BM 中文 English

Pakatan Harapan Negeri Pulau Pinang ingin merakamkan penghargaan kepada pengundi-pengundi Negeri Pulau Pinang kerana telah memberi mandat ketiga untuk terus memerintah negeri ini

Pakatan Harapan Negeri Pulau Pinang ingin merakamkan penghargaan kepada pengundi-pengundi Negeri Pulau Pinang kerana telah memberi mandat ketiga untuk terus memerintah negeri ini.

Sokongan rakyat telah meningkat kepada 67.2 peratus pada Pilihanraya Umum 2018 berbanding 58 peratus pada 2008 dan 66 peratus pada 2013.

Sokongan rakyat ini juga menyumbang kepada penambahan kerusi Dewan Undangan Negeri dari 30 kepada 37 yang mewakili semua rakyat dari semua daerah dalam Negeri ini.

Pada hari ini, Kerajaan Negeri telah dibentuk dengan lantikan 10 Ahli sebagai Exco Kerajaan Negeri yang terdiri dari Ahli-Ahli yang berpengalaman dalam Kerajaan Negeri dan lima muka baru yang akan menyumbang kepada kemantapan dan kepelbagaian barisan pimpinan dalam pentadbiran kali ini.

Saya amat berharap barisan Exco Kerajaan Negeri yang dibentuk selepas mendapat sokongan kuat rakyat akan melihat pelantikan ini sebagai peluang yang dikurniakan rakyat untuk memenuhi aspirasi rakyat.

Cabaran bagi barisan Exco dalam penggal ini adalah untuk menunaikan 68 Janjian Pilihanraya dalam Manifesto Saya Sayang Pulau Pinang dan seterusnya membawa transformasi yang bermakna kepada rakyat khususnya demi mencapai Kelestarian Alam Sekitar dalam Pertumbuhan Negeri.

Saya percaya prestasi yang telah dicapai sepanjang 10 tahun pemerintahan Pakatan Harapan telah menyediakan landasan yang kukuh untuk kita mara ke hadapan lagi.

Dalam kesempatan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan Ketua Menteri Saudara Lim Guan Eng kerana telah membawa kejayaan kepada negeri Pulau Pinang yang membanggakan. Kita berikhtiar akan meneruskan prestasi yang cemerlang ini dalam penggal yang baru ini.

Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan seperjuangan Dato Mohamed Rashid bin Hasnon, Dato Abdul Malek bin Abu Kassim, Saudara Lim Hock Seng dan Saudara Danny Law Heng Kiang atas sumbangan mereka kapada pembangunan negeri Pulau Pinang.

Chow Kon Yeow
Ketua Menteri Pulau Pinang
Kenyataan media oleh Chow Kon Yeow sempena Upacara Mengangkat Sumpah Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri di Dewan Sri Pinang, George Town pada hari Rabu, 16 Mei 2018