BM 中文 English

Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus berusaha supaya tidak mengecewakan rakyat yang memilih Pakatan Harapan di PRU-14, mahupun di peringkat negara atau negeri

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang telah berlangsung pada 9 Mei 2018, rakyat Malaysia telah membuat keputusan untuk memilih satu Kerajaan Persekutuan yang baru selepas 61 tahun merdeka untuk menyelamatkan Malaysia daripada rasuah yang semakin teruk untuk menuju ke arah Malaysia yang baru.

Walaupun pelbagai cabaran di hadapan yang perlu diselesaikan oleh pentadbiran Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan yang baru ini, khasnya hutang negara yang mencecah RM1 trillion, malah sebagai rakyat yang cintakan Malaysia, kami yakin bahawa Kabinet Malaysia yang diketuai oleh YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad dapat memimpin dan menyelesaikan segala masalah yang ditinggalkan oleh bekas pentadbiran terdahulu.

Tabung Harapan Malaysia (THM) telah ditubuhkan selepas permintaan daripada rakyat jelata yang ingin membantu negara dalam masa kritikal kini. Sehingga 3 petang pada 11 Jun 2018, THM telah berjaya mengumpul RM56,662,086.58 dalam 13 hari sejak penubuhannya pada 30 Mei 2018 yang lalu.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakyat negeri dan juga rakan-rakan Korporat di negeri Pulau Pinang yang turut menyumbang kepada tabung ini untuk menyelamatkan negara kita. Walaupun derma yang diterima tidak mungkin dapat menyelesaikan masalah hutang negara dengan kadar secepat mungkin, namun semangat cintakan Malaysia ini yang telah berjaya menyatupadukan rakyat Malaysia. Saya dan para Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta Yang Berhormat-Yang Berhormat turut dijemput menghadiri upacara penyampaian cek dan membantu dalam menyalurkan dana tersebut kepada Kementerian Kewangan Malaysia.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang turut mengistiharkan Sokongan teguh kepada usaha yang telah dijalankan oleh Kerajaan Persekutuan sejak 9 Mei 2018, antaranya termasuk:

  • Kadar GST ditetapkan pada kadar sifar mulai 1 Jun 2018 dan digantikan dengan SST yang hanya akan berkuatkuasa pada bulan September
  • Menstabilkan harga petrol
  • Anggota Kabinet dan pegawai Kanan Kerajaan potong gaji 10%
  • Penubuhan Jawatankuasa Pembaharuan Institusi
  • Menubuhkan Majlis Penasihat Kerajaan (Council of Eminent Persons) yang berperanan untuk menasihati kerajaan berhubung hal ehwal ekonomi dan kewangan negara semasa tempoh peralihan mengikut kepakaran masing-masing
  • Memulakan Penyiasatan semula terhadap Skandal 1MDB
  • Membatal atau mengkaji semula Projek-projek mega seperti HSR
  • Tiada lagi “Kopi Lesen” untuk ujian lesen memandu
  • Perdana Menteri, Menteri dan Ketua Institusi perlu isytihar harta
  • hanya menerima ‘hadiah’ berupa bunga, makanan serta buah-buahan menerusi pe­laksanaan dasar pemberian ha­diah dan derma
  • Perdana Menteri tidak boleh memegang portfolio lain dalam Kabinet
  • Meneruskan Pemberian BR1M dengan program “Bantuan Sara Hidup Rakyat”
  • Pelepasan Sekatan ke luar negara terhadap peminjam PTPTN yang berpendapatan kurang daripada RM4000
  • Dasar monopoli ke atas pengimportan beras oleh syarikat Padiberas Nasional Bhd (Bernas) dihapuskan
  • Membubarkan SPAD, JASA, MPN dan JKKP

Kami akan terus berusaha supaya tidak mengecewakan rakyat yang memilih Pakatan Harapan di PRU-14, mahupun di peringkat negara atau negeri.

Chow Kon Yeow
Ketua Menteri Pulau Pinang
Kenyataan media oleh Chow Kon Yeow di Komtar, George Town pada hari Selasa, 12 Jun 2018