Ditubuhkan pada Oktober 1965, DAP dengan rasminya didaftarkan enam bulan kemudian pada 18 Mac 1966 sebagai sebuah parti politik yang “…komited kepada perjuangan untuk sebuah negara Malaysia untuk rakyat Malaysia yang bebas dan demokratik sosial berdasarkan prinsip-prinsip hak asasi manusia, kesaksamaan, keadilan sosial dan ekonomi dan berasaskan institusi demokrasi berparlimen.” (Deklarasi Setapak, Kongres Kebangsaan Pertama DAP di Kuala Lumpur, 29 Julai 1967)

Pada bulan Ogos 1966, organ rasmi parti, The Rocket, diterbitkan buat pertama kali. DAP bertanding buat kali pertama dalam pilihanraya umum pada tahun 1969 dan memenangi 13 kerusi Parlimen, serta 31 kerusi Dewan Undangan Negeri; mendapatkan 11.9 peratus daripada jumlah undi sah.

Sebagai sebuah parti politik, DAP telah melalui jatuh bangunnya dalam beberapa PRU yang ditandingi antara 1969 sehingga 2018, termasuklah daripada memenangi 9 kerusi Parlimen dan 11 kerusi DUN pada tahun 1995 sehinggalah memenangi 42 kerusi Parlimen dan 99 kerusi DUN (atau 106 jika mengambil kira keputusan pilihanraya negeri Sarawak pada 2016) dalam PRU tahun 2018.

Berawal sebagai sebuah parti pembangkang yang kecil, DAP kini menjadi sebahagian daripada kerajaan Pakatan Harapan yang telah mengakhiri pemerintahan Barisan Nasional buat pertama kali dalam PRU14 pada 9 Mei 2018.

Melalui susah senang sepanjang lima dekad lampau, DAP adalah yang paling terkedepan dalam memperjuangkan demokrasi, keadilan, kesetaraan dan sebuah negara Malaysia yang bersatu padu walaupun berbilang kaum, bahasa, budaya dan agama.

Pemimpin, anggota dan penyokong DAP langsung tidak goyah ketika ramai terpaksa membayar harga yang mahal demi prinsip politik masing-masing, termasuk hilang kebebasan apabila ditahan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, didakwa, disabitkan kesalahan dan dipenjara atas pertuduhan yang bermotifkan politik; mahupun dimangsakan dengan pelbagai cara.

Dalam PRU 1999, DAP bekerjasama dengan Parti Islam SeMalaysia (PAS), Parti Keadilan Nasional (Keadilan) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) untuk membentuk Barisan Alternatif (BA) bagi menggugat hegemoni politik BN, ekoran majoriti duapertiganya di Parlimen yang tidak terusik – akar punca kesombongan politik BN, pentadbiran yang tidak demokratik dan penindasan hak asasi rakyat Malaysia.

Malangnya, beberapa peristiwa yang timbul kemudian, terutamanya desakan PAS untuk membentuk Negara Islam – suatu yang dirasakan tidak serasi dengan fitrah negara Malaysia yang majmuk dan dihargai DAP – telah memaksa DAP menarik diri daripada gabungan tersebut dua tahun kemudian.

DAP bagaimanapun tetap berpegang kuat kepada komitmennya bahawa Malaysia hendaklah kekal sebagai sebuah negara demokratik, sekular dan berbilang agama. Kerjasama DAP dengan tiga parti pembangkang lain adalah berdasarkan manifesto bersama BA “Ke Arah Sebuah Negara Malaysia Yang Adil” demi memusnahkan hegemoni politik BN dan membinasakan rantaian penindasan yang membataskan hak dan kebebasan rakyat Malaysia yang menjejaskan keadilan, kebebasan, demokrasi dan tadbirurus yang baik. Apabila tujuan sepunya gabungan tersebut dicemari satu parti komponen bahawa sifat secular negara harus digantikan dengan pembentukan negara Islam, DAP tidak boleh terus berada dalam BA.

Namun demikian, cabaran terbesar bagi Malaysia terletak pada masa depan dan bukan masa silam – merealisasikan sebuah negara Malaysia untuk rakyat Malaysia di mana semua rakyat tanpa mengira kaum atau agama dapat menikmati keadilan, kebebasan, demokrasi dan pemerintahan baik.

Dalam pilihanraya umum bulan Mac 2008, satu senario politik baru telah muncul di Malaysia di mana kongkongan BN ke atas majoriti dua per tiga di parlimen akhirnya dihapuskan. Kuasa di lima buah negeri bertukar tangan – Pulau Pinang yang kini dipimpin oleh seorang Ketua Menteri DAP, Perak, Selangor, Kedah dan Kelantan. Keputusan pilihanraya ini telah menyaksikan penubuhan Pakatan Rakyat oleh tiga parti pembangkang iaitu DAP, Parti Keadilan Rakyat dan PAS – yang berjaya menguasai 82 dari 222 kerusi parlimen – demi merealisasikan negara Malaysia yang adil, bersatu-padu serta demokratik.

Dalam PRU Mei 2013, tujuan menewaskan BN hamper tercapai apabila Pakatan Rakyat memenangi 52% undi popular, namun akibat persempadan kawasan Parlimen secara gerrymandering, kemenangan parti-parti pembangkang telah dinafikan. DAP terus berusaha memperbaiki prestasinya dengan memenangi 38 kerusi Parlimen dan 99 kerusi DUN, membantu gabungan pembangkang menambah bilangan kerusi di Parlimen sehingga 89.

Apabila PAS meninggalkan Pakatan Rakyat, sebuah gabungan baru ditubuhkan. Kumpulan yang terpisah daripada PAS menubuhkan Parti Amanah Negara untuk bergabung tenaga dengan DAP dan PKR, manakala pecahan baru dari UMNO yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad, Parti Pribumi Bersatu Malaysia. Gabungan baharu ini diberi nama Pakatan Harapan.

Sejarah berjaya ditempa dalam PRU 2018. Barisan Nasional digulingkan buat kali pertama. Pakatan Harapan menang 113 kerusi Parlimen sementara Barisan Nasional hanya mampu memenangi 79 kerusi.

Walaupun sudah di tampuk kuasa, DAP akan terus mengekalkan komitmen politiknya untuk menghadirkan sebuah negara yang adil, saksama, demokratik dan bersatu-padu supaya negara akan dapat mendepani cabaran era teknologi maklumat dan globalisasi, selain impak Revolusi Industri 4.0, demi menempa nama di arena antarabangsa.