BM 中文 English

Daripada menunggu janji-janji kosong yang tidak dapat ditunaikan oleh kerajaan semasa, lebih baik memberi undi kepada calon Pakatan Harapan dalam pilihan raya ke 14 nanti

Saya tidak puas hati dengan kenyataan yang diberikan oleh timbalan menteri kesihatan Dato’ Seri Dr. Hilmi Bin Haji Yahaya bahawa pihak kerajaan akan bekerjasama dengan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) untuk mendirikan sebuah hospital di kampus UTAR di Kampar dan bukannya membina hospital baru kerajaan seperti yang dijanjikan pada tahun 2012.

Kesihatan pada masa itu, Datuk Seri Liow Tiong Lai telah mengumumkan kelulusan peruntukan sebanyak 150 juta ringgit daripada kerajaan pusat untuk membina hospital baru di Kampar yang baru bagi menggantikan hospital yang sedia ada dan ianya dikatakan dijangka Menteri siap dalam masa dua tahun. Namun pengumuman tinggal pengumuman sahaja. Tidak terdapat sebarang perkembangan dalam projek tersebut. Upacara pecah tanah tidak pernah diadakan membawa ke status hari ini di mana projek tersebut dibatalkan terus.

Ini menyebabkan penduduk Kampar hampa kerana kemudahan hospital baru yang dijanjikan tidak dikotakan. Datuk Seri Liow pula merasmikan aktiviti kumpul dana dari orang ramai untuk membantu UTAR mendirikan hospital pengajar. Ini bermaksud keutamaan UTAR adalah mendirikan hospital pengajar untuk pelajarnya dan bukannya untuk orang ramai menerima rawatan. Jikalau pihak kerajaan berniat membina hospital daerah yang baru, projek tersebut sepatutnya siap pada tahun 2014 atau 2015 dan bukannya masih dalam perbincangan dengan pihak UTAR sehingga ke hari ini.

Datuk Seri Liow telah menyatakan bahawa pihak UTAR pada mulanya ingin mengutip dana berjumlah RM300 juta untuk mendirikan hospital di kampusnya di Kampar. Persoalan yang timbul daripada ini ialah adakah kerajaan perlu menyumbang peruntukan sebanyak RM300 juta ini untuk membolehkan kerja-kerja pembinaan hospital di UTAR ini dimulakan secepat mungkin atau sebaliknya tunggu sehingga pihak UTAR berjaya mengumpul dana tersebut. Jikalau kerajaan menampung kos tersebut, ini bermaksud kerajaan perlu menyediakan peruntukan dua kali ganda daripada RM150 juta yang telah pun diluluskan pada tahun 2012. Bukankah ini lebih membebankan kerajaan dan bukannya meringankan bebanan kerajaan seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Dato’ Seri Dr. Hilmi?

Sekiranya terpaksa menunggu pihak UTAR mengumpul dana yang diperlukan sepenuhnya, sampai bilakah penduduk Kampar terpaksa tunggu kerana jumlah sebanyak RM300 juta tersebut bukannya kecil. Adakah kerajaan boleh memberitahu penduduk di Kampar bilakah hospital baru akan mula dibina?

Populasi bandar Kampar dan kawasan sekitarnya adalah lebih kurang 100 ribu penduduk. Ini belum lagi mengambil kira populasi bergerak seperti mahasiswa UTAR sebanyak 25 ribu orang, menjadikan jumlah penduduk melebihi 125 ribu orang. Nisbah katil dengan penduduk yang sedia ada adalah 2:1000. Ini bermakna kita memerlukan sekurang-kurangnya 250 katil untuk penduduk Kampar. Sekiranya diambil kira nisbah di negara-negara maju, iaitu 6:1000, jumlah katil di hospital perlu mencapai angka 750 untuk keperluan penduduk di Kampar. Oleh itu, hospital baru dan hospital UTAR di kampusnya boleh saling wujud. Ianya tetap bukan pembaziran. Kerajaan boleh teruskan pembinaan hospital baru untuk penduduk Kampar dan pada masa yang sama pihak UTAR boleh meneruskan perancangan mereka.

Hospital Kampar yang sedia ada mempunyai hanya 90 katil, peralatan dan infrastruktur yang tidak lengkap serta tidak mempunyai doktor pakar. Oleh itu, penduduk Kampar amat memerlukan sebuah hospital untuk menikmati kemudahan rawatan perubatan yang lebih sempurna.

Daripada menunggu janji-janji kosong yang tidak dapat ditunaikan oleh kerajaan semasa, lebih baik memberi undi kepada calon Pakatan Harapan dalam pilihan raya ke 14 nanti. Apabila berjaya membentuk kerajaan, Pakatan Harapan akan membina sebuah hospital dalam masa yang tersingkat untuk kemudahan penduduk di Kampar.

Dr Ko Chung Sen
Ahli Parlimen Kampar
Kenyataan media oleh Dr. Ko Chung Sen di Kuala Lumpur pada hari Jumaat, 11 Ogos 2017