BM 中文 English

Parti

DAP's RocketDAP atau Parti Tindakan Demokratik diasaskan pada 18 Mac 1966. Menggunakan lambang ROKET, DAP bertanding dalam sebelas pilihan raya umum dari tahun 1969 hingga 2013.

DAP adalah komited kepada perjuangan untuk sebuah negara Malaysia untuk rakyat Malaysia yang bebas dan demokratik sosial berdasarkan prinsip-prinsip hak asasi manusia, kesaksamaan, keadilan sosial dan ekonomi dan berasaskan institusi demokrasi berparlimen.

Sebagai sosialis demokratik atau demokrat sosial, kami ingin melihat suatu susunan sosial di mana terdapatnya perkembangan keperibadian manusia yang bebas di dalam masyarakat; pengagihan hasil usaha yang saksama; kesamarataan dan keadilan sosial sebagai kelaziman; dan nilai dan maruah diberikan kepada usaha manusia.

Kesamarataan adalah prasyarat perkembangan keperibadian yang bebas. Ianya tidak bermakna keseragaman dan kesamaan tetapi tentangan terhadap eksploitasi dan hak dan keistimewaan mereka yang mengawal kuasa ekonomi dan politik.

Sosialisme demokratik mendukung hak bekerja dan keprihatinan untuk kebajikan rakyat semua kelas dan lapisan, hak kepada persekitaran yang bersih dan baik, hak mendapat pendidikan dan latihan menyeluruh menurut pilihan sendiri di samping hak untuk mengambil bahagian dalam pentadbiran dan segala proses membuat keputusan.

Sebagai ahli Sosialis Antarabangsa (SI), kami bersatu hati dengan sosialis demokratik atau demokrat sosial di seluruh dunia yang memperjuangkan kebaikan manusia dan demokrasi sosial. Kami bersolidariti dengan golongan ditindas yang membantah peperangan yang tidak adil dan penghasilan senjata untuk perang dan yang melaungkan keamanan dan kemakmuran berasaskan kerjasama sama rata dengan dibantu pengetahuan saintifik dan kemajuan teknikal.

Solidariti adalah senjata paling kuat dalam perjuangan menentang penindasan dan ketidakadilan dan ianya mengecapi segenap penduduk dunia. Semua orang yang berpegang kepada nilai-nilai asas ini adalah sekutu dan rakan kami terhadap kezaliman, pemerintahan diktator, korupsi, eksploitasi dan penindasan.

Perjuangan kebangsaan untuk sosialisme demokratik dalam tahun-tahun akan datang akan mendedahkan perbezaan dasar dan penyimpangan dalam peruntukan perundangan. Ini akan mencerminkan sejarah dan kemajmukan berlainan pelbagai masyarakat. Para sosialis tidak mendakwa ada memiliki pelan induk bagi sebuah masyarakat yang kekal dan sempurna yang tidak boleh diubah, diperbaharui atau dibangunkan selanjutnya. Dalam sebuah pergerakan yang komited kepada penentuan nasib sendiri secara demokratik, ruang untuk kreativiti senantiasa wujud memandangkan setiap masyarakat dan generasi mesti menetapkan matlamat mereka sendiri.

Kebebasan individu dan hak asasi dalam masyarakat adalah prasyarat bagi maruah manusia yang harus dimiliki setiap insan. Hak-hak ini tidak boleh saling bergantian, ataupun diketepikan salah satunya. Para sosialis melindungi hak kepada nyawa dan keselamatan fizikal yang tidak boleh diasingkan, kebebasan untuk mengamalkan kepercayaan dan menyuarakan pendapat dan kebebasan untuk berhimpun serta perlindungan daripada penyiksaan dan penghinaan. Sosialis adalah komited kepada pencapaian kebebasan daripada kelaparan dan kemahuan, keselamatan sosial yang benar-benar dan hak untuk bekerja.

Sosialisme demokratik juga bermakna demokrasi kebudayaan. Mesti terdapatnya hak dan peluang sama rata untuk budaya-budaya berlainan dalam setiap masyarakat serta akses sama rata untuk setiap orang kepada warisan kebudayaan negara dan dunia.

Sertailah DAP untuk menjadikan Malaysia sebuah masyarakat yang lebih baik bagi segenap rakyat!