Mukadimah
Parti Tindakan Demokratik menyambut ulangtahunnya yang ke-50 pada 2016 sebagai parti paling bersatu, berdisiplin, mempunyai hala tuju dan padu, demi nilai-nilai keadilan, kebebasan, demokrasi, peluang saksama, integriti dan maruah manusiawi; terus komited menentang undang-undang yang menindas, gejala rasuah, kronisme dan salahguna kuasa, serta mendakap idea-idea baru yang menyediakan jalan penyelesaian untuk mengangkat keberhasilan ekonomi dan kemakmuran bagi 30 juta rakyat Malaysia.
DAP bukan lagi merupakan parti pembangkang yang hanya membangkang, perjuangan kita bukan sahaja terhadap penguasa yang menindas, tetapi juga untuk menawarkan jalan penyelesaian demi membina masa depan yang lebih baik untuk negara. Pada pilihanraya umum yang lalu, lebih separuh pengundi Malaysia telah meletakkan harapan kepada DAP dan rakan-rakan kongsinya. Kita harus mempersiapkan diri untuk mentadbir, dan bukan sekadar duduk melihat sahaja krisis berrterusans di depan mata.
Kita mesti aktif terlibat dalam membentuk semula halatuju kolektif Malaysia, demi rakyatnya. Adalah menjadi tanggungjawab DAP untuk menyemai, memperbaharu dan menawarkan harapan serta lembaran baru kepada jutaan rakyat Malaysia yang berhak mendapat kehidupan yang lebih baik.
Hanya pada ketika-ketika yang istimewa dan penting sahaja, parti mengemukakan deklarasi. Sebelum ini telah ada: Deklarasi Setapak (1967), Deklarasi Petaling Jaya (1981, pada usia 25 tahun), Deklarasi Tanjong (1991) dan Deklarasi Shah Alam (2012).
Dokumen-dokumen dasar lain yang membincangkan isu spesifik pula termasuklah Deklarasi Demokrasi Budaya (1968), Deklarasi Wanita DAP Tanjong (1992), Deklarasi DAPSY (1992), Deklarasi Anti-Rasuah Kulai (1993), Deklarasi Gelang Patah – Visi dan strategi memberdayakan kaum India (2013) dan Deklarasi Bintulu – Ke Arah Rakan Kongsi Setara (2014).
Bersempena 50 tahun ulangtahun DAP sejak ditubuhkan, dan sambil kita menuju tahun 2017 dan mungkin berhadapan pilihanraya umum, selain ulangtahun Merdeka ke-60 dan ulangtahun penubuhan persekutuan Malaysia ke-54, kami Perwakilan Kebangsaan DAP yang berhimpun di Shah Alam, Selangor pada 4 Disember 2016, justeru dengan sebuah Deklarasi mempertegaskan visi, dasar-dasar dan prinsip pandu arah parti, berhadapan cabaran-cabaran semasa.
- DAP sejak 1966
DAP ditubuhkan pada 18 Mac 1966 oleh sekumpulan patriot Malaysia yang berdedikasi demi tugas suci membina negara secara kreatif dan konstruktif, seperti yang disebut dalam Deklarasi Setapak 1967.
Parti ditubuhkan dengan latar zaman yang penuh kekacauan – di kemuncak Perang Dingin, sebaik sahaja Malaysia dan Singapura berpisah, dan di saat berkonfrontasi dengan Indonesia. Keadaan hal-ehwal dalam negara yang tidak menentu menyaksikan ketegangan kaum yang kian meningkat, serta ekonomi yang kian goyah, dengan parti pemerintah mengeksploitasi emosi bersama sambil membungkam suara-suara membantah.
Sejak dari mula, DAP adalah sebuah parti berasaskan idea dan nilai, sering mendahului zaman. Manusia hanya berjaya menjejakkan kaki ke bulan pada tahun 1969, namun simbol Roket DAP sudah lebih awal menjadi lambang usaha menggapai kemustahilan pada saat tersebut.
Pada tunjang fasa pertama misi DAP adalah untuk menjuarai perjuangan ke arah Malaysia yang menghargai kepelbagaian, yang berjaya diraih apabila pihak lawan meninggalkan strategi mentadbir secara asimilasi tegas pada tahun 90-an. Hari ini, DAP masih mendahului zaman, dalam berjuang ke arah negara Malaysia yang mengutamakan rakyat Malaysia untuk keluar daripada kepompong etnik dan kelompok masing-masing.
Slogan ‘Malaysian Malaysia’ yang begitu dimomokkan, sebenarnya bermaksud untuk melahirkan negara untuk rakyat Malaysia, sebuah ‘Bangsa Malaysia’ yang menjangkaui identiti etnik, kelompok dan geografi.
Sementara bersuara untuk kumpulan ‘99%’ – rakyat biasa daripada semua latar etnik dan geografi – kini menjadi satu trend, adalah penting untuk mengingati bahawa inilah tema penting bagi DAP sejak 1966.
- Malaysia pada tahun 2016
Malaysia sekarang dikenali dunia sebagai sebuah kleptokrasi, dengan seorang Perdana Menteri yang dikait langsung dengan skandal mega global 1MDB, dan sanggup menggunakan apa sahaja cara untuk kekal berkuasa. Akibatnya, negara terperangkap dalam pertentangan agama dan perkauman, ruang demokratik yang kian sempit, dan ekonomi yang tidak mempunyai sebarang dorongan baru dan jelas berada di ambang krisis.
Keadaan kian memburuk, rakyat Malaysia sedang memandang kita untuk menunjukkan kepimpinan dalam masa krisis.
Mampukah DAP dan rakan-rakan pakatan memberi harapan kepada rakyat Malaysia bahawa kita mampu melakukan perubahan bersama-sama dengan seberapa segera? Adakah kita mempunyai naratif yang cukup memujuk untuk memenangi pilihanraya umum yang akan datang bersama-sama kawan-kawan kita? Dan bolehkan sebuah lembaran baru ini menyediakan hari esok yang lebih baik untuk seluruh rakyat Malaysia?
- Penyusunan semula politik
Salah satu persoalan penting di minda ramai anggota DAP dan juga para penyokong ialah sama ada pembangkang dapat memberikan cabaran dalam pilihanraya akan datang sebagai sebuah pasukan yang padu?
Kita sedang berada dalam zaman yang tiada sepertinya. Sepanjang tiga tahun ini kita menyaksikan PAS bergerak menghampiri UMNO, selain mencabul konsensus pakatan pembangkang, dan mengakibatkan perpecahan PAS dan tumbangnya Pakatan Rakyat pada Jun 2015. Bersama-sama Parti Keadilan Rakyat dan Parti Amanah Negara, Pakatan Harapan dibentuk pada September 2015. Tempoh tersebut juga menyaksikan perpecahan UMNO, yang membawa kepada tertubuhnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia.
Ada garis perlu dilakar antara kita dan mereka. Di satu pihak ada golongan yang menyokong kleptokrasi Najib Razak, pemerintahan korup oleh kroni 1% dan terus menyucuk ketakutan perkauman dan keagamaan; manakala di pihak satu lagi, rakyat yang menentang kleptokrasi dan menjulang demokrasi demi golongan 99% serta sebuah Bangsa Malaysia yang punyai harapan, keyakinan, berpadu serta menilai kepelbagaian sebagai satu kekuatan.
- DAP sebagai parti untuk rakyat Malaysia dan Impian Malaysia
DAP memulakan perjalanannya dengan berjuang untuk semua rakyat Malaysia dan selama ini telah terus teguh dalam aspirasinya untuk menjadi sebuah parti yang diterima semua kumpulan etnik dan seluruh rakyat di semua wilayah di Malaysia.
Menjadi parti Malaysia untuk semua rakyat Malaysia sepatutnya sudah lama menjadi pegangan kesemua parti politik di Malaysia, tetapi sebaliknya ia masih dilihat sebagai suatu idea yang terawang-awang dan dicabar dan ditolak dari segenap sudut. Elit penguasa dan pihak ‘establishment’ terus berkuasa dengan menggunakan agenda perkauman dan keagamaan eksklusif, dan pada masa yang sama terus memburukkan DAP sebagai momok dalam usaha mereka untuk mengumpulkan sokongan Melayu, justeru kita mesti terus sentiasa menginspirasi dan menggalakkan para penyokong parti untuk berfikir melampaui batas kaum, dan lebih penting lagi, untuk memandang dunia dengan kanta Malaysia.
Seperti yang tercatat dalam Deklarasi Shah Alam 2012, DAP mempertegaskan perkara-perkara berikut:
-
Mempertahankan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. DAP komited untuk menjunjung Perlembagaan Persekutuan Malaysia sebagai undang-undang yang paling agung negara dan meluhurkannya dalam semangat Merdeka 1957 dan Perjanjian Malaysia 1963
Memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra serta hak-hak kaum-kaum lain, seperti yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan. - Memastikan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta kebebasan untuk mengamalkan agama-agama lain dengan aman dan damai, seperti yang termaktub dalam Artikel 3 dan 11 Perlembagaan Persekutuan.
- Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan seperti yang termaktub dalam Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan, serta menggalakkan penggunaan dan pengajian bahasa-bahasa ibunda lain untuk membentukkan masyarakat yang cemerlang dan berbilang bahasa.
Untuk terus maju, DAP mesti menjangkaui jaminan dan janji-janji, bahkan harus menerajui satu ‘Impian Malaysia’ yang akan membina sebuah Bangsa Malaysia yang punyai harapan, keyakinan, berpadu serta menilai kepelbagaian sebagai satu kekuatan.
Pihak lawan adalah pembawa penyakit takut, maka kita pula mesti membawa harapan untuk rakyat Malaysia.
Sementara dunia kian dicabar dengan penghijrahan dan penghidupan dalam latar manusia yang pelbagai, DAP bercita-cita melihat Malaysia sebagai sebuah model dunia untuk Islam di mana umat Islam boleh hidup bersama dengan warga yang berbeza agama. Dengan ini, Islam cara Malaysia boleh menjadi contoh kepada dunia.
Dari segi budaya dan bahasa, rasa takut hilang identiti mesti diganti dengan keyakinan bahawa kepelbagaian adalah dan akan terus menjadi kekuatan Malaysia. ‘Malaysia truly Asia’ menjadi slogan untuk warga dunia belajar tentang kita. Kita mesti menjadi negara yang berkeyakinan di mana setiap daripada kita menghormati, menilai, belajar dan mahir lebih daripada satu bahasa dan budaya, serta berkebolehan bertutur dalam pelbagai bahasa selain memahami berbilang budaya, sebagai tanda Bangsa Malaysia yang berkeyakinan.
Untuk menyemai keyakinan dalam sebuah negara, kepercayaan, empati dan semangat setiakawan adalah ciri-ciri yang sangat penting. DAP mesti berada di barisan depan dalam memupuk empati dalam kalangan rakyat, terutamanya dalam lapangan ekonomi, supaya rakyat biasa daripada semua kumpulan etnik dapat berkongsi sebuah untung-nasib sepunya dalam penghidupan mereka.
-
Mempertahankan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. DAP komited untuk menjunjung Perlembagaan Persekutuan Malaysia sebagai undang-undang yang paling agung negara dan meluhurkannya dalam semangat Merdeka 1957 dan Perjanjian Malaysia 1963
- Tawaran baru untuk golongan 99%
Pada tahun 1967, Deklarasi Setapak menyebut bahawa:
“Pada dasarnya, rakyat Malaysia yang tidak berada, atau miskin, ada di kawasan bandar dan luar bandar, dan melingkungi kesemua kumpulan kaum serta agama.Kenyataan ini sengaja tidak diendahkan oleh ahli politik perkauman, kerana ia akan mengganggu teori mereka yang rapi dan seolah-olah munasabah demi mendapat kepercayaan dan sokongan para pengikut mereka.
Tetapi kenyataan ini adalah benar dan para sosialis demokratik yang berfikiran nasional harus berpegang kuat kepadanya, demi membantu memperkukuhkan integrasi nasional yang berasaskan kepentingan ekonomi bersama rakyat Malaysia yang tidak berada tanpa mengira kaum.”
Sejak dari awal, DAP telah menjadi parti politik untuk golongan kurang berada. Dalam kata lain, DAP memang sentiasa merupakan parti untuk golongan 99% dari semua latar belakang.Sambil Malaysia perlahan-lahan terjerumus ke dalam satu lagi krisis ekonomi, adalah penting untuk kita beringat bahawa kepercayaan, empati dan solidariti adalah batu asas kepada nilai-nilai ekonomi kita yang harus diterjemah menjadi dasar-dasar ekonomi yang memihak kepada rakyat Malaysia biasa, berbanding golongan 1% teratas.
Malaysia telah bergantung kepada perindustrian berorientasikan eksport yang dipacu pelaburan langsung sejak tahun 70-an. Model ini sudah tidak lagi berguna, terutamanya pasca Brexit (Britain keluar Kesatuan Eropah) dan pemilihan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat.
Sepanjang dua dekad lalu sejak krisis kewangan Asia pada tahun 1997, Malaysia telah bergantung kepada sektor eksport yang kian menguncup, selain komoditi lain seperti minyak dan gas, minyak sawit, pembangunan hartanah dan infrastruktur dan beberapa industri kecil lain. Sektor pertanian turut diabaikan.
Pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan juga kejatuhan mendadak nilai ringgit sejak 2014 telah mengakibatkan kesusahan dan beban ke atas rakyat biasa, melemahkan penggunaan domestik dan menyebabkan krisis keyakinan.
Pelaburan dalam pendidikan dan juga penyelidikan kian berkurang. Ratusan ribu rakyat Malaysia berkemahiran mencari kerja di luar negara, sementara Malaysia bergantung kepada jutaan tenaga kerja asing tidak terlatih, mengakibatkan kebekuan gaji, kemahiran dan produktiviti.
Malaysia memerlukan sebuah Tawaran Baru yang berwawasankan kitaran baik yang menawarkan kenaikan gaji, kemahiran yang lebih baik dan peningkatan produktiviti untuk para pekerja Malaysia dan juga industri. Kita juga harus menjamin pengangkutan awam yang lebih baik, khidmat kesihatan, pendidikan dan perumahan untuk semua rakyat Malaysia. Pembangunan pekan-pekan kecil separa-bandar dan di luar bandar juga turut memerlukan pendekatan yang baru.
Pekerjaan yang lebih baik serta mutu kehidupan yang lebih baik mengikat kita semua sebagai rakyat Malaysia. Akhirnya nanti, jika ada orang mencari parti yang bersuara untuk golongan 99%, DAP lah parti itu.
- Lembaran baru untuk Sabah dan Sarawak, serta federalisme baru
Federalisme Malaysia memihak kepada Kerajaan Persekutuan yang menjejaskan hak-hak negeri. Rasa tidak puas hati di peringkat negeri adalah amat serius dan wujud keperluan ke arah suatu Tawaran Baru untuk Sabah dan Sarawak, selain suatu bentuk federalisme baru untuk negeri-negeri di Semenanjung.
DAP sedar fakta sejarah bahawa Persekutuan Malaysia dibentuk dengan gabungan empat entiti – Malaya, Sabah, Sarawak dan Singapura (meninggalkan persekutuan pada 1965) pada tahun 1963.
Sepanjang 53 tahun lampau, Sabah dan Sarawak telah menjadi mangsa Kerajaan Perskutuan yang terlalu mengutamakan pusat. Rasa kecewa dan dianaktirikan melanda rakyat Sabah dan Sarawak.
DAP komited menawarkan suatu Tawaran Baru untuk Sabah dan Sarawak yang mengiktiraf status rakan kongsi setara dalam Persekutuan, selain mengagihkan kuasa dan hasil cukai.
Di bawah kerangka Federalisme Baru, Sabah dan Sarawak akan menikmati pelbagai autonomi dalam pempolisan komuniti, kesihatan, pendidikan, pengangkutan, selain menerima bahagian yang besar daripada hasil cukai untuk membiayai bidang-bidang kecekapan yang berautonomi itu.
Kerangka Federalisme Baru tersebut juga boleh dipakai untuk Johor, Kelantan dan Pulau Pinang yang semakin kecewa dengan Kerajaan Pusat dalam tempoh beberapa tahun ini.
- Lembaran Baru untuk Anak Muda dan Wanita
Sebagai parti yang terbina daripada idea dan nilai yang terkedepan mempromosi kesetaraan gender, DAP akan terus berusaha untuk menjadi parti pilihan wanita.
DAP komited ke arah kesetaraan gender, terutamanya di tempat kerja di mana ‘siling kaca’ dari segi kemajuan kerjaya dan gaji masih menyekat kemaraan kaum wanita walaupun layak. Meletakkan lebih ramai wanita dalam tenaga kerja adalah baik untuk ekonomi isirumah dan juga negara.
Sebagai sebuah negara, kita harus memanfaatkan segala kemahiran dan bakat kaum wanita dengan berusaha untuk membanteras segala bentuk diskriminasi terhadap wanita dalam masyarakat dan juga di tempat kerja, serta mewujudkan kemudahan penjagaan kanak-kanak selain memberi sokongan kepada ibu-ibu bekerja.
Kita percaya bahawa apabila kita wanita diberdayakan, ia bererti kita memberdayakan negara.
Dan sebagai parti yang diasaskan anak-anak muda beridealisme dan sentiasa menyediakan ruang kepada pemimpin muda untuk muncul di segenap tahap, DAP juga akan terus menjadi parti pilihan anak muda.
Masa depan adalah milik anak muda dan ini adalah satu hakikat di Malaysia hari ini. 72% populasi negara berusia bawah 40 tahun, sementara usia median adalah 27.1 tahun. Anak muda juga menyumbang kepada ekonomi, dan membentuk hampir dua-pertiga daripada tenaga kerja negara.
Malangnya, anak muda hari ini berhadapan masa depan yang kelam, dengan kadar pengangguran dan hutang yang tinggi. Ramai terperangkap dengan kerja-kerja bergaji kecil, berproduktiviti rendah. Gaji yang rendah dengan kos sara hidup yang tinggi sering mengundang kadar muflis yang tinggi di kalangan anak muda.
DAP percaya bahawa langkah-langkah perlu diambil untuk meningkatkan pendapatan mereka dan menawarkan peluang-peluang yang lebih baik dalam pekerjaan, pendidikan dan khidmat kesihatan. Kita mesti melaksanakan dasar-dasar yang mencipta peluang pekerjaan, selain pengembangan kemahiran dan vokasional.
DAP percaya bahawa anak muda tidak boleh dipandang rendah, tetapi dilayan sebagai rakan kongsi setara, kerana sebagai pewaris masa depan, mereka lah yang mempunyai insentif terbesar untuk merangka dasar-dasar jangka panjang. Kita mesti mengarusperdanakan kepimpinan anak muda dalam politik dan masyarakat, dengan memberi peranan membuat keputusan penting kepada mereka.
- BERSIHkan Malaysia
Untuk membolehkan Tawaran Baru ini menjadi nyata, kita perlu membersihkan rejim kleptokrasi sedia ada dan membina semula demokrasi melalui reformasi perlembagaan untuk memulihkan hak-hak rakyat. Hanya institusi yang bersih dan demokratik sahaja yang mampu menyediakan hasil politik, ekonomi dan sosial yang yang kita mahukan demi mengangkat taraf hidup rakyat Malaysia.
Apabila kerajaan bukan sahaja mengamalkan kronisme dan rasuah, malah dikenali dunia sebagai sebuah pentadbiran kleptokratik, ertinya ia tidak lagi berasa malu untuk melakukan apa sahaja demi kekal berkuasa. Negara dijadikan tebusan dan rakyatnya hilang hak-hak asasi.
Kita kesal dengan siri tangkapan, pendakwaan dan penindasan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972. Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 juga tidak dilupakan. Kita mengecam pendakwaan dan penindasan kali kedua terhadap Setiausaha Agung DAP, Sdr Lim Guan Eng yang bertujuan melumpuhkan DAP.
Untuk membina semula Malaysia, kita memerlukan institusi yang bersih, termasuklah pilihanraya yang bersih dan adil, parlimen bertaraf dunia yang mewakili suara dan keresahan semua rakyat Malaysia, media yang bebas, badan kehakiman yang bebas serta perkhidmatan awam yang neutral dan berkesan.
Ini hanya boleh berlaku melalui jalan perlembagaan, melalui proses demokratik peti undi, dan bukan melalui sebarang aksi ganas, revolusionari dan bertentangan dengan perlembagaan.Kita tidak boleh berputus asa, selepas 50 tahun, perjalanan kita masih jauh. Sepertimana semua usaha mulia manusia, ketabahan adalah kunci kepada usaha kita bersama.
Perjalanan yang belum selesai, Impian Malaysia
Garis tempur PRU ke-14 telah jelas nyata, di antara rejim tua tamat tarikh luput, dan sebuah tawaran baru, harapan baru. Pengundi Malaysia berdepan pilihan yang begitu jelas: memilih demokrat, atau kleptokrat.
Adakah rakyat Malaysia mahu berada dalam liga kleptokrasi global? Atau adakah kita bersedia menjadi negara bertaraf dunia dalam lapangan demokrasi? Kita mesti mengambil pendirian.
Kita menyeru rakyat Malaysia untuk bersatu dalam satu suara untuk menzahirkan iltizam ke arah membina suatu Tawaran Baru buat Malaysia yang berpadu, bertoleransi dan majmuk; bahawa kita akan berusaha untuk merealisasikan impian Malaysia yang belum selesai, yang menawarkan kemakmuran ekonomi serta keadilan untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama dan wilayah.
Pemerintahan kleptokratik tidak akan kekal lama kerana legitimasinya semakin pupus hari demi hari.
Sepertimana simbol roket yang telah bertahan sekian lama, yang menjadi lambang usaha umat manusia untuk meruntuh halangan dan mencapai hala tuju yang dikatakan mustahil, DAP telah bertahan dalam gelap malam memanjang untuk berada di kedudukannya hari ini, 50 tahun setelah ditubuhkan. Impian Malaysia akan terus menjadi visi kita bersama, sambil kita terus maju menuju masa depan bersama dengan semua rakan-rakan seperjuangan dan rakyat Malaysia yang tidak akan membiarkan pembawa penyakit takut ini merompak harapan kita untuk hari esok.
Terus berjuang!
Muat Turun Deklarasi 50 tahun DAP, Lembaran Baru untuk Rakyat Malaysia