Hanya dengan melaksanakan tender terbuka yang berdaya saing dan membanteras rasuah membolehkan PM membuktikan keikhlasan beliau

Perdana Menteri hanya boleh meyakinkan orang ramai akan keikhlasan beliau dan keperluan menaikkan harga petrol RON 95 sebanyak 20 sen untuk menjimatkan kos subsidi tahunan sebanyak RM 3.3 bilion dengan turut melaksanakan tender terbuka yang berdaya saing dan melawan rasuah yang akan menjimatkan RM 51 bilion setiap tahun. Tanpa langkah-langkah yang menunjukkan komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap rasuah, orang ramai akan dengan mudah mempersoalkan keikhlasan kerajaan dan melihat tuntutan untuk mengurangkan kos sebagai palsu.

Mengapa rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah, perlu menanggung penderitaan membayar RM3.3 bilion setahun kerana peningkatan harga petrol jika tiada tindakan diambil terhadap penyamun politik yang mencuri RM51 bilion setiap tahun daripada negara ini? Dalam Manifesto Pilihanraya Umum Pakatan Rakyat 2013, berdasarkan pengalaman tanggungjawab fiskal dan memerangi rasuah oleh kerajaan negeri PR di Pulau Pinang dan Selangor, sekurang-kurangnya penjimatan 25% setahun boleh dicapai daripada kontrak perolehan kerajaan.

Lebihan bajet tahunan di Pulau Pinang, peningkatan rizab aset sebanyak 50% dan pengurangan hutang kerajaan negeri Pulau Pinang dengan rekod 95% membuktikan keberkesanan langkah-langkah integriti dari tender terbuka yang berdaya saing kepada pengisytiharan awam aset. Dengan anggaran RM 201 billion kontrak perolehan Kerajaan Persekutuan setiap tahun, penjimatan minimum 25% akan berjumlah RM51 bilion.

Mengapa kerajaan Persekutuan BN bersikap berkira pada satu sisi tetapi membenarkan pembaziran yang besar pada sisi lain dengan tidak memberi tumpuan kepada potensi penjimatan RM 51 bilion yang memberi manfaat kepada hanya beberapa kroni kaya dan bukannya memaksa 28 juta rakyat Malaysia menanggung RM3.3 bilion daripada kenaikan harga petrol?Bukan sahaja Kerajaan Persekutuan gagal melaksanakan logik mudah ini, mereka sebaliknya cuba mengalihkan perhatian dari kesimpulan yang tidak dapat dielakkan dengan memainkan perkauman, sentimen agama dan pelampau.

Taktik perkauman dan pelampau digunakan dengan jayanya oleh BN untuk mengelakkan daripada mendepani 4 masalah sebenar Malaysia, iaitu, jenayah, rasuah, peningkatan hutang kerajaan dan setiap isi rumah serta penurunan taraf pendidikan, produktiviti dan kemahiran tenaga buruh Malaysia. Di Hong Kong, ramai pelabur dan penganalisis mengenal pasti empat isu utama ini yang menjadikan Malaysia kurang menarik atau kurang berdaya saing.

Mengurangkan jenayah tidak begitu sukar jika kerajaan Persekutuan BN bersedia untuk membenarkan polis memerangi jenayah dan bukannya memantau pemimpin pembangkang. Pada masa ini hanya 10% daripada pasukan polis yang terlibat dalam penyiasatan jenayah. Jika jumlah ini meningkat kepada 50% daripada pasukan polis keseluruhannya, saya pasti polis akan dapat menumpaskan penjenayah di Malaysia dengan lebih berkesan.

BN mendakwa hutang Kerajaan Persekutuan kini 54% daripada KDNK. Walau bagaimanapun ini tidak termasuk hutang dijamin kerajaan yang akan meningkatkan jumlah hutang Kerajaan Persekutuan kepada 70%. Jika hutang 70% kepada nisbah KDNK adalah tinggi, hutang isi rumah adalah lebih tinggi pada 83.5% daripada KDNK. Kebergantungan sedemikian kepada hutang adalah kesan pinjaman fiskal melulu sebagai jalan keluar mudah dari masalah negara kita. Kerajaan Persekutuan perlu menunjukkan kepimpinan melalui teladan kepada setiap isi rumah dengan mengurangkan pergantungan hutang.

Kerajaan Persekutuan juga telah gagal untuk melabur untuk masa depan tanpa melabur dalam pendidikan yang berkualiti. Banyak pelabur asing dalam bidang teknologi tinggi berintensifkan pengetahuan merungut tentang kemerosotan kualiti dan penurunan tenaga kerja negara ini di semua peringkat, terutamanya penguasaan lemah Bahasa Inggeris. Dengan penetapan piawaian BN pada tahap cukup makan semata-mata dan bukannya budaya kecemerlangan, kepada kuota politik dan bukannya prestasi dan retorik kosong dan bukannya tindakan konkrit, Malaysia berisiko ditinggalkan bukan sahaja oleh pelabur asing berteknologi tinggi tetapi juga bakat terbaik kita yang berhijrah ke negara-negara lain seperti Hong Kong.

Kerajaan negeri Pulau Pinang berani menawarkan model di mana prestasi adalah lebih penting berbanding latar belakang politik, di mana usaha dibuat untuk menarik institusi pendidikan yang berkualiti di semua peringkat, di mana sebuah kerajaan yang jujur dan cekap melalui perkongsian dengan sektor swasta dan sektor awam serta sebuah bandar yang selamat, bersih, hijau dan sihat boleh memberikan penyelesaian kepada empat masalah yang disebut di atas.

Lim Guan Eng Ketua Menteri Pulau Pinang