Adakah DAP mementingkan kaum-kaum tertentu?
► Tidak. DAP tidak berjuang kerana kaum atau agama tertentu. Ia terbuka kepada semua kaum. Malah, DAP kini mempunyai wakil rakyat berketurunan India yang terbanyak di kalangan semua parti di Malaysia. DAP juga mempunyai ramai ahli dan pemimpin Melayu, serta Bumiputera Sabah dan Sarawak. Sungguhpun begitu, memang kebanyakan ahli DAP berketurunan Cina.
DAP berjuang demi keadilan sosial, kebebasan dan peluang saksama tanpa mengira kaum atau agama. Ia terus gigih berusaha mendekati semua rakyat Malaysia, termasuk orang Melayu, India, Cina Kadazandusun, Iban, Bidayuh, Bajau, Melanau, dan kaum-kaum Bumiputera lain.
Pernahkah DAP mempunyai pemimpin dan calon-calon Melayu?
► Ya. Dalam sejarah DAP, iaitu sejak penubuhannya pada tahun 1966, parti ini memiliki banyak pemimpin dan calon daripada pelbagai kaum, termasuk Melayu. Dalam PRU 1969 yang kali pertama DAP sertai, ia telah meletakkan 10 calon Melayu iaitu 9 untuk DUN dan 1 untuk Parlimen. Dua daripada mereka berjaya menjadi ADUN
Ramai calon Melayu DAP telah memenangi kerusi DUN serta parlimen, termasuk Ibrahim Singgeh dan Ahmad Nor. Dalam Pilihan Raya Umum 2013, DAP meletakkan empat calon Melayu di tiga kerusi Parlimen (Zairil Khir Johari di Bukit Bendera, Dato Ariff Sabri Abdul Aziz di Raub, Mahdzir Ibrahim di Tanjung Piai) dan satu kerusi DUN Pahang (Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, Mentakab). Selepas itu DAP meletakkan Dyana Sofya Mohd Daud sebagai calon untuk pilihanraya kecil Teluk Intan 2014.
Bagi PRU 2018, calon-calon Melayu DAP untuk kerusi DUN ditambah menjadi Sembilan. Mereka adalah Zairil Khir Johari (Tanjung Bungah), Syerleena Abdul Rashid (Seri Delima), Dr Abdul Aziz Bari (Tebing Tinggi), Jamaliah Jamaluddin (Bandar Utama), Edry Faizal (Dusun Tua), Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan telah meninggalkan parti, Sheikh Omar Ali (Paloh), Young Syefura Othman atau Rara (Ketari), dan Abu Bakar Lebai Sudin (Pulau Manis). Untuk Parlimen, Tengku Zulpuri bertanding di Raub.
Kesemua kerusi kecuali Pulau Manis telah dimenangi. Malah, Zairil, Dr Abdul Aziz, Norhizam, dan Sheikh Omar telah dilantik oleh kerajaan negeri masing-masing sebagai Ahli Exco Kerajaan Negeri. Tengku Zulpuri pula dilantik menjadi Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli. Selain Zairil yang bersama dengan kerajaan negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang, kesemua penjawat kerajaan ini gugur jawatan mereka selepas perubahan kerajaan melalui pengkhianatan pada Februari dan Mac 2020.
Adakah DAP membuka pintu untuk orang Melayu menyertainya?
► Sudah tentu. Kecil tapak tangan, nyiru DAP tadahkan. DAP mempunyai ramai ahli dan pemimpin Melayu di pelbagi peringkat, daripada ahli biasa hinggalah kepada Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC). DAP mengalu-alukan sesiapa sahaja warga negara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas yang mahu sama-sama berjuang untuk mengubah negara supaya menjadi lebih baik, lebih aman, lebih stabil, lebih adil, lebih demokratik, lebih bebas, lebih berpeluang saksama, lebih makmur dan lebih maju, untuk menyertai parti.
Adakah DAP menerima kedudukan Islam sebagai agama rasmi Malaysia?
► Ya. DAP menjunjung dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan 1957 yang mendaulatkan agama Islam sebagai agama rasmi, dan pada masa yang sama melindungi hak agama-agama lain untuk diamalkan secara bebas. Malah, perlembagaan DAP menerima Perlembagaan Persekutuan 1957 sebagai undang-undang tertinggi di negara kita.
Apakah pendirian DAP mengenai hudud dan ‘negara Islam’?
► DAP adalah parti politik demokrasi yang memartabatkan kebebasan beragama serta menolak pemaksaan agama atau ideologi. Atas prinsip sosial demokrasi, DAP menerima Perlembagaan Persekutuan, termasuk menghormati Islam sebagai agama rasmi serta menyempurnakan hak umat Islam dalam pentadbiran negeri (seperti di Pulau Pinang sejak 2008), dan memelihara hak agama-agama lain untuk diamalkan. Apa-apa yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dilaksanakan kerana ia melanggar undang-undang tertinggi negara. DAP tidak menggunakan atau mempergunakan apa-apa jua agama dalam dasar politiknya.
Apakah pendirian DAP tentang fitnah ‘negara Kristian’?
► Seperti yang sudah dijelaskan, DAP sebagai parti politik sosial demokrasi yang tidak menggunakan atau mempergunakan mana-mana agama dalam dasar politiknya. Tuduhan konspirasi ‘negara Kristian’ adalah bohong dan fitnah semata-mata.
Adakah DAP menerima Perdana Menteri yang beragama Islam?
► Sudah tentu. Walaupun Perlembagaan Persekutuan membenarkan seorang Perdana Menteri dilantik daripada mana-mana kaum dan agama, DAP menyokong seorang pemimpin Melayu Islam yang layak, berwibawa, beramanah dan berprinsip, sebagai Perdana Menteri Malaysia. Ini berasaskan realiti masyarakat di mana orang Melayu merupakan kaum majoriti di Malaysia.
Mengapa Lim Kit Siang difitnah kononnya mahu jadi Perdana Menteri?
► Fitnah ini bertujuan menabur pembohongan, kebencian dan ketakutan terhadap orang Melayu kerana kepimpinan UMNO sedar mereka telah kehilangan sokongan popular orang Melayu. Lim Kit Siang sendiri pernah banyak kali menjelaskan hal ini. Kini setelah Kerajaan Pakatan Harapan terbukti bahawa fitnah adalah fitnah. Oleh itu jangan mudah terpedaya dengan fitnah.
Siapakah yang sebenarnya terlibat dalam peristiwa 13 Mei 1969?
►Semuanya telah dijelaskan dalam laporan Kertas Putih yang diterbitkan oleh Majlis Gerakan Negara pimpinan Allahyarhan Tun Abdul Razak pada Oktober 1969. Kertas Putih itu tidak menyebut nama seorang ahli DAP yang bernama Lim Kit Siang.
Siapakah sebenarnya Lim Kit Siang? Pada Mei 1969, beliau yang merupakan bekas wartawan hanyalah seorang setiausaha organisasi parti yang berusia 27 tahun. Beliau tidak terlibat sama sekali dalam tragedi pergaduhan kaum tersebut. Malah apabila berlaku pergaduhan pada 13 Mei 1969, beliau berada di Sabah, seperti yag dijelaskan sendiri oleh Lim Kit Siang [1] [2] [3]
Fitnah hari ini yang dilemparkan kepada beliau hanyalah bertujuan memomokkan namanya serta memburukkan imej DAP. Malah, serangan tidak berasas terhadap Lim Kit Siang semakin menjadi-jadi selepas PRU 2008 apabila Barisan Nasional tewas di empat negeri serta gagal menawan Kelantan, dan hilang majoriti dua pertiga di Parlimen.
Adakah DAP komunis?
► DAP bukan komunis. DAP menolak komunisme. Fahaman komunis adalah satu ideologi yang ditolak sepenuhnya oleh DAP dan pimpinannya sejak ia ditubuhkan pada 1966. Ideologi DAP adalah sosial demokrasi yang mengambil jalan tengah dalam aspek-aspek ekonomi, politik dan sosial. DAP mahu semua rakyat makmur, maju dan aman dalam sebuah masyarakat yang bersatu hati walau berbeza budaya, agama, gender dan wilayah.
Adakah DAP menerima kedudukan istimewa Melayu?
► DAP menerima Perlembagaan Persekutuan 1957 yang memperuntukkan kedudukan istimewa Melayu. Dalam konteks asal, ia bertujuan membantu orang Melayu yang ketinggalan dalam pelbagai bidang sewaktu Malaya mencapai kemerdekaan lebih 60 tahun lalu. Yang dikritik bukan kedudukan tersebut tetapi amalan rasuah, salahguna kuasa dan kezaliman yang dilakukan oleh UMNO atas nama Melayu.
Apakah pendirian DAP tentang Dasar Ekonomi Baru dan meritokrasi?
► Sebagai sebuah parti sosial demokrasi, antara dasar terpenting bagi DAP adalah kebajikan sosial dan keadilan masyarakat. Oleh itu, DAP menerima amalan Kebajikan Bumiputera (affirmative action). Namun, ia wajib dilakukan atas dasar keperluan, dan bukan berasaskan kaum atau agama. Manfaat usaha ini harus disampaikan kepada golongan yang miskin dan terpinggir, bukan golongan yang mempunyai ‘kabel’ politik.
DAP menyokong bantuan diberikan kepada golongan yang memerlukan atas asas keperluan, manakala pencapaian dan merit pula boleh dijadikan ukuran kelayakan. DAP tidak menyokong “merit sahaja” kerana merit sahaja tidak boleh membantu golongan miskin, malah memberi lebih peluang kepada golongan kaya.
Adakah DAP menggalakkan wanita menyertainya?
► Ya. Sebagaimana DAP menggalakkan penyertaan mana-mana individu dari pelbagai latar belakang yang percaya kepada sistem demokrasi dan keadilan sebenar, DAP juga amat memerlukan tenaga wanita untuk sama-sama berjuang. DAP menghormati prinsip kesaksamaan jantina dan mahu wanita berperanan besar dalam usaha mengubah Malaysia ke arah masa depan yang lebih baik.
Benarkah DAP memperalatkan rakan-rakan komponen Pakatan Harapan?
► Tidak benar dan bohong semata-mata. Tuduhan ini yang sering dilemparkan oleh UMNO dan PAS untuk menggambarkan bahawa pemimpin-pemimpin Melayu yang menentang UMNO dan PAS sebagai tidak bijak, tidak mampu berfikir sendiri dan tidak faham politik. Niat tuduhan ini ialah untuk menimbulkan was-was di kalangan orang Melayu terhadap DAP.
Setelah Kerajaan Pakatan Harapan ditubuhkan terbukti bahawa DAP bukan parti dominan, dan merupakan rakan kongsi dalam sebuah kerajaan yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan.