Peruntukan untuk kawasan Parlimen

Dalam jawapan kepada soalan saya mengenai peruntukan kawasan Parlimen, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengatakan bahawa Kerajaan tidak mempunyai dasar baru dari segi pengagihan peruntukan khas YAB PM bagi semua kawasan Parlimen di seluruh Negara. Ini bermaksud pendekatan sedia ada iaitu mendiskriminasi kawasan-kawasan yang diwakili oleh Ahli Parlimen pembangkang masih diteruskan.

Namun, pendekatan yang diambil oleh Datuk Seri Najib Tun Razak lebih teruk daripada mantan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Sekurang-kurangnya, Pak Lah tidak mendiskriminasi kawasan pembangkang dari segi jumlah peruntukan yang diberikan walaupun semua peruntukan tersebut tidak melalui Ahli Parlimen pembangkang dan diuruskan oleh Pejabat Pembangunan Negeri dengan keputusannya dipengaruhi oleh Ketua UMNO Bahagian.

Mengikut jawapan yang diberikan, untuk tahun 2013, bagi kawasan Parlimen di Semenanjung, sebanyak 85 kawasan diperuntukkan RM1 juta, manakala 80 kawasan lagi diperuntukan sebanyak RM0.3juta. Sementara itu bagi kawasan Parlimen di Sabah, Sarawak dan Labuan sebanyak 48 kawasan diperuntukan RM1.5 juta dan 9 kawasan pula diperuntukkan RM0.5 juta.

Daripada jawapan tersebut, adalah sangat jelas bahawa terdapat perbezaan dari segi jumlah peruntukan di antara kawasan yang diwakili oleh BN dan Pakatan Rakyat. PR memenangi 80 kawasan Parlimen di Semenanjung, 3 di Sabah dan 6 di Sarawak. Mengapa terdapat diskriminasi dari segi jumlah peruntukan untuk kawasan-kawasan yang dimenangi oleh PR?

Permintaan oleh Datuk Seri Najib untuk “national reconciliation” adalah seperti cakap tak serupa bikin! Diskriminasi seperti ini terhadap kawasan-kawasan pembangkang adalah “national retaliation” yang berterusan terhadap pengundi-pengundi yang telah menyokong Pakatan Rakyat.

Sekiranya Datuk Seri Najib serius untuk mencapai “national reconciliation” dan ingin menjadi Perdana Menteri 1Malaysia dan bukannya Perdana Menteri Barisan Nasional sahaja, beliau mesti menghentikan semua tindakan dan dasar yang mendiskriminasi kawasan yang tidak memilih BN.

Sebagai permulaan, semua 222 kawasan Parlimen mesti diberikan peruntukan yang sama rata dan cara pengagihan mestilah sama iaitu semua Ahli Parlimen tidak kira sama ada kawasan itu diwakili oleh BN atau PR diberikan kuasa untuk mengurus dan meluluskan sebarang projek yang menggunakan peruntukan tersebut.

Sekiranya Kerajaan Persekutuan dapat membuat perubahan ini, saya yakin Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan juga akan melaksanakan perubahan dasar tersebut.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP & Ahli Parlimen Seremban
Kenyataan media oleh Loke Siew Fook di Parlimen pada hari Rabu, 3 Julai 2013