Mukadimah:

Perlembagaan Merdeka merupakan satu dokumen sekular yang mendukung prinsip-prinsip demokrasi, kebebasan, kedaulatan undang-undang, dan penghormatan kepada hak-hak asasi manusia serta merangkumi ideal-ideal kebertanggungjawaban, kesaksamaan, keadilan dan pemeliharaan martabat manusia.

Prinsip-prinsip tersebut boleh memacu daya perpaduan dan penyatuan dalam masyarakat majmuk dari segi kepelbagaian kaum, agama dan budaya di tanahair kita dan juga di antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Berpandukan ideal-ideal tersebut, rakyat Malaysia boleh mengorak langkah ke arah pembangunan demokrasi dan ekonomi yang seiring; kebebasan tanpa penindasan; kesaksamaan peluang diutamakan berbanding kesaksamaan hasil; kedaulatan undang-undang demi keadilan sosial; penjanaan kekayaan diiringi pengagihan secara saksama serta kemakmuran ekonomi tanpa gejala rasuah.

Matlamat-matlamat

  1. Menubuhkan konsep demokrasi yang berlandaskan nilai demokrasi sosial di Malaysia menerusi perjuangan sistem parlimen berperlembagaan;
  2. Mengesahkan lagi dan memulihkan Perlembagaan Malaysia kepada rangka kerja sekular yang asal, iaitu sebagai sistem undang-undang tertinggi negara yang menghormati nilai-nilai demokrasi dan hak asasi manusia dengan memberi hak yang saksama kepada setiap rakyat Malaysia;
  3. Memupuk integrasi kebangsaan dengan Sabah dan Sarawak, mengiktiraf hak-hak istimewa kedua-dua negeri tersebut serta memupuk semangat kabangsaan dan perpaduan di antara semua kaum bagi melahirkan identiti bersama rakyat Malaysia yang bersatupadu;
  4. Mengiktiraf kebebasan beragama sebagai hak asasi yang merangkumi kebebasan pelbagai agama daripada diancam oleh undang-undang yang bersifat menindas dan akta-akta yang berunsur diskriminasi;
  5. Mempertahankan dan menjunjung kedudukan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan menjamin kewajipan dan hak untuk mempertingkatkan status, memperkembangkan, mempelajari dan menggunakan bahasa-bahasa ibunda yang lain, termasuk Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa asal;
  6. Menjadikan integriti, etika, keprihatinan sebagai nilainilai moral yang utama bagi mewujudkan ketelusan dan sebagai pendekatan yang liberal, saling menghormati dan pemahaman di antara tradisi kebudayaan dan kepercayaan agama yang berbeza;
  7. Memperkembangkan, mempertahankan dan melindungi kedaulatan dan integriti Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka;
  8. Menjadikan ASEAN sebagai komuniti yang berlandaskan pemerintahan baik, demokrasi dan menghormati hak asasi manusia dan juga sebagai rantau yang bebas daripada nuclear, serta aman, babas dan berkecuali;
  9. Memupuk, memperkembangkan serta memperluaskan demokrasi pada semua peringkat, terutamanya memulihkan pilihan raya tempatan, memperkasakan kuasa rakyat dari segi bentuk dan isi kandungannya dan mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan berlandaskan prinsip-prinsip kesaksamaan, kebebasan, keadilan dan proses pilihan raya yang bebas dan juga kebebasan akhbar;
  10. Memberi peluang yang saksama dan mengagihkan kekayaan ekonomi kepada semua rakyat berdasarkan penciptaan nilai-nilai dalam pasaran yang bersaing dan tata ekonomi yang menegaskan penciptaan kekayaan dan pengagihan kekayaan yang saksama;
  11. Berjanji untuk mempertingkatkan taraf pendidikan berdasarkan hanya kepada merit dan keperluan, serta memberikan akses penuh dan peluang yang sama kepada pendidikan peringkat awal, peringkat menengah dan peringkat tinggi, terutamanya sektor-sektor teknologi maklumat yang mengutamakan ilmu;
  12. Melindungi hak-hak pekerja dan kesatuan sekerja di bawah kerangka hak untuk bekerja, pembayaran gaji yang adil dan berpatutan kepada pekerja dan mempertahankan gaji sebenar mereka demi menjamin kesejahteraan hidup dan taraf kehidupan yang berpatutan kepada semua;
  13. Menghapuskan segala bentuk diskriminasi jantina terhadap wanita dalam bidang perkerjaan, pendidikan dan kesihatan;
  14. Memperkasakan remaja dengan memberikan meraka pilihan dan peluang untuk berkuasa sementara mempertingkatkan kesedaran mereka terhadap kewajipan
    dan tanggungjawab;
  15. Menegakkan keadilan dan menjaga keamanan semua rakyat dengan menghormati kedaulatan undang-undang, mewujudkan serta menjamin penjiranan dan komuniti yang selamat dan terjamin;
  16. Menginstitusikan akauntabiliti dan ketelusan yang bertujuan memerangi rasuah dan penyelewengan dalam pengurusan kewangan, dan juga mewujudkan nilai-nilai integriti dan amanah dalam pentadbiran kerajaan;
  17. Mewujudkan perkhidmatan kesihatan awam yang mampu dibiayai oleh semua, mudah dinikmati dan bertanggungjawab yang menjamin keperluan golongan yang sakit, kurang berupaya dan berusia; dan
  18. Menghalang kemerosotan dan pemusnahan alam sekitar demi memelihara pusaka warisan semula jadi yang bersih, sihat dan selamat.