29,101 orang pengundi Johor dipindah kawasan tanpa pemberitahuan awal – Apakah alasan Suruhanjaya Pilihan Raya?

Berdasarkan Artikel 113(2) Perlembagaan Persekutuan, sempadan pilihan raya sesuatu kawasan – sama ada kerusi Parlimen ataupun Negeri – hanya boleh diubah dengan menjalankan ‘Persempadanan Semula’ di mana prosedur dan kaedahnya diperuntukkan jelas di bawah Jadual 13, Perlembagaan Persekutuan. Ini termasuklah prosedur mengeluarkan notis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Perdana Menteri, notis dalam Warta, iklan dalam akhbar, pembentagan kertas statut di Dewan Rakyat dan kemudian Dewan Negara dan sebagainya.

Pada 29hb April yang lepas, Kerajaan Persekutuan telah menerbitkan sebuah Notis dalam Warta Persekutuan (No.: PU (B) 197 – 2016) mengenai Daerah Mengundi dan Pusat Mengundi di bawah peruntukkan Akta Pilihan Raya 1958. Setelah siasatan terperinci, kami dapati bahawa untuk seluruh negeri Johor, kerja pembelahbahagian daerah mengundi tersebut telah mengakibatkan sejumlah 29,101 orang pengundi dipindah kawasan DUN ataupun Parlimen tanpa sebarang pemberitahuan awal. Pada pendapat kami, pertukaran kawasan mengundi secara besar-besaran sedemikian hanya boleh dibuat melalui kerja Persempadanan Semula seperti mana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan bukan dengan budi bicara SPR sendiri sahaja.

Akta Pilihan Raya 1958 memberi kuasa kepada SPR untuk membuat daerah mengundi yang baru dan memindah pemilih dari suatu daerah mengundi ke daerah mengundi yang lain selagi ia tidak menyentuh sempadan kerusi DUN ataupun Parlimen. Dari sisi undang-undang, jelas sekali SPR tiada kuasa untuk bertindak memindah pengundi dari satu kawasan DUN / Parliamen ke kawasan DUN / Parlimen yang lain mengikut budi bicara sendiri. Ia hanya boleh dibuat melalui Persempadanan Semula.

Disebabkan pemindahan pengundi yang dilakukan oleh SPR tersebut, di Johor sebanyak 31 kerusi DUN mengalami pertambahan ataupun pengurangan bilangan pengundi melebihi 1%. Sebanyak 8 kerusi, iaitu Bentayan, Jementah, Kukup, Bukit Naning, Tenang, Sungai Abong, Bekok dan Pemanis, mengalami perubahan melebihi 5% berbanding jumlah pengundi yang lepas. Kami percaya perubahan besar-besaran sedemikian melibatkan perubahan sempadan pilihan raya yang sangat jelas.

Contoh yang paling ketara adalah kerusi N12 Bentayan di bawah P145 Bakri. Sebanyak 23 lokaliti dengan bilangan pengundi sejumlah 6,677 orang telah dipindah masuk dari N13 Sungai Abong (dimenangi oleh PAS pada GE13 dengan 3,813 majoriti) ke N12 Bentayan (dimenangi oleh DAP pada GE13 dengan 6,847 majoriti) (Sila rujuk Jadual 1). Satu lokaliti dengan 367 pengundi pula dipindah dari DUN Bentayan ke DUN Sungai Abong. Akibatnya, bilangan pengundi di N12 Bentayan melonjak dari 23,438 orang pada PRU13 ke 29,748 orang sekarang iaitu penambahan sebanyak 27%. Pada masa yang sama, N13 Sungai Abong mengalami pengurangan bilangan pengundi 25%. Setelah menyemak Pelan Warta yang lama dan baru, kami dapati perubahan besar-besaran ini berlaku kerana sempadan antara N12 Bentayan dan N13 Sungai Abong memang telah dialih dengan sangat jelas (Sila rujuk Rajah 1). Sebagai contoh, lokaliti Kampung Kenangan Tun Dr Ismail 2 (1,628 pengundi) dan Jalan Haji Jaib (1,088 pengundi) adalah jelas terletak di bawah N13 Sungai Abong pada PRU 13 tetapi kini telah dialihkan ke N12 Bentayan.

Di samping itu, kami ingin juga menyebut bahawa pemindahan pengundi oleh SPR kali ini menjejaskan enam kerusi yang dipegang oleh DAP. Selain Bentayan, kerusi-kerusi DAP yang turut terjejas adalah:

  1. Jementah : Tambah 1,705 orang pengundi, 6%
  2. Bekok : Kurang 1,120 orang pengundi, -5.4%
  3. Penggaram : Kurang 430 pengundi, -1.0%
  4. Mengkibol : Kurang 780 pengundi, -1.8%
  5. Pekan Nenas : Kurang 958 pengundi, -2.9%

Kami tidak memahami apakah rasional di sebalik pemindahan pengundi secara besar-besaran oleh SPR tanpa melalui prosedur Persempadanan Semula yang diwajibkan dari sisi undang-undang. Adakah ini sebahagian daripada strategi pemerintah Barisan Nasional untuk memperkukuhkan kedudukan mereka di Johor?

Pihak DAP Johor telah mengatur pertemuan dengan Pengarah SPR Negeri Johor pada awal bulan Ogos untuk berbincang tentang perkara ini. Pada sementara waktu, kami memanggil Suruhanjaya Pilihan Raya supaya membatalkan Warta Pembelahbahagian Daerah Mengundi yang berkuatkuasa pada 29 April 2016 dan mengembalikan sempadan piliharan raya semula kepada sempadan asal yang digunakan pada PRU 13 yang lepas.

Rajah 1: Sempadan Pilihan Raya N12 Bentayan

Nota:
1 – Kawasan Kampung Kenangan Tun Dr Ismail 2
2 – Kawasan Jalan Haji Jaib
Kawasan Hijau menandakan sempadan lama, Kawasan Ungu menandakan sempadan baru.

Chua Wee Beng
ADUN Bentayan
Gan Peck Cheng
ADUN Penggaram
Lim Eng Guan
ADUN Bekok
Tan Hong Pin
ADUN Mengkibol
Kenyataan media bersama oleh Chua Wee Beng, Gan Peck Cheng, Lim Eng Guan dan Tan Hong Pin di Muar pada hari Khamis, 28 Julai 2016