Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP (CEC), yang dipilih pada 12 November 2017 setelah lima tahun ditekan oleh Pendaftar Pertubuhan, mengucapkan terima kasih kepada ahli dan para pemimpin DAP di semua peringkat atas kepercayaan yang diberikan mereka kepada pimpinan parti serta ketekunan mereka dalam memastikan kemenangan parti. Buat pertama kali dalam sejarah, kita mempunyai kerajaan baharu di Malaysia.

CEC merayu kepada ahli dan pemimpin parti untuk terus meletakkan kepercayaan mereka kepada pimpinan sewaktu proses transisi yang sukar pada masa ini untuk menjadikan Malaysia lebih gemilang selepas 61 tahun dikuasai kerajaan satu parti.

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018 adalah kemenangan terbesar rakyat. DAP memenangi 42 kerusi parlimen dan 101 kerusi DUN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (selain tujuh kerusi DUN yang dimenangi kita pada Pilihan Raya Negeri Sarawak 2016).

Apabila Pakatan Harapan membentuk Kerajaan Persekutuan, DAP kini mempunyai enam Menteri dan tujuh Timbalan Menteri.

DAP juga mempunyai tujuh Senator, masing-masing dari Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan dan tiga lagi dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Di Pulau Pinang, Ketua Menteri adalah daripada DAP bersama dengan tujuh orang Exco. Di Perak, Negeri Sembilan dan Melaka, kita mempunyai lima Exco di setiap negeri. Kita juga mempunyai empat Exco di Johor, tiga di Selangor dan satu di Kedah. Di Sabah, kita mempunyai seorang Menteri Negeri dan dua Pembantu Menteri.

Di peringkat DUN, Yang Dipertua DUN Perak dan Selangor adalah daripada DAP manakala di Johor dan Melaka, wakil DAP masing-masing memegang jawatan Timbalan Yang Dipertua .

DAP kini juga mempunyai lebih dari 400 ahli majlis tempatan, 500 ketua kampung termasuk kampung tradisi Melayu, dan ramai lantikan kerajaan, kesemuanya memerlukan pengukuhan kapasiti dan keupayaan serta memastikan pemimpin di semua peringkat mempunyai komitmen dan kualiti yang berterusan.

Pertumbuhan yang mantap

Parti telah menyaksikan pertumbuhan pesat sejak tsunami politik 2008. Dari segi keahlian, parti kini mempunyai 172,673 ahli berbanding 78,033 sebelum 2008, dengan permohonan 39,733 ahli baharu yang masih dalam proses.

Daripada segi cawangan, parti kini mempunyai 1,110 cawangan, berbanding 358 cawangan pada 2008. Sebanyak 667 cawangan masih dalam proses kelulusan.

Pada masa ini, DAP mempunyai 20 peratus Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri daripada kalangan wanita, jumlah terbesar dalam kalangan semua parti.

30 peratus Ahli Parlimen DAP adalah berumur kurang dari 40 tahun, dan 40 peratus daripada Adun DAP/wanita berumur di bawah 40 tahun. DAP bercita-cita untuk melihat lebih ramai penyertaan pemimpin muda di semua peringkat bagi memastikan parti berterusan disuntik dengan nafas baharu.

DAP berhasrat untuk menjadi wadah kepada golongan wanita untuk menyertai politik, malah sebuah parti yang disambut baik oleh penyertaan golongan belia di semua peringkat, termasuk di peringkat tertinggi.

Sekarang kita dalam proses meminda perlembagaan parti untuk menyediakan kuota 30 peratus dalam CEC untuk anggota wanita sebagai galakan berterusan bagi golongan ini mengambil bahagian dalam politik.

CEC akan memastikan bahawa DAP Baharu akan membina kapasiti dan keupayaan yang utuh, menjadi daya yang fokus dan berdisiplin di semua peringkat untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat Malaysia.

Ketua-ketua kampung, ahli majlis tempatan, Exco, Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen, Timbalan Menteri dan Menteri kita mesti dilihat oleh rakyat sebagai pemimpin yang efektif dan dikenali secara kolektif sebagai sebuah parti yang mempunyai idealisme dan idea. Rakyat perlu dimaklumkan bahawa matlamat utama kita adalah untuk membina semula Malaysia demi kesejahteraan generasi hari ini dan esok.