Felda secara terang-terangan mengingkari salah satu teras utama ETP Kerajaan Persekutuan

Felda secara terang-terangan mengingkari salah satu teras utama Plan Transformasi Ekonomi (ETP) Kerajaan Persekutuan untuk melepas asset bukan teras melalui pelaburan terbarunya sebanyak hampir RM700 juta untuk tujuan perhotelan di dalam negara dan di London. Felda dan anak syarikat 39-peratusnya Felda Global Venture Holdings (FGV) menimbulkan persoalan sama ada pengingkaran secara terbuka itu adalah berikutan pemilihan parti UMNO lantaran pengambilalihan:

  • Hotel empat bintang Grand Borneo di Kota Kinabalu untuk jumlah sekitar RM86 juta

  • 25% saham syarikat Iris Corp yang tersenarai di Bursa, pembuat kad pintar dan perkampungan agrikultur untuk jumlah RM110 juta, dan

  • Grand Plaza Service Apartments di London, untuk jumlah sebanyak Pound Sterling 98 juta (hampir RM497 juta)

Apa kaitan antara operasi dan pemilikan lapan buah hotel di serata Perak, Terengganu, Negeri Sembilan, Sabah dan London; dengan penanaman kelapa sawit? Bagaimana dengan melabur RM700 juta menjalankan perniagaan perhotelan di dalam negara dan di London dapat memberi faedah kepada kehidupan lebih satu juta orang yang tinggal di tanah rancangan Felda di seluruh negara?

Pengerusinya, Isa Samad ada mencadangkan bahawa adalah penting bagi Felda untuk mempelbagaikan portfolio perladangannya, yang kini tertakluk kepada ragam pasaran minyak kelapa sawit mentah antarabangsa. Sementara usaha mempelbagai itu adalah amalan korporat yang biasa dibuat, ia mestilah berkait dengan bisnes terasnya atau mesti berkait dengan pengalaman pengurusan pakar.

Dunia korporat bersepah dengan sampah sarap pelaburan yang tidak rasional dan cuai; dalam bisnes yang syarikat induk tidak mempunyai banyak kepakaran atau ilmu. Felda tidak ada ilmu mengurus hotel. Apa yang membuatkan Felda merasakan ia boleh melakukan tugas yang lebih baik berbanding pengusaha hotel berpengalaman serta mendapatkan kadar pulangan yang lebih baik untuk pelaburan RM700 juta-nya dalam bisnes bukan teras, berbanding melabur dalam perladangan kelapa sawit yang ia memang pakar?

Saranan ETP untuk melepaskan pegangan-pegangan lahir daripada pengalaman saya menguruskan Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Ketika kami mula-mula mengambil alih pada 2008, kami sangat terkejut bahawa kerajaan negeri dan anak-anak syarikatnya begitu sarat terlibat dengan aktiviti bukan-teras di mana ia tidak memiliki kepakaran seperti menjalan operasi ladang kelapa sawit, getah, kolam ikan, hotel, kolej malah padang golf. Kesemua usaha yang tidak difikirkan dengan baik ini sedang menjana kerugian ketika itu.

Melalui polisi melepaskan pegangan, dan penyumberan luar melalui pelaksanaan tender terbuka, kesemua kerugian operasi ini ditukar menjadi keuntungan secara tahunan. Namun kerugian operasi ini semua dapat ditukar menjadi keuntungan dengan cepat disebabkan hartanah yang terlibat sudah pun dimiliki oleh kerajaan negeri. Dengan kata lain tidak wujud sebarang perbelanjaan modal.

Dengan perbelanjaan modal sebanyak RM700 juta oleh Felda, adalah tidak mungkin kalau pun Felda menjana keuntungan, keuntungan itu akan menjustifikasi kos pelaburan. Atas sebab ini, pemimpin BN tidak sepatutnya menguruskan dana awam seperti milik peribadi tetapi ia perlu memberi justifikasi demi kepentingan akauntabiliti dan ketelusan, apa sebenarnya faedah kewangan daripada melabur dalam bisnes bukan teras kepada orang ramai.

Lim Guan Eng Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Bagan