Negeri Perak naib johan miskin dan miskin tegar

Kadar kemiskinan di Negeri Perak masih tinggi berbanding dengan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia. Mengikut rekod yang diberikan oleh Parlimen Malaysia, terdapat seramai 908 bilangan isirumah miskin tegar pada tahun 2012. Pada tahun yang sama jumlah isi rumah miskin di Perak ialah 8600. Jumlah ini adalah sangat tinggi dan membimbangkan.

Menurut perangkaan yang diberikan oleh Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri jumlah keseluruhan isirumah tegar di negara kita termasuk di Sabah dan Sarawak ialah 15805. Manakala jumlah isirumah miskin pula ialah 108,000. Daripada jumlah keseluruhan isi rumah miskin tegar ini, pecahan bagi Negeri Perak ialah 5.7%. Begitu juga, pecahan isi rumah miskin di Negeri Perak merangkumi 7.96% daripada jumlah keseluruhan negara. Walaupun peratusan ini tidak nampak begitu besar tetapi penghitungan seperti ini adalah tidak realistik. Ini adalah kerana sebahagian besar daripada isirumah miskin dan miskin tegar datangnya daripada Sabah dan Sarawak.

Isirumah miskin tegar di Sabah ialah 8457 dan di Sarawak ialah 1801. Bagi isirumah miskin pula Sabah mencatatkan jumlah terbesar iaitu 42,400 diikuti oleh Sarawak 12600. Dalam kata lain, jumalah isirumah miskin tegar di Malaysia Timur ialah 10258 iaitu 64.9%, manakala isirumah miskin bagi kedua-dua negeri tersebut ialah 55000 iaitu 51.11%.

Daripada perkiraan itu, jumlah keseluruhan isi rumah miskin tegar di Semenanjung Malaysia ialah 5547dan jumlah isirumah miskin pula ialah 53000. Satistik-statistik ini membuktikan bahawa sebahagian besar daripada golongan berpendapatan rendah adalah daripada Sabah dan Sarawak. Justeru, adalah tidak wajar untuk menghitung peratusan miskin dan miskin tegar Negeri Perak daripada jumlah keseluruhaan yang merangkumi angka-angka besar daripada Malaysia Timur.

Apabila dibandingkan dengan jumlah isirumah miskin tegar di Malaysia Barat, Perak merangkumi satu nilai yang memeranjatkan iaitu 16.36%. Begitu juga, jumlah isirumah miskin Negeri Perak ialah 16.22% daripada jumlah yang direkodkan untuk keseluruhan Semenanjung Malaysia. Jumlah ini adalah amat tinggi jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.

Negeri yang mempunyai bilangan isirumah miskin tegar dan miskin yang terbanyak di Semenanjung Malaysia ialah Negeri Kelantan iaitu 1048 dan 8800 masing-masing. Untuk kategori miskin tegar, Negeri Perak telah jatuh ke tempat kedua iaitu 908 isirumah diikuti oleh Negeri Pahang 720 isirumah dan Negeri Kedah 644 isirumah. Negeri Perak juga menjadi Naib Johan bagi kategori miskin iaitu 8600 isirumah diikuti oleh Negeri Kedah 7400 isirumah dan Negeri Johor 7000 isirumah. Negeri Trengganu pula jauh lebih baik daripada Negeri Perak kerana hanya 465 isi rumah miskin tegar dan 3800 isirumah miskin.

Statistik-statistik yang dibekalkan oleh Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri membuktikan bahawa Negeri Perak tidak mempunyai pencapaian atau prestasi yang baik dalam menangani masalah kemiskinan. Kerajaan Perak seharusnya berasa malu kerana tidak berjaya untuk kembalikan zaman kegemilangan ekonomi yang pernah dicapai suatu ketika dahulu. Negeri Perak pernah menjadi negeri terkaya dan termasyhur. Kini, menjadi Naib Johan dalam jumlah isirumah miskin dan miskin tegar.

Dalam keadaan uzur seperti ini pun, Kerajaan Negeri Perak di bawah pimpinan Menteri Besar Dato Seri Dr Zambry Abdul Kadir masih lagi boros dan menlaksanakan projek-projek yang tidak berfaedah kepada rakyat. Kerajaan Perak harus mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk mencapai 'Miskin Sifat' dalam tempoh 5 tahun akan datang.

V. Sivakumar Timbalan Pengerusi DAP Negeri Perak & Ahli Parlimen Kawasan Batu Gajah