Pembukaan
Izinkan saya untuk terlebih dahulu mengalu-alukan semua Perwakilan Kebangsaan DAP, pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan dan tetamu-tetamu yang hadir pada majlis yang sangat bersejarah, bermakna dan penting ini.
Persidangan Kebangsaan DAP hari ini merupakan perhimpunan pertama Perwakilan Kebangsaan, badan pembuat keputusan tertinggi DAP, sejak Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018. Perwakilan DAP seharusnya berasa bangga kerana telah menyumbang kepada perubahan kerajaan buat pertama kali dalam tempoh 61 tahun dan menjadi sebahagian daripada Malaysia Baharu.
DAP diasaskan pada 18 Mac 1966. Untuk tempoh yang begitu panjang, parti ini dilihat sebagai “parti pembangkang untuk selama-lamanya”, sehinggalah Pilihan Raya Umum ke-12 pada tahun 2008 apabila Pakatan Rakyat memenangi lebih daripada satu pertiga kerusi Parlimen dan berjaya menawan lima kerajaan negeri.
Itu kisah sepuluh tahun lalu. Pada 9 Mei 2018, selepas perjuangan 52 tahun yang sangat sukar dan seringkali menyakitkan, DAP dan sekutunya dalam Pakatan Harapan berjaya menumbangkan Barisan Nasional buat kali pertama dalam sejarah Malaysia sejak Merdeka pada tahun 1957. Dengan sokongan rakyat Malaysia, Pakatan Harapan kini merupakan kerajaan di peringkat Persekutuan dan di 8 buah negeri.
Bagi pihak parti dan rakyat Malaysia, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pemimpin dan anggota DAP yang terdahulu, terutamanya Sdr. Dr. Chan Man Hin sebagai Pengerusi merangkap Pengasas parti; Mendiang Sdr. Karpal Singh, Pengerusi kita yang dihormati, dan ikon inspirasi kita semua, Sdr Lim Kit Siang, atas ketabahan mereka menempuhi segala macam ujian dan kesukaran, malah penganiayaan yang paling keras; dan untuk keazaman yang mereka tunjukkan walaupun pada masa yang paling sukar.
Daripada pembangkang tegar kepada rakan kongsi kuasa
Sejak penubuhannya, DAP telah menjadi sebuah parti yang mengangkat idealisme dan idea dalam politik Malaysia. Sepanjang tempoh menjadi “pembangkang untuk selama-lamanya’, DAP berjuang bagi mempertanggungjawabkan kerajaan, memastikannya akauntabiliti bagi pihak pembayar cukai dan memastikan Malaysia meraikan kepelbagaian kaum dan agama sebagai kekuatan dan bukannya kelemahan.
Selepas mengalami kekalahan yang mengharukan pada PRU 1995, 1999 dan 2004, dan setelah mengambil alih sebagai Setiausaha Agung pada tahun 2004, saya mengajak parti supaya bercita-cita untuk tidak menjadi parti pembangkang terbesar tetapi untuk memenangi kuasa bersama dengan rakan-rakan politik yang kita ada. Ketika itu ia dilihat sebagai suatu impian yang mustahil. Saya menegaskan bahawa cita-cita politik DAP tidak boleh terbatas sebagai parti pembangkang yang terbaik di Malaysia, tetapi juga membuktikan bahawa gabungan politik kita boleh mentadbir dengan lebih baik berbanding BN.
Empat tahun kemudian pada pilihan raya umum 2008, kita memenangi lima negeri dan menafikan super majoriti dua-pertiga BN buat kali pertama dalam sejarah Malaysia. Selepas Pilihan Raya Umum ke-12, saya memberitahu Kongres Kebangsaan 2008 bahawa DAP bercita-cita untuk menjadi “rakan kongsi kuasa yang bertanggungjawab” berdasarkan prinsip demokrasi, keadilan, kedaulatan undang-undang, integriti, martabat insan dan kebebasan.
Dua mesej utama, yang masih relevan, dulu dan kini:
Pertama, DAP berhasrat untuk menjadi rakan kongsi kuasa bukan demi kuasa, bukan untuk wang, dan bukan untuk kepuasan diri, tetapi demi Malaysia yang lebih baik dan boleh dibanggakan bersama, bagi pihak rakyat dan demi rakyat, yang diilhamkan daripada nilai-nilai demokrasi sosial yang kita kongsi bersama.
Kedua, DAP memahami bahawa kita hanya dapat memenangi kuasa dengan membentuk gabungan dan juga sebagai rakan sekutu yang bertanggungjawab. Tiada parti yang boleh mentadbir secara bersendirian di Malaysia.
Gabungan Politik yang menyelamatkan Malaysia
Kita telah berjaya membuktikan di Pulau Pinang dan Selangor bahawa gabungan politik kita boleh mentadbir dengan lebih baik berbanding BN. Tetapi bolehkah kita meyakinkan rakyat Malaysia? Pada 9 Mei 2018, berhadapan segala kemustahilan, jutaan rakyat Malaysia telah menentang rejim kleptokrasi Najib Razak dan mengundi untuk perubahan.
Kita harus berterima kasih kepada tiga gergasi politik Malaysia kerana telah membolehkan berlakunya perubahan.
Sejak dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menjadi pengikat yang menyatukan parti-parti pembangkang melalui Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan. Tempoh 20 tahun yang lalu telah menjadi perjalanan yang begitu panjang. Tapak sokongan telah disediakan oleh parti-parti asal Pakatan Harapan – Parti Keadilan Rakyat, Parti Amanah Negara dan DAP.
Walau bagaimanapun, parti-parti Pakatan Harapan yang asal tidak akan menang tanpa kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan gabungan bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia. Oleh itu, kita mengucapkan terima kasih kepada Tun Dr. Mahathir atas keberanian dan keputusannya untuk membina satu jalan politik yang baharu, yang tidak dapat dibayangkan sebelum ini ketika kleptokrasi BN dilihat mustahil untuk ditewaskan.
Kita juga berterima kasih kepada Sdr. Lim Kit Siang kerana membuat keputusan yang sukar tetapi sangat penting untuk bergabung dengan Tun Dr. Mahathir walaupun pada masa itu dilihat bertentangan dengan sentimen dalaman parti. Kit Siang mempunyai pandangan jauh dan keberanian pada Mac 2016 untuk mencadangkan sebuah ‘grand coalition’ dengan mereka yang bersama Tun Dr. Mahathir. Kit Siang adalah negarawan yang tidak dicengkam sejarah lampau, tetapi memberi tumpuan kepada masa depan demi melakar sejarah baru.
Kita juga tidak boleh melupakan peranan yang dimainkan oleh Allahyarham Tok Guru Nik Aziz Nik Mat yang melindungi Pakatan secara konsisten daripada kuasa-kuasa konservatif dalam partinya sendiri serta golongan rasis dan ekstremis di luar parti. Sayang sekali, ketiadaannya telah membuka jalan kepada golongan rasis dan pelampau untuk naik pangkat. Berasaskan legasi Tok Guru, Sdr. Mohamad Sabu dan yang lain-lain telah membuat pengorbanan besar untuk meninggalkan PAS dan membentuk Parti Amanah Negara, dengan menerima serangan yang bertali-arus.
Kita juga ingin memberi penghormatan kepada kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kerana membantu mempertahankan gabungan bersama demi merealisasikan 9 Mei 2018. Tidak dilupa juga, sumbangan NGO dan BERSIH dalam mewujudkan platform penyertaan bagi rakyat Malaysia terbanyak untuk mendapat kesedaran politik mengenai perlunya perubahan. GE14 adalah mengenai kuasa rakyat.
Untuk menang, Pakatan Harapan melalui beberapa ‘game changer’ yang tidak pernah difikirkan sebelum ini:
- Parti-parti asal (Keadilan, DAP dan Amanah) bergabung dengan kuasa-kuasa yang bersama Tun Dr Mahathir, dan melantiknya sebagai pengerusi Pakatan Harapan pada 14 Julai 2017;
- Pada 7 Januari 2018, Pakatan Harapan mengumumkan Tun Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri dengan Datuk Seri Dr Wan Azizah sebagai calon timbalan perdana menteri dan Datuk Seri Anwar dijadikan calon perdana menteri kelapan;
- Pada hari yang sama, sebagai hasil rundingan calon Perdana Menteri, Pakatan Harapan juga mengumumkan penyelesaian rundingan kerusi parlimen di Semenanjung;
- Pada 6hb April 2018, atas nama perpaduan, Pakatan Harapan bersetuju untuk menggunakan simbol Keadilan sebagai logo bersama untuk PRU14.
Pentadbiran Najib telah melakukan segala usaha untuk menghalang percubaan Pakatan Harapan untuk mencipta sejarah. Rejim sebelum ini telah membuat undang-undang berita palsu, membuat persempadanan semula kawasan pilihan raya yang memihak BN pada saat akhir, memutuskan untuk mengadakan pengundian pada hari Rabu, membelenggu media massa dan menggunakan jentera kerajaan sebagai alat propaganda, mewujudkan pertembungan tiga penjuru dengan PAS untuk memecah undi pembangkang, cuba untuk membatalkan pendaftaran DAP dan kemudiannya menggantung pendaftaran Bersatu, menggunakan politik wang, ketakutan dan ancaman.
Namun, rakyat Malaysia telah memutuskan bahawa mereka sudah tidak tahan lagi. Kesemua kelebihan yang diwujudkan untuk parti pemerintah akhirnya dicairkan oleh pergerakan rakyat.
9 Mei 2018 adalah kebangkitan aman rakyat Malaysia. Sekali lagi, kepada pemimpin dan anggota DAP, rakan-rakan Pakatan Harapan dan semua rakyat Malaysia yang berjuang untuk membawa perubahan, kita tidak boleh melupakan mereka yang telah menyumbang ke arah ‘revolusi’ yang aman ini.
Tugas yang lebih sukar – bersama membina negara
Adalah penting untuk diingati bahawa 9 Mei 2018 bukan tentang kita, bukan tentang DAP, bukan tentang Pakatan tetapi ia semata-mata tentang rakyat, terutama mereka yang mengundi kita. Setahun selepas PRU14, jelas sekali bahawa kemenangan adalah bahagian yang lebih mudah. Membina Malaysia Baharu bersama-sama adalah tugas yang lebih sukar, dan harus dipikul bersama dengan kesabaran serta ketekunan.
Sebagai rakan gabungan Pakatan Harapan, DAP mesti memberi tumpuan kepada perpaduan negara; kemakmuran bersama yang menyediakan peluang saksama dalam pekerjaan, pendidikan dan perniagaan; kerajaan bersih dan memerangi rasuah; menghormati undang-undang dan keadilan untuk semua; tadbir urus yang baik yang berorientasikan insan dan prestasi; serta melindungi alam sekitar dan hak asasi manusia bagi setiap rakyat Malaysia untuk hidup dengan bermartabat. Sekadar menyediakan tempat perlindungan, makanan dan pakaian tidak lagi mencukupi. Kita juga mesti menyediakan pendidikan, pekerjaan dan peluang perniagaan serta masa depan yang makmur dan boleh diyakini.
Sesungguhnya, kita menghadapi banyak cabaran terutamanya mengenai naratif perpaduan nasional yang berhadapan anasir tidak bertanggungjawab yang mahu memecahbelah dan menggugar kerajaan PH melalui politik perkauman dan ekstremisme agama. Politik yang mengeksploitasi kebencian dan konfrontasi adalah usaha lemah untuk menyembunyikan ketidakupayaan mereka menguruskan ekonomi dengan cekap sehinggalah kerajaan negeri mereka bankrap sehingga gaji staf pun tidak dapat dibayar, atau menyembunyikan rasuah besar-besaran mereka sehingga Malaysia diisytiharkan sebagai sebuah kleptokrasi global.
Kita tidak boleh melawan kebencian dengan kebencian, tetapi harus bergantung kepada fakta dan hujah. Hanya dengan memulihkan ekonomi dan memastikan kemakmuran ekonomi untuk semua kita mampu menang dan menewaskan gerakan yang mahu memecahbelahkan Malaysia dengan melaga-lagakan orang Melayu dengan orang bukan Melayu dan orang Islam dengan orang bukan Islam. Kita sudah berjaya melaksanakan usaha ini di Pulau Pinang apabila kekuatan UMNO dan PAS kini merosot kepada hanya 3 kerusi DUN, dan kita boleh melakukan perkara yang sama di peringkat nasional dengan melayan semua pihak secara adil, termasuk meningkatkan peruntukan untuk agama Islam dan juga sekolah vernakular, malah menerapkan pentadbiran CAT – Cekap, Akauntabel dan Telus.
Saya ingin bercakap secara berterus-terang tentang cabaran yang kita hadapi dan tugas membina semula Malaysia, sebuah Malaysia Baharu untuk semua.
Pertama, rakyat Malaysia mengundi untuk menyingkirkan kleptokrat tetapi kita harus dengan rendah hati menerima hakikat bahawa bagi kebanyakan pengundi yang mengundi kita bukan bermaksud menyokong penuh Pakatan Harapan. Banyak lagi yang perlu kita laksanakan untuk membuktikan kita adalah kerajaan yang jauh lebih baik bagi mendapat sokongan rakyat dalam pilihan raya akan datang. Pengundi yang menggulingkan lawan kita mungkin melakukan hal yang sama kepada kita.
Kedua, kita dipilih melalui kempen dan gerakan rakyat yang sangat aktif. Sebagai sebuah kerajaan, kita perlu menjadi inklusif dan membenarkan penyertaan awam dengan mewujudkan ruang demokrasi yang lebih luas melalui institusi baru seperti jawatankuasa parlimen yang lebih demokratik, rundingan awam dan pendengaran awam.
Ketiga, ramai yang mengundi bagi menyingkirkan kerajaan sebelum ini kerana mereka kecewa dengan keadaan ekonomi. Oleh itu, kemakmuran bersama harus menjadi matlamat utama Malaysia Baharu. Kita perlu mendengar dan mempunyai rasa empati dengan kebimbangan ekonomi yang disuarakan rakyat Malaysia sambil berfikir jauh ke hadapan untuk menawarkan penyelesaian jangka panjang dan bukan sekadar penyelesaian jangka pendek.
Kita tahu rakyat mahu kita menyelesaikan masalah dalam tempoh dua minggu akan datang, namun keadaan ekonomi Malaysia hari ini adalah hasil pengurusan yang dibuat sejak 20 tahun lalu, malah sejak 61 tahun lalu. Sekuat mana pun kita berusaha, masalah yang berlaku selama 61 tahun tidak dapat diselesaikan dalam tempoh 1 tahun. Sebaliknya, kita perlu berfikir tentang 20 tahun ke hadapan, demi kepentingan 99% rakyat biasa dan bukan 1% golongan kroni, bagi meletakkan Malaysia kembali ke landasan yang betul demi generasi akan datang.
Keempat, Malaysia Baharu perlu memberi perhatian kepada suara dari Sabah dan Sarawak supaya kita dapat memelihara persekutuan yang padu. Hak dan status Sabah dan Sarawak sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan 1963 mesti dihormati bagi mengekang tuntutan suara pemisah atau komplot mahu keluar Malaysia.
Kelima, Malaysia masih mempunyai unsur-unsur masyarakat “plural society” lama yang menyaksikan kumpulan kaum yang berbeza hidup bersama tetapi terpisah dari segi pemikiran, hidup dalam ketakutan antara satu sama lain dan melihat segalanya dalam keadaan zero-sum game. Dan pihak lawan memainkan sentimen ketakutan dan kebimbangan kaum untuk membangkitkan kebencian dan permusuhan.
Ramai yang memperkatakan mengenai kebimbangan dan ketakutan orang Melayu, namun perasaan yang sama juga dirasai oleh orang bukan Melayu. Dalam hal ini, media bebas dalam Malaysia Baharu memerlukan nilai-nilai yang baharu. Kebanyakan pemilik syarikat media semasa adalah rakan kepada kerajaan terdahulu sementara yang lain hidup dalam bingkai perkauman dan melihat semua perkara dari perspektif kaum semata-mata. Media harus keluar dari kotak pemikiran berdasarkan kaum.
Kita perlu membina sebuah naratif baharu yang melangkaui bingkai perkauman untuk Malaysia Baharu yang membawa rakyat Malaysia bersama-sama menyelesaikan masalah bersama sebagai sebuah negara.
Visi Baharu untuk Malaysia Baharu
Untuk menang dalam pilihan raya di Malaysia, sesebuah gabungan politik memerlukan sokong daripada semua kumpulan etnik termasuk di Sabah dan Sarawak. Strategi terkini pembangkang adalah dengan menarik sokongan kumpulan ekstrem Melayu dan bukan Melayu dengan harapan Pakatan Harapan akan tumbang sebelum pilihan raya umum yang seterusnya. Pihak lawan menggunakan permainan memecahbelahkan dan membinasakan semata-mata untuk mewujudkan krisis keyakinan terhadap kerajaan. Mereka mahu melihat berlakunya pertembungan identiti di kalangan rakyat, kita tidak boleh membiarkan ini berlaku.
Bagi mengekang kemaraan pembangkang yang mahu memusnah kita, Pakatan Harapan perlu bangkit bagi menawarkan sebuah misi moderat untuk menyatupadukan semua kumpulan kaum. Dan kita harus mempunyai sebuah kerjasama yang tulen, jujur dan utuh dalam kalangan rakyat Sabah, Sarawak mahupun Semenanjung.
Seperti yang termaktub dalam Deklarasi Shah Alam 2012 dan Deklarasi DAP@50 2016, DAP menegaskan semula prinsip-prinsip berikut:
- Mempertahankan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. DAP komited untuk menjunjung Perlembagaan Persekutuan Malaysia sebagai undang-undang yang paling agung negara dan meluhurkannya dalam semangat Merdeka 1957 dan Perjanjian Malaysia 1963.
- Memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak kaum-kaum lain, seperti yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.
- Memastikan kedudukan Islam sebagai agama rasmi serta kebebasan untuk mengamalkan agama-agama lain dengan aman dan damai, seperti yang termaktub dalam Artikel 3 dan 11 Perlembagaan Persekutuan.
- Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan seperti yang termaktub dalam Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan, serta menggalakkan penggunaan dan pengajian bahasa-bahasa ibunda lain untuk membentukkan masyarakat yang cemerlang dan berbilang bahasa.
Lebih dari itu, Pakatan Harapan perlu menawarkan Wawasan Baharu untuk Malaysia. Dan wawasannya adalah tidak lain dan tidak bukan untuk kita menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding BN kerana kita bersih. Kita lebih baik daripada pembangkang kerana kita mampu berkhidmat demi kesejahteraan yang lebih baik untuk rakyat, baik dari segi ekonomi, politik mahupun sosial.
DAP tidak mahu dianggap sebagai parti bukan Melayu atau parti Cina. Dalam DAP kita mempunyai ahli dan pemimpin daripada kaum Melayu, Cina, India, Kadazan, Dayak, dan Orang Asli. Kita mempunyai ahli daripada semua kaum sejak penubuhan parti pada 1966. Kita mempunyai wakil rakyat dari kalangan orang Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan. Kita adalah parti Malaysia yang tulen.
Seperti mana kita mahu rakyat Malaysia melihat kita sebagai sebuah parti yang bertunjangkan sosial demokrasi serta bersifat pelbagai kaum dan agama, ahli dan pemimpin akar umbi juga harus melihat DAP sebagai sebuah parti yang mewakili semua rakyat Malaysia. Malah, kita perlu berfikiran jauh melangkaui kepentingan Semenanjung bagi membolehkan rakan kita di Sabah dan Sarawak berkongsi wawasan yang sama.
Kehebatan Pakatan Harapan adalah kejayaannya memenangi kerusi-kerusi campuran, dan ia adalah asas kepada kerajaan kita. Setiap parti komponen Pakatan perlu memikirkan tentang perkhidmatan untuk semua rakyat Malaysia di kawasan masing-masing dan di seluruh negara. DAP harus dilihat sebagai sebuah parti yang menyelesaikan masalah orang Melayu, seperti mana Bersatu, Amanah dan Keadilan yang sewajarnya dilihat turut menyelesaikan masalah yang dihadapi orang bukan Melayu. Kita harus melihat melangkaui semangat Semenanjung bagi memastikan wawasan Malaysia yang tulen.
Model perkauman yang diamalkan oleh kerajaan terdahulu kini sudah ketinggalan zaman. Pakatan Harapan perlu membuat satu rangka kerja baru yang menyedari bahawa semua rakyat Malaysia mempunyai lebih banyak persamaan daripada perbezaan, dan sementara latar belakang budaya kita mungkin berbeza, kehidupan kita saling berkaitan dan nasib kita sama. Kita tidak boleh terperangkap dalam zero sum game perkauman tetapi kita hanya boleh menang atau kalah bersama.
Banyak perkara yang perlu dilakukan oleh Pakatan Harapan. Kita tidak boleh terus dibuai mimpi yang lalu.
- Malaysia Baharu perlu meyakinkan semua rakyat Malaysia bahawa masa depan politik, ekonomi, dan kebudayaan kita semua adalah terjamin. Kita mesti buang kepercayaan yang menganggap kita akan didominasi oleh kaum tertentu. Ini adalah satu pembohongan dan ini hanya menguntungkan mereka yang bermain dengan politik perkauman.
- Malaysia Baharu perlu mempunyai satu wawasan utama yang praktikal bagi membimbing semua rakyat Malaysia ke arah masa hadapan yang lebih baik.
Mengendalikan Ekonomi
Statistik pertumbuhan ekonomi yang kukuh, dengan perkembangan ekonomi sebanyak 4.7 peratus pada tahun 2018 dan kenaikan kadar inflasi sebanyak 0.2% pada bulan Mac 2019 membuang sebarang kerisauan mengenai deflasi berkaitan dengan penurunan kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) sebanyak 0.7 peratus pada Januari 2019 — kadar terendah dalam 10 tahun. Prestasi ekonomi kita dijangkakan terus kukuh bagi tahun ini.
Penurunan Indeks Harga Pengguna (CPI) membuktikan bahawa dasar kerajaan memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan menggantikannya dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan penstabilan harga minyak dengan mekanisme harga siling telah membantu mengurangkan kadar inflasi dan mengembangkan ekonomi negara sekaligus memberikan manfaat kepada perniagaan dan rakyat.
Kita juga telah berjaya memenuhi janji bagi menurunkan harga siling petrol RON95, daripada RM2.20 kepada RM2.08 seliter. Polisi penstabilan harga minyak ini menyalurkan penjimatan kos minyak secara terus kepada pengguna, dan dalam masa yang sama, harga siling melindungi pengguna daripada lonjakan mendadak harga minyak. Penurunan harga ini berpotensi untuk meningkatkan kuasa membeli pengguna Malaysia and memacu kemajuan ekonomi.
Antara kejayaan utama kita adalah mengubah status Malaysia, daripada sebuah kleptokrasi global kepada satu demokrasi yang bersih. Kita boleh buat lebih banyak lagi jika kita tidak menghadapi masalah dan kerosakan yang ditinggalkan oleh skandal 1MDB dan skandal kewangan yang lain. Kerajaan terpaksa menyelamatkan Tabung Haji dan FELDA dengan menyuntik masing-masing RM17.8 billion dan RM6.23 billion untuk 10 tahun yang akan datang. Kerajaan juga akan memastikan pulangan GST dan cukai pendapatan tertunggak yang bernilai RM37 billion akan dikembalikan. Demi kebajikan rakyat Malaysia, kita akan pastikan tiada sesiapa pun akan diabaikan.
Menegaskan Solidariti
Sementara kita menumpukan kepada isu-isu Malaysia, DAP tidak pernah mengabaikan isu-isu antarabangsa. Dengan ketegangan semasa berkaitan keganasan, DAP telah menyatakan solidaritinya dengan Sri Lanka dan New Zealand berikutan malapetaka pengeboman dan penembakan beramai-ramai terhadap rakyat mereka.
Kita rakyat Malaysia perlu bekerjasama dalam melawan anasir-anasir pemecahbelahan, rasisme, dan pelampau agama dengan memilih untuk bekerjasama dan bukannya berkonflik, berunding dan bukannya berkonfrontasi, dan melahirkan satu masyarakat inklusif yang dikongsi bersama dan bukannya masyarakat yang saling membenci.
DAP yang Baharu
Sebagai sebuah parti politik, pertumbuhan organik DAP telah dibantutkan dengan gangguan daripada Jabatan Pendaftar Persatuan sejak 2012 hingga 2017. Penubuhan cawangan baru telah dihalang, dan pindaan perlembagaan parti yang bertujuan untuk memperkasakan parti telah digagalkan. Persidangan Kebangsaan kita hari ini akan menyelesaikan masalah-masalah ini.
Antara perkara utama yang dicadangkan dalam pindaan perlembagaan parti adalah pelantikan sekurang-kurangnya 30% wakil wanita ke dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC). DAP percaya kepada pemerkasaan wanita. Kita mahu melibatkan wanita dalam semua proses membuat keputusan. Dengan perubahan ini, Wanita DAP akan diamanahkan kepada ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat wanita dalam masa yang terdekat.
Mengimbau kembali kepada tujuan asal penubuhan Wanita DAP, iaitu supaya suatu hari nanti di masa hadapan ia tidak lagi diperlukan — di mana wanita dan lelaki mencapai kesamarataan di tahap pimpinan kebangsaan. Inilah yang dimaksudkan sebagai kesaksamaan jantina yang sebenar. Kita laksanakan apa yang kita katakan. Pada masa ini, DAP mempunyai 20 peratus Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri wanita, jumlah terbesar di kalangan semua parti politik di Malaysia.
Kira-kira 30 peratus Ahli Parlimen DAP berumur di bawah 40 tahun, dan 40 peratus Ahli Dewan Undangan Negeri DAP berumur di bawah 40 tahun. DAP berazam untuk melihat lebih ramai pemimpin muda di setiap peringkat pimpinan bagi memastikan parti ini sentiasa segar dengan idea baru.
Bagi yang berminat untuk memahami struktur DAP, izinkan untuk saya menerangkannya. Jumlah Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang diundi akan ditambah, iaitu daripada 20 orang kepada 30. Di kalangan mereka akan melantik seorang Setiausaha Agung dan ahli-ahli jawatankuasa lain. Struktur ini akan memastikan Setiausaha Agung Parti adalah individu yang diterima dan dipercayai oleh ahli-ahli CEC yang lain, seperti mana sistem Parlimen kita memilih Perdana Menteri.
Tidak seperti kebanyakan parti politik lain, delegasi negeri DAP mengundi Jawatankuasa Negeri dalam pemilihan yang bebas dan demokratik, DAP tidak mahu Bahagian Parlimen untuk mendapat terlalu banyak kuasa. Pindaan perlembagaan ini akan menjelaskan niat parti untuk tidak memberi penekanan kepada Bahagian Parlimen bagi mengelakkan kemunculan “panglima perang”atau warlords di peringkat kawasan dan negeri.
DAP Baharu harus terus membina kapasiti pimpinan, yang dilihat oleh rakyat sebagai pemimpin yang efektif dan dikenali secara kolektif sebagai sebuah parti yang sinonim dengan integriti, keberanian, idealisme dan idea.
DAP merakamkan kemenangan terbesar dalam sejarah parti dengan 42 Ahli Parlimen, 109 Ahli Dewan Undangan Negeri (termasuk seorang ADUN lantikan di Sabah), 7 senator, 400 Ahli Majlis, dan lebih 500 ketua kampung. DAP juga mempunyai 6 Menteri Persekutuan dan 7 Timbalan Menteri Persekutuan serta seorang Duta Khas ke Republik Rakyat China, seorang Timbalan Speaker Parlimen, seorang Ketua Menteri, 30 orang Exco negeri, dan di Sabah 2 orang Menteri Negeri dan 2 orang Timbalan Menteri.
Kita mestilah menggunakan kesempatan apabila tampuk pentadbiran untuk melaksanakan reformasi institusi, terutamanya dalam memulihkan status kewangan bagi menyelamatkan ekonomi negara kita. Rakyat perlu tahu yang kita komited untuk membina Malaysia Baharu, bukan untuk pilihanraya yang akan datang, tetapi untuk generasi yang akan datang.
Ujian terakhir terhadap kejayaan Pakatan Harapan akan datang dalam bentuk jawapan bagi tiga soalan ini, “Adakah anda dalam kedudukan yang lebih baik sekarang di bawah Pakatan Harapan berbanding di bawah BN pimpinan Najib?, “Sudahkah kita laksanakan Manifesto Pilihanraya Umum PH?”, dan “Adakah prestasi Kerajaan PH lebih baik daripada BN?”.
PH perlu melaksanakan janji-janjinya supaya rakyat kekal percaya bahawa PH akan memberikan pimpinan yang lebih baik daripada BN. Kita akan penuhi janji pilihanraya kita. Dan kita juga akan mewujudkan sistem ekonomi keusahawanan dan menghasilkan 500,000 pekerjaan dengan gaji yang berpatutan supaya kita dapat mengukuhkan ekonomi masa depan yang sedang dalam peralihan ke era digital.
Melangkaui janji pilihanraya, marilah kita semua membina satu Malaysia Baharu untuk semua, yang tidak dimiliki oleh hanya beberapa kroni, tetapi milik semua rakyat tanpa mengira kaum, agama, ataupun latar belakang. Kita tidak boleh gagal. Pakatan Harapan adalah satu-satunya harapan yang boleh mewakili dan berkhidmat untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira geografi mahupun demografi. Bersama kita membina negara!