Apakah sebab Menteri Pendidikan membelanjakan RM20 juta untuk mengupah McKinsey and Co bagi menyediakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025?

Menurut jawapan Parlimen yang telah diterima oleh Dr. Ong Kian Ming pada 23hb September 2013 semalam, jumlah sebanyak RM20,566,400 telah dibayar kepada McKinsey & Co, iaitu sebuah firma pakar runding pengurusan (‘management consultancy’) untuk menyediakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM). Pembayaran ini telah dibahagikan kepada Fasa 1 – RM4,705,400 – dan Fasa 2 – RM15,860,000.

Pembayaran ini sungguh membazirkan duit pembayar cukai kerana sebab-sebab berikut:

(i) McKinsey hanya merupakan firma pakar runding dalam pengurusan am dan sebenarnya bukan pakar dalam bidang pendidikan. Ada kemungkinan bahawa satu atau dua rakan kongsi utama McKinsey dulu terlibat dalam perundingan untuk projek-projek pendidikan tetapi pengalaman mereka tentu jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan panel pakar yang menyertai pasukan petugas projek serta panel-panel penilai bebas. Malah, dokumen mukhtamad yang dikeluarkan kurang menonjolkan tahap kepakaran yang luar biasa (jika pemilihan para perunding dibuat berdasarkan pengetahuan mereka terhadap sistem pendidikan di negara-negara lain). Pada pendapat saya, pembandingan antara sistem pendidikan di Malaysia dan di negara luar yang dibuat dalam dokumen PPPM sebenarnya boleh dibuat oleh seseorang pelajar Malaysia yang cerdik dan yang sedang menyelidik isu pentarafan pendidikan tahap antarabangsa untuk projek tahun akhirnya.

(ii) Terdapat begitu ramai pegawai dalam Kementerian Pendidikan dan jabatan-jabatan kerajaan lain yang sebenarnya mampu menjalankan tugas untuk menyediakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Dokumen PPPM sendiri menyenaraikan nama 20 individu berkaliber yang mengganggotai Pasukan Petugas Projek dan Pejabat Pengurusan Projek (PMO) termasuk Dr. Faridah Abu Hassan, Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (EPRD) serta Tengku Azian Tengku Shahriman, Pengarah NKRA dan NKEA Pendidikan. Terdapat juga 13 individu berkaliber lagi yang mengganggotai Pasukan Penyuntingan Laporan termasuk Dr. Zainal A’alam Hassan, Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dsar Pendidikan dan Dr. Aliah Haji Ahmad Shah, Ketua Unit NKEA. Mengapakah PMO tidak memilih untuk menggunakan kepakaran dan tenaga kerja dalam Kementerian dan PEMANDU untuk menyediakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025? Apakah sebab Kementerian memilih untuk membazirkan RM20 juta demi mengupah pakar perunding yang mahal?

(iii) Keputusan ini bercanggah dengan satu daripada 11 ‘anjakan’ dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 iaitu ‘Memaksimum Keberhasilan Murid Bagi Setiap Ringgit’. Duit tersebut sebenarnya boleh digunakan untuk membina 4 buah sekolah baru dengan kos RM5 juta untuk setiap satu ataupun untuk membina makmal sains baru.

Yang pelik sekali, peranan McKinsey tidak didokumenkan langsung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Jika bukan kerana soalan Parlimen dan sidang media serta kenyataan media ini, Kementerian mungkin tidak akan mendedahkan peranan dan kos pengupahan McKinsey. Ini bercanggah dengan salah satu daripada 11 ‘anjakan’ Pelan Pembangunan Pendidikan Malasia 2013-2025 iaitu untuk ‘Meningkatkan Ketulusan Untuk Akauntabiliti Awam’ dan ini tidak menyakinkan kami bahawa Kementerian akan menerbitkan laporan tahunan yang telus atau akauntabel dalam menjejak kemaraan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 seperti yang telah dijanjikan.

Kami menggesa Menteri untuk menjelaskan sebab RM20 juta telah dibelanjakan untuk mengupah McKinsey dan sama ada beliau merancang untuk terus menggunakan perkhidmatan McKinsey dalam melaksanakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.

Dr. Ong Kian Ming Ahli Parlimen Serdang Zairil Khir Johari Ahli Parlimen Bukit Bendera