kira bangsa, agama dan jantina dan merealisasikan impian “Malaysian First”, seperti yang diulaskan dalam dasar Pelan Transformasi Kerajaan (GTP).

Tony Pua Kiam Wee Setiusaha Publisiti Kebangsaan DAP & Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara