Enam anggota SPR yang masih kekal harus berasa malu kerana berkemungkinan melakar sejarah dihadap ke Tribunal kerana salah laku

Saya merujuk kepada laporan Malaysiakini bertarikh 17 Oktober 2018 mengenai penubuhan sebuah Tribunal bagi menyiasat salah laku Suruhanjaya Pilihan Raya. Seperti yang diperuntukkan oleh Perkara 114 (3) dan Perkara 125 (3) Perlembagaan Persekutuan, Tribunal ini adalah satu langkah yang perlu diambil untuk mengesyorkan penyingkiran atau dengan kata lain pemecatan anggota SPR.

Saya menyeru Kerajaan dan Menteri yang bertanggungjawab untuk mengesahkan penubuhan Tribunal ini. Demi ketelusan dan kepentingan awam, saya akan mengemukakan soalan di Dewan Rakyat di bawah Masa Pertanyaan Menteri pada minggu hadapan untuk mendapatkan penjelasan mengenai isu ini daripada pihak kerajaan.

Saya mengalu-alukan dan menyokong sepenuhnya penubuhan Tribunal tersebut untuk memecat enam anggota SPR yang masih kekal.

Seperti yang diketahui, SPR bertanggungjawab memanipulasi persempadanan semula, daftar pemilih, dan melambatkan pengeluaran Borang 14 semasa pilihan raya. Walaupun bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Hashim Abdullah, telah meletak jawatan, enam orang lagi anggota SPR yang masih kekal juga terlibat secara kolektif dan bertanggungjawab terhadap penyelewengan pilihan raya. Enam anggota SPR ini harus bertanggungjawab terhadap salah laku mereka.

Buat pertama kalinya di dalam sejarah negara ini, sebuah Tribunal bakal ditubuhkan untuk menyingkirkan anggota SPR. Enam anggota SPR tersebut adalah Tan Sri Othman Bin Haji Mahmood, Dato ‘Md Yusop Bin Haji Mansor, Datuk Haji Abdul Aziz Bin Khalidin, Haji Sulaiman Bin Haji Narawi, Dato’ Bala Singam A / L Karupiah, dan Dato ‘Leo Chong Cheong. Enam anggota SPR ini sepatutnya berasa malu kerana bakal melakar sejarah sebagai anggota SPR yang pertama dihadap ke Tribunal.

Saya juga ingin mengingatkan dan menarik perhatian terhadap usul undi tidak percaya terhadap enam anggota SPR yang telah saya usulkan di Parlimen. Saya menggesa Speaker dan Menteri untuk mengambil usul itu supaya ia dapat dipercepatkan dalam urusan Dewan Rakyat. Anggota Parlimen harus dibenarkan untuk berbahas mengenai isu penting ini, dan untuk mengundi sama ada enam anggota SPR masih memegang keyakinan rakyat.

Seharusnya enam anggota SPR ini meletakkan jawatan serta-merta dan tidak perlu menunggu proses tribunal atau undi tidak percaya di Parlimen. Mereka harus meletakkan jawatan dengan serta-merta bagi mengelakkan pembaziran masa dan dana rakyat kerana proses Parlimen mahupun Tribunal.

Sudah jelas bahawa mereka telah kehilangan keyakinan rakyat. Seperti yang ditunjukkan oleh ribuan rakyat Malaysia yang telah membantah mereka melalui perhimpunan Bersih sepanjang 10 tahun yang lalu serta peratusan keluar mengundi amat tinggi yang menzahirkan penentangan terhadap penipuan pilihan raya.

Saya mengalu-alu pelantikan Pengerusi SPR yang baru, Azhar Harun. Sungguhpun demikian agenda reformasi pelihanraya hanya akan berjalan lancar dengan peletakan jawatan atau pemecatan enam anggota SPR yang lama. Peletakan jawatan atau proses pemecatan ini harus dilakukan segera tanpa sebarang penangguhan.

Khoo Poay Tiong
Ahli Parlimen Kota Melaka
Kenyataan media oleh Khoo Poay Tiong di Melaka pada hari Khamis, 18 Oktober 2018