DAP akan mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur esok

DAP akan mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur esok sama ada ia boleh mengadakan pemilihan semula pada hari Ahad 29 September 2013 melalui sebuah Kongres Khas Kebangsaan sepertimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Parti DAP. Seandainya mahkamah membenarkan perintah injunksi, maka Kongres Khas tidak boleh diteruskan pada hari Ahad untuk mengadakan pemilihan semula.

DAP terkejut dengan tindakan Ketua Pengarah ROS, Datuk Abdul Rahman Othman yang terus mendesak bahawa DAP tidak mematuhi arahan bagi mengadakan Kongres Kebangsaan. Sehingga hari ini, beliau hanya berkomunikasi melalui media massa tanpa menulis sebarang surat rasmi. Beliau juga berkelakuan secara tidak profesional dan tidak bertanggungjawab apabila enggan memberikan sebab bertulis kepada keputusannya supaya diadakan pemilihan semula, yang menyebabkan DAP sendiri tidak tahu apa sebenarnya kesilapan yang telah dilakukan parti.

Datuk Abdul Rahman sepatutnya membaca Perlembagaan Parti DAP dengan cermat dan menyedari bahawa terdapat klausa khusus yang membenarkan pemilihan parti untuk melantik Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) diadakan melalui Kongres Khas dan bukan sahaja melalui Kongres Kebangsaan. Dalam hal Kongres Khas, notis tujuh hari kepada perwakilan adalah mencukupi, manakala notis minima 10 minggu adalah diperlukan bagi Kongres Kebangsaan. DAP telah memberikan notis tiga minggu, lebih daripada satu minggu yang dikehendaki bagi Kongres Khas.

Jelas sekali dengan menafikan kewujudan klausa khusus dalam Perlembagaan untuk mengadakan pemilihan CEC parti dalam Kongres Khas, ROS kini harus berbohong dan menipu bagi membantu UMNO memangsakan DAP dikeranakan kejayaan bersejarahnya dalam pilihan raya umum yang lalu. Bagaimana mungkin ROS bercakap tentang bertindak adil terhadap semua ahli parti apabila ROS sendiri tidak menghormati Perlembagaan Parti DAP yang disahkan sendiri oleh pihak ROS?

DAP menyeru semua ahli parti agar bertenang dan menerima apa sahaja keputusan mahkamah tinggi pada jam 11 pagi esok di Jalan Duta. Ahli-ahli CEC juga akan turut bersama supaya keputusan pantas boleh dibuat sejurus selepas mahkamah memberikan penghakiman.

Lim Guan Eng Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Bagan