Polis Cawangan Khas tidak pernah menyediakan sebarang laporan kepada Ketua Menteri PR Pulau Pinang sejak memegang jawatan pada 2008

Polis Cawangan Khas tidak pernah menyediakan sebarang laporan kepada Ketua Menteri Pakatan Rakyat Pulau Pinang sejak memegang jawatan pada 2008 tetapi mungkin hanya kepada Menteri Dalam Negeri. Jelas amalan menyediakan laporan kepada ketua menteri berkenaan prestasi wakil rakyat dan peluang mereka dalam pilihan raya, seperti didedahkan oleh bekas exco negeri Pulau Pinang, Toh Kin Woon dalam Tribunal Rakyat Bersih, telah dihentikan oleh pihak polis selepas PR mengambil alih.

Sungguhpun saya mengadakan mesyuarat bulanan Majlis Perundingan Keselamatan dan Ketenteraman Awam Negeri Pulau Pinang(MPKKANPP) yang dipengerusikan oleh saya dan dihadiri oleh Ketua Polis Negeri, hanya masalah jenayah yang dibincangkan. Tiada sebarang maklum balas daripada Cawangan Khas dan negeri tidak mempunyai akses kepada maklumat mengenai prestasi mana-mana wakil rakyat atau mana-mana kawasan yang lemah yang memerlukan perhatian.

Semasa dalam mesyuarat bulanan MPKKANPP, tumpuan utama adalah bagaimana untuk bekerjasama serta berkongsi maklumat dan sumber bagi memerangi dan mengurangkan jenayah. Mesyuarat ini merupakan usaha anti-jenayah bersama yang telah berjaya menjadikan Pulau Pinang salah satu bandar yang paling selamat di Malaysia dengan penurunan tertinggi dalam indeks jenayah selama 5 tahun berturut-turut sejak tahun 2008.

Walaupun terdapat peningkatan aktiviti jenayah pada tahun ini, ia telah ditangani oleh kerajaan negeri yang menawarkan pemasangan CCTV dan menyediakan kaki tangan untuk memantau CCTV tersebut agar anggota polis dapat melaksanakan tugas teras mereka, iaitu rondaan di tempat awam. Di samping itu, penubuhan Pasukan Peronda Sukarela (PPS) untuk menjalankan tugas kepolisan komuniti telah membantu polis untuk memberi tumpuan kepada kawasan jenayah aktif. Kenaikan lebih daripada 8% jenayah untuk 5 bulan pertama tahun ini telah dikurangkan kepada 3.3% pada September tahun ini.

Walaupun tidak ada laporan atau taklimat dari Cawangan Khas, kerajaan negeri Pulau Pinang tetap akan meneruskan mesyuarat MPKKANPP kerana ini adalah satu platform yang berkesan untuk memanfaatkan segala sumber dan meningkatkan bekerjasama dengan semua agensi bagi memerangi jenayah.

Lim Guan Eng Ketua Menteri Pulau Pinang