Rang Undang-Undang PCA melanggar kebebasan sivil dengan tahanan tanpa bicara, halangan hak membela diri dan kuasa arbitari ‘Lembaga Pencegahan Jenayah’

Cadangan pindaan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (PCA) telah menyebabkan bantahan awam kerana dilihat sebagai usaha untuk memperkenalkan semula peruntukan kontroversi Akta Keselamatan Dalam Negeri zalim (ISA) dan Ordinan Darurat (EO), yang kedua-duanya telah dimansuhkan oleh pentadbiran yang sama.

Sekali lagi rakyat dijamu dengan tindakan cakap tidak serupa bikin oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Razak, yang pada awal penggalnya menjanjikan “transformasi” dan penghormatan kepada hak asasi manusia dan kebebasan sivil, tetapi kini telah mengabaikan janji transformasinya, dan mencalarkan kredibiliti beliau melalui tindakan ini.

Lebih penting lagi, pindaan PCA ini sangat bermasalah atas beberapa alasan berikut:

Tidak kepada tahanan tanpa bicara

Pertama, pengenalan semula tahanan pencegahan adalah benar-benar tidak perlu. Apatah lagi apabila Kerajaan sendiri telah meluluskan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, yang membenarkan tahanan pencegahan dalam kes-kes keselamatan negara. Selain itu, walaupun tanpa pindaan, PCA membenarkan reman sehingga 28 hari dan tambahan lagi 28 hari dengan kelulusan majistret.

Oleh itu, pindaan PCA boleh dilihat sebagai usaha untuk memperluaskan cakupan kuasa penahanan tanpa bicara. Daripada mengambil jalan mudah dengan menggunakan pendekatan tahanan tanpa bicara, pihak polis perlu memberi fokus kepada menyelesaikan jenayah dalam kerangka sistem perundangan jenayah yang adil.

Memesongkan prinsip keadilan

Kedua, elemen anggapan kebersalahan ataupun “presumption of guilt” adalah sangat nyata dalam pindaan yang dicadangkan dalam PCA. Sebagai contoh, seksyen 7C(a)(i) menyatakan bahawa perintah tahanan boleh dikeluarkan kepada seseorang yang telah “melakukan dua atau lebih kesalahan yang serius, sama ada atau tidak disabitkan atas kesalahan itu, jika laporan siasatan itu mendapati keterangan yang mencukupi untuk menyokong dakwaan.” Dalam erti kata lain, seseorang yang telah dituduh atas suatu kesalahan boleh ditahan tanpa perlu dibuktikan bersalah. Adakah ini tidak bercanggah dengan dasar keadilan perundangan, di mana seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah?

Kuasa arbitari Lembaga Pencegahan Jenayah

Ketiga, kelihatannya kuasa arbitari Menteri Dalam Negeri yang wujud dalam ISA telah dipindahkan kepada “Lembaga Pencegahan Jenayah.” Lembaga yang dicadangkan ini akan terdiri daripada tiga orang ahli, dengan dipengerusikan oleh seseorang yang “hendaklah menjadi atau telah, atau layak menjadi, hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi.” Selain pengerusi, akan ada dua orang anggota lain lagi. Walau bagaimanapun, rang undang-undang ini tidak memberikan sebarang perincian kriteria bagi pelantikan kedua-dua ahli ini. Ini menimbulkan banyak persoalan – siapa yang akan mengesyorkan mereka dan atas dasar apa?

Kurangnya kebebasan dan semak dan imbang dalam proses membuat keputusan

Akhir sekali, rang undang-undang yang dicadangkan ini juga melanggar hak perundangan dengan tidak membenarkan semakan kehakiman ke atas keputusan Lembaga ini. Peruntukan ini dinyatakan dalam Seksyen 15A(1): “Tidak akan ada semakan kehakiman di mana-mana mahkamah, dan tiada mahkamah boleh mempunyai atau menjalankan apa-apa bidang kuasa berkenaan dengan, apa-apa perbuatan yang dilakukan atau dakwaan atau keputusan yang dibuat oleh Lembaga dalam menjalankan kuasa budi bicara itu ....” Semakan kehakiman hanya boleh dibuat pada perkara-perkara yang berkenaan dengan pematuhan prosedur sahaja.

Oddly, however, Section 19A(2) appears to contradict the earlier section by allowing a review of “the direction of the Board... by the High Court”. As such, it is at best a contradicting law and at worst, one that ignores the fundamental principles of justice.

Pun begitu, Seksyen 19A(2) nampaknya bercanggah dengan seksyen awal dengan membenarkan semakan kehakiman oleh Mahkamah Tinggi ke atas keputusan Lembaga. Oleh itu, undang-undang ini bukan sahaja bercanggah tetapi mengabaikan prinsip asas keadilan.

Kesimpulan

Oleh itu, adalah jelas bahawa cadangan pindaan PCA ini mencabuli kebebasan awam. Walaupun kami tidak membantah pengukuhan undang-undang jenayah yang sedia ada untuk menangani keadaan jenayah yang semakin meningkat, namun pindaan ini seolah-olah satu cubaan oleh Kerajaan untuk menghidupkan semula EO dan ISA melalui pintu belakang dengan menggunakan PCA.

Steven Sim Chee Keong Ahli Parlimen Bukit Mertajam Zairil Khir Johari Ahli Parlimen Bukit Bendera