BM 中文 English

Perutusan Hari Raya Aidilfiltri daripada Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow

Hari lebaran akhirnya tiba menjelma. Kegembiraan terpancar di wajah semua, tatkala bergerak pulang ke kampung halaman untuk bertemu dengan orang tersayang. Setelah sebulan berpuasa, umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri, antara sambutan paling penting di kalangan umat Islam.

Di Pulau Pinang khususnya, amalan kunjung-mengunjung dan rumah terbuka adalah perkara lazim yang diwarisi sejak turun termurun. Kedudukan strategik negeri ini di laluan perdagangan Laut Cina Selatan telah membuka pintu kepada pelbagai kaum, bahasa, kebudayaan, bakat dan perniagaan ke sini, termasuklah pedagang Arab dan India Muslim pada abad ke-18 yang berperanan dalam membawa masuk Agama Islam ke rantau ini. Bangunan bersejarah serta pusat berkumpulnya umat Islam seperti Masjid Kapitan Keling dan Masjid Melayu Lebuh Acheh masih terpelihara dan tersergam indah.

Pulau Pinang merupakan satu negeri contoh terbaik di mana rakyatnya yang majmuk hidup bersama tanpa sebarang persengketaan. Hubungan baik ini telah mewujudkan satu asimilasi dan budaya unik Pulau Pinang dari segi bahasa mahupun cara hidup.

Mungkin ada lagi segelintir yang meratapi keputusan pilihan raya yang lalu pada Mei 9. Tapi masanya telah tiba untuk kita semua menggembleng tenaga dalam memaju dan memakmurkan negara kita, khususnya Pulau Mutiara. Ketepikan sengketa dan perbezaan ideologi politik dan politik sempit. Sejarah baru Malaysia telah membawa perubahan kepada landskap politik tanah air sejak lebih 60 tahun berada di bawah tampuk pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional. Keputusan rakyat untuk menukar dan memberi mandat baharu kepada Kerajaan Pakatan Harapan harus diterima dengan hati terbuka dan penuh kepercayaan.

Bagi kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang yang telah mentadbir sejak tahun 2008, kami bertekad dan komited untuk terus berusaha dalam mengotakan segala janji dan perancangan yang telah dibuat, seterusnya meneruskan pentadbiran dan rekod cemerlang yang ditinggalkan oleh bekas Ketua Menteri Pulau Pinang terdahulu, Saudara Lim Guan Eng.

Sepanjang sedekad yang lepas, Kerajaan Negeri telah membuat pelbagai dasar dan projek rakyat, dengan rangsangan ekonomi yang telah kita laksanakan telah berjaya meyakinkan para pelabur dari dalam mahupun luar negara. Kini, negeri kecil ini mampu berdiri tinggi sama tinggi dengan negara maju lain, terkenal dengan produk-produk pelancongannya, makanan, industri serti bakat orang tempatan.

Pada April 2018, sejumlah RM1.75 juta sumbangan tambahan telah disalurkan kepada guru-guru dan 196 sekolah-sekolah agama rakyat. Sumbangan tambahan ini adalah sebahagian daripada peruntukan untuk Hal Ehwal Agama Islam yang berjumlah RM497.77 juta dari tahun 2008-2018. Agama Islam akan terus dimartabatkan di negeri ini.

Malah, bagi meringankan beban penjawat awam untuk membuat persiapan menyambut lebaran yang bakal diraikan minggu ini, Kerajaan Pulau Pinang telah mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan sempena Aidilfitri sebanyak RM1,000 kepada 3,600 penjawat awam negeri Pulau Pinang.

Marilah kita suburkan benih-benih kasih sayang, hormat-menghormati, saling memahami, toleransi, keterbukaan, dan penerimaan terhadap amalan dan budaya orang lain. Saya menyeru semua untuk meraikan kepelbagaian kita, hapuskan syak-wasangka, racis dan ekstrem di jiwa kita. Nescaya, pokok yang tumbuh nanti akan mekar dan harum, kuat dan teguh, demi masa depan yang lebih baik.

Jom merayakan hari yang mulia ini dengan saling menziarahi dengan semangat muhibah. Dalam kesibukan menyambut Syawal, saya ingin menyeru kepada semua agar bijak berbelanja dan rancanglah perjalanan dengan baik dan pastikan periksa kenderaan sebelum memulakan perjalanan. Patuhilah undang-undang lalulintas, pandu dengan cermat dan waspada. Semoga perjalanan anda semua selamat dan ceria.

Di saat kita bersukaria, jangan dilupakan mereka yang kurang berkemampuan, kurang upaya dan yang memerlukan. Berilah sumbangan dalam apa jua bentuk kepada mereka. Mari kita berkongsi nikmat dan rahmat Raya ini kerana yang memberi itu adalah lebih baik daripada yang menerima. Jangan lupa juga kepada golongan pekerja asing yang terpaka berjauhan dengan keluarga tercinta, bekerja di bawah panas terik di negara kita, demi sesuap nasi.

Semoga Raya ini membawa seribu satu rahmat dan berkat serta menguatkan lagi semangat ukhuwah.

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin.

Chow Kon Yeow
Ketua Menteri Pulau Pinang
Perutusan Hari Raya Aidilfiltri daripada Chow Kon Yeow di Komtar, George Town pada hari Rabu, 13 Jun 2018