SEJARAH PERJUANGAN

DAP sebagai parti politik yang sah telah diluluskan pendaftarannya pada 18 Mac 1966. Di bawah simbol Roket, DAP telah bertanding dalam 12 pilihanraya umum (PRU) sejak tahun 1969 sehingga tahun 2018 (Kecuali dalam PRU ke-14 di mana DAP bersama semua komponen Pakatan Harapan menggunakan logo Keadilan sebagai simbol bersama)

Ideologi asal parti adalah sosialisme demokratik, iaitu sosialisme sederhana yang mengambil jalan tengah dengan menolak komunisme dan kapitalisme pada era Perang Dingin di mana dunia dipisahkan oleh blok kuasa Barat dan Timur. Ideologi ini membolehkan DAP menawarkan jalan Parlimen yang melawan sebarang bentuk politik ekstrem dan ganas.

Setelah berakhirnya Perang Dingin pada awal 1990-an dan bermula era pendemokrasian, DAP pada tahun 2006 telah meminda perlembagaan parti untuk menerima sosial demokrasi sebagai ideologi parti. Sosial demokrasi menerima pasaran bebas tetapi membolehkan campurtangan kerajaan bagi memastikan hak pekerja dan pengguna serta warga sentiasa dilindungi dan diutamakan. Ini lebih mencerminkan pandangan-pandangan yang pelbagai yang lebih demokratik dan progresif tanpa mengorbankan prinsip-prinsip asal 1966 (Perisytiharan Setapak, 1967).

Sejarah pilihan raya umum

Pada PRU 1969, DAP bertanding buat kali pertama dengan menggunakan lambang rasmi Roket dan berjaya memenangi 13 kerusi Parlimen dan 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)

Sebagai sebuah parti politik, DAP mengalami pelbagai pengalaman pahit dan manis sepanjang pilihan raya yang ditandinginya di antara 1969 dan 2018. Ia pernah kalah teruk dengan mendapat hanya 9 kerusi Parlimen dan 11 kerusi DUN dalam PRU 1995.  Pada PRU 2018, ia mencatatkan kejayaan gemilang apabila memenangi 42 kerusi Parlimen dan 99 kerusi DUN (atau 106 kerusi DUN apabila dicampurkan dengan kerusi DUN Sarawak yang telah mengadakan pilihan raya negeri pada tahun 2016). 

Melalui turun naik perjuangan selama lebih daripada lima dekad, DAP sentiasa berusaha dalam perjuangan untuk demokrasi, keadilan, kesamarataan dan pembentukan Malaysia yang bersatu-padu, berbilang bahasa, berbilang budaya dan berbilang agama.

Tekanan dan penindasan

Ramai ahli dan pemimpin parti terpaksa menderita dalam perjuangan kerana peranan sebagai pembangkang pada era BN adalah pengalaman yang pahit. Pada zaman BN, pembangkang tidak dilayan dengan adil, malah ditekan dan ditindas.

Kerana prinsip dan perjuanga, ramai yang ditahan tanpa bicara di bawah undang-undang zalim Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Ada pula yang dihukum dan dipenjarakan di bawah tuduhan-tuduhan berunsur politik atau dijadikan mangsa fitnah dan momokan.

Cabaran kerjasama politik

Dalam PRU 1999, DAP bekerjasama dengan Parti Islam Semalaysia (PAS), Parti Keadilan Nasional (Keadilan) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) untuk membentuk Barisan Alternatif untuk mencabar BN.

Bagaimana pun, provokasi BN serta desakan-desakan Parti Islam SeMalaysia (PAS) untuk menubuhkan sebuah negara Islam mengikut acuan konservatif serta tidak inklusif telah menyebabkan DAP menarik diri daripada gabungan tersebut.

DAP kekal dengan komitmennya bahawa Malaysia adalah sebuah negara demokratik yang berasaskan Perlembagaan Persekutuan yang menghormati semua agama dan kaum. Persetujuan asal Barisan Alternatif adalah untuk “Menuju ke Negara Malaysia yang Adil” bagi melawan hegemoni politik BN dan memecahkan belenggu hak dan kebebasan rakyat serta menegakkan keadilan, kebebasan, demokratik dan pentadbiran kerajaan yang baik. Tidak timbul soal mewujudkan negara agama atau teokrasi. 

Pada  PRU 2008, bermula senario politik baru yang sebelum ini tidak pernah berlaku di Malaysia di mana BN kehilangan majoriti dua pertiga Parliman serta kalah di 5 negeri, iaitu Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kedah dan Kelantan. Senario tersebut telah mengizinkan pembentukan Pakatan Rakyat hasil gabungan DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (Keadilan adalah hasil gabungan daripada Parti Keadilan Nasional dan PRM) – di mana kekuatannya adalah 82 daripada 222 kerusi Parlimen – untuk  menjadikan Malaysia lebih adil, bersepadu dan demokratik.

PRU ke-13 pada Mei 2013 yang bermatlamat untuk mengalahkan BN hampir tercapai apabila Pakatan Rakyat memenangi 52% undi popular tetapi gagal memperolehi kerusi Parlimen yang mencukupi akibat proses persempadanan semula yang dimanipulasi oleh BN. Prestasi DAP tetap memuaskan apabila memenangi 38 kerusi Parlimen dan 99 kerusi DUN, dan menjadikan jumlah bilangan kerusi Parlimen untuk pembangkang meningkat menjadi 89 kerusi.

Provokasi, pujukan dan taktik kotor BN, khususnya UMNO, telah menyebabkan PAS tidak puas hati dengan gabungan pembangkang. Selepas PAS memutuskan hubungan dengan DAP, satu gabungan baru dibentuk. Perpecahan dalaman PAS telah menghasilkan Parti Amanah Negara (Amanah)yang bersatu tenaga dengan DAP dan Keadilan serta wadah baru Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) – parti pecahan UMNO – yang dipimpin oleh Tun Dr Mahatir Mohamad. Gabungan ini adalah Pakatan Harapan.

Sejarah telah dicipta di dalam pilihanraya umum tahun 2018, BN akhirnya tewas buat kali pertama dalam sejarah negara. Pakatan Harapan memenangi 113 kerusi Parlimen manakala BN hanya mendapat 79 kerusi. Namun, semuanya berakhir pada 1 Mac 2020.

Sama ada sebagai anggota kerajaan atau pembangkang, DAP terus  mengekalkan komitmen politiknya untuk membawa keadilan, peluang saksama dan demokrasi bagi mewujudkan Malaysia yang bersatu-padu dalam menerima cabaran era globalisasi dan teknologi maklumat, serta impak Revolusi Industri 4.0.