Usul “hilang percaya” terhadap keenam-enam anggota pesuruhjaya SPR

Dalam ucapan saya di parlimen pada 24 Julai 2018, saya telah membangkitkan keperluan untuk memastikan penyiasatan dan akauntabiliti dalam isu penipuan dan manipulasi pilihan raya, khasnya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Merujuk kepada laporan yang telah diterbitkan oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) baru-baru ini pada 13 Julai 2018, terdapat 5 faktor pra-pilihan raya (existing pre-election conditions) yang telah mengancam integriti sistem pilihan raya di Malaysia, iaitu: ketidakbebasan SPR, manipulasi persempadanan semula, manipulasi daftar pemilih, pembiayaan politik, dan akses kepada media.

Semasa PRU14 pula, Bersih telah menerima dan mengesahkan 1,003 aduan kesalahan pilihan raya. Ini termasuklah kejadian beli undi, pemberian hadiah, penyalahgunaan aset kerajaan, dan masalah dalam proses undi awal dan undi pos yang berleluasa.

Perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Bersih boleh disahkan oleh pengalaman saya sendiri di Melaka. Sebagai contoh, semasa PRU14 yang lepas, saya telah menerima aduan daripada seorang pengundi di Melaka, yang pernah mengundi pada PRU12 dan PRU13, tetapi namanya telah dikeluarkan. Apabila disemak dengan SPR, kami diberitahu bahawa beliau telah “meninggal dunia” walaupun beliau sedang berdiri di sebelah saya.

Laporan oleh Bersih mendapati bahawa pada hari mengundi PRU14, terdapat kes-kes di mana pengundi tidak dibenarkan mengundi kerana terdapat orang lain yang telah menyamar dan mengundi bagi pihak mereka. Terdapat juga kejadian-kejadian di mana Ketua Tempat Mengundi enggan memberi salinan Borang 14 kepada PACA atau enggan menandatangan Borang 14.

Walaupun terdapat pelbagai manipulasi dan penipuan pilihan raya, kuasa dan semangat rakyat telah berjaya mengharunginya. Peratusan keluar mengundi yang tinggi, iaitu, 82.32%, dan kehadiran PACA yang menjalankan tugas dengan teliti, telah mengalahkan penipuan dan memastikan Pakatan Harapan menjadi kerajaan.

Akan tetapi, saya berpendapat bahawa terdapat keperluan untuk memastikan penyiasatan dan akauntabiliti dalam isu penipuan dan manipulasi pilihan raya. Oleh itu, saya mencadangkan supaya satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat salahlaku-salahlaku supaya tindakan boleh diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab.

Selain itu, saya juga telah menggesa supaya enam ahli-ahli pesuruhjaya yang masih berada di SPR untuk letak jawatan dengan serta merta, supaya penyiasatan dan reformasi sistem pilihan raya boleh dijalankan dengan lancar.

Untuk tujuan itu, saya juga telah mengemukakan suatu usul “hilang percaya” (motion of no confidence) terhadap keenam-enam anggota SPR kepada Dewan Rakyat, seperti berikut:

“Bahawa Dewan ini menyatakan kehilangan kepercayaan dan ketidakyakinan terhadap Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), iaitu Tan Sri Othman Bin Haji Mahmood, dan lima anggota SPR yang lain, iaitu Dato’ Md Yusop Bin Haji Mansor, Datuk Haji Abdul Aziz Bin Khalidin, Haji Sulaiman Bin Haji Narawi, Dato’ Bala Singam A/L Karupiah, dan Dato’ Leo Chong Cheong, dan oleh itu menuntut agar mereka meletak jawatan sebagai anggota SPR dengan serta-merta”

Saya berharap Tuan Yang di-Pertua Dewan Rakyat akan memberi masa dan ruang untuk usul ini dibahaskan dan diundi dalam sesi mesyuarat parlimen yang sedang berlangsung ini, kerana ia berkait dengan kepentingan awam dan integrity sistem pilihan raya di Malaysia.

Selepas perletakan jawatan oleh anggota-anggota SPR ini, ahli-ahli baru yang bebas perlu dilantik untuk mereformasikan sistem pilihan raya. Antara perkara utama yang perlu direformasikan dengan segera ialah: membersihkan daftar pemilih, melaksanakan pendaftaran automatik, dan mewujudkan undang-undang pembiayaan politik.

Khoo Poay Tiong
Ahli Parlimen Kota Melaka
Kenyataan media oleh Khoo Poay Tiong di Melaka pada hari Rabu, 25 Julai 2018