BM 中文 English

Ucapan Perbahasan Belanjawn Selangor 2019 peringkat dasar oleh ADUN Dusun Tua, Edry Faizal di DUN Selangor pada hari Selasa, 27 November 2018

Terima kasih yang berhormat Tuan Speaker kerana memberikan Dusun Tua peluang mengambil bahagian membahas ucapan belanjawan Selangor 2019 yang telah dibentangkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar.

erima kasih diucapkan kepada YAB Dato’ Menteri Besar kerana berjaya membentangkan belanjawan yang seimbang. Pada masa yang sama masih meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan. Malah saya berpandangan kepentingan rakyat itu dijaga dengan lebih efisien apabila beberapa penjajaran yang dilakukan memberikan lebih tumpuan kepada segmen masyarakat yang benar-benar memerlukan.

Dusun Tua juga ingin merakamkan penghargaan pengumuman pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir Fasa 1 Sungai Hulu Langat pada 2019. Sememangnya ini amat-amat didambakan, dinantikan dan diperlukan. Dengan harapan dapat meminimakan benca banjir di kawasan Hulu Langat dan sekitarnya. Dan amatlah penting untuk RTB Fasa 1 ini berjalan terlebih dahulu sebelum RTB Fasa 2 boleh menyusul bagi menyelesaikan permasalahan jangka masa panjang banjir di kawasan sekitar.

GUGUSAN PENDIDIKAN

Dusun Tua menyambut baik rancangan klusterisasi atau pembangunan gugusan dalam rangka mempertingkatkan kemampuan ekonomi dan sosial negeri. Pemilihan tiga daerah iaitu Gombak, Serdang dan Hulu Langat sebagai Gugusan Pendidikan tentu sekali terkait dengan kewujudan institusi-intitusi pendidikaan tinggi ternama seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) di daerah-daerah berkenaan.

Walau bagaimanapun, saya ingin mencadangkan agar institusi pendidikan yang diberikan tumpuan dalam Gugusan Pendidikan tidak dihadkan hanya pada insitusi pendidikan tinggi. Saya menyeru agar institusi tahfiz juga diberi perhatian yang sama dalam pembangunan Gugusan Pendidikan. Daripada 65 buah Maahad Tahfiz di Selangor yang disenaraikan JAKIM, 23 daripadanya berada di dalam daerah Hulu Langat. Daripada 17,013 orang pelajar tahfiz seluruh selangor yang menuntut di Maahad yang berdaftar dengan PERSATUAN INSTITUSI TAHFIZ AL-QURAN NEGERI SELANGOR (PITAS), 5509 orang datang dari Daerah Hulu Langat dan Gombak.

Itu memadai untuk memberikan gambaran betapa institusi tahfiz merupakan institusi penting dalam Gugusan Pendidikan yang disebutkan YAB Dato’ Menteri Besar. Maka sewajarnya perhatian diberikan kepada institusi-institusi tahfiz ini, yang amat memerlukan sokongan dan dukungan dalam beberapa perkara, yang saya yakin kerajaan negeri boleh berperanan mempermudahkan urusan mereka. Atas semangat yassir wa la tu’assir, mempermudah dan jangan mempersulitkan.

Antara bantuan yang boleh dihulurkan negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan adalah dengan melaksanakan pemutihan, yakni dengan membantu dan memudahcara, proses permohonan bagi mendapatkan Perakuan Penyiapan dan Pematuhan (CCC) bagi bangunan-bangunan tahfiz di Daerah Hulu Langat dan Gombak. Ini bukan saja untuk memastikan pusat-pusat pengajian tahfiz yang ada terjamin aspek keselamatannya, tetapi juga memperkukuhkan imej institusi pengajian tahfiz agar menjadi sebuah institusi yang teratur dan disegani.

Diharapkan juga negeri boleh mempertimbangkan untuk menggunakan sebahagian daripada peruntukan RM87.64 juta buat Gugusan Pendidikan bagi tujuan mempertingkatkan infrasturktur pusat pengajian tahfiz terpilih, demi mengembangkan lagi potensi mereka, bersesuaian dengan matlamat usaha klusterisasi yang dijalankan.

Meskipun Daerah Hulu Langat telah ditetapkan sebagai Gugusan Pendidikan bukannya Eko-Pelancongan. Beberapa kawasan di sekitar Hulu Langat dan Semenyih sudah sedia dikenali sebagai tempat-tempat tumpuan pelancongan. Oleh itu bagi menggembleng kedua-dua potensi yang dimiliki oleh kawasan-kawasan ini, saya mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk turut mencari kaedah meningkatkan Pelancongan Pendidikan (Edu-Tourism) di kawasan-kawasan berkenaan.

Saya amat yakin tidak kira sama ada kita menggunakan model-model pelancongan pendidikan sedia ada atau mencuba ide-ide baru, usaha ini akan menyumbang pada merancakkan ekonomi setempat khususnya, dan Selangor amnya. Selain menaikkan imej Selangor di mata dunia.

PENJAJARAN SEMULA INISIATIF PEDULI RAKYAT

Atas semangat solidariti dan bukannya, dengan izin, charity, saya menyambut baik tumpuan lebih yang ingin diberikan kepada golongan B40 melalui penjajaran inisiatif peduli rakyat daripada pemberian kepada pemberdayaan. Namun elok juga kita memastikan kita jelas siapakah golongan B40 yang dimaksudkan ini supaya dasar-dasar dan program-program yang dirancang betul-betul memberikan kesan baik kepada golongan sasaran.

Mengikut sumber Jabatan Statistik Malaysia, golongan B40 di Selangor adalah mereka yang berpendapatan seisi rumah di bawah RM6,100. Bukannya di bawah RM4,360 seperti mana pentakrifan B40 buat seluruh Malaysia. Wujudnya perbezaan ini tentulah mengambil kira perbezaan kos sara hidup di kawasan lembah Klang dengan bahagian lain Malaysia.

Dengan itu, terdapat keperluan untuk memperincikan cara mengenalpasti, sama ada golongan-golongan yang menerima manfaat-manfaat IPR, betul-betul tergolong dalam kelompok B40 yang menjadi sasaran. Justeru, terdapat keperluan untuk dinilai kembali kaedah-kaedah yang telah digunapakai dalam pendaftaran program-program IPR Selangor. Kita juga harus memikirkan cara yang lebih telus dan berkesan dalam mengenalpasti latar belakang ekonomi pemohon. Dokumen seperti penyata gaji dan penyata KWSP tidaklah memadai untuk memberikan maklumat sebenar pendapatan individu atau pendapatan seisi rumah pemohon.

Dusun Tua juga menyambut baik berita penjimatan RM105.2 Juta daripada penjajaran Program Air Percuma yang akan dikembalikan kepada rakyat melalui program pembangunan dan program mensejahterakan rakyat. Saya ingin mencadangkan agar penjimatan ini digunakan untuk melebarkan lagi jumlah penerima Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) selain mendanai program-program pemberdayaan buat penerima-penerima KISS. Melalui cara ini, penjajaran semula Program Air Percuma benar-benar memberikan manfaat kepada golongan B40 secara menyeluruh.

Dan sudah tentu saranan ini seiring dengan cadangan agar menilai kembali penerima-penerima KISS sedia ada, bagi memastikan penerima itu benar-benar layak atau apakah mereka masih lagi layak. Kerajaan negeri perlu melakukan penilaian semula kepada penerima-penerima sedia ada, selain menambah baik prosedur pendaftaran seperti yang telah saya sebutkan, untuk memastikan dengan tepat pendapatan seisi rumah pemohon. Sekaligus memastikan program-program negeri sampai pada golongan sasaran.

MEMPERLUAS AGENDA PENCERAHAN

Saya percaya yang meletakkan Selangor lebih kehadapan berbanding negeri-negeri lain adalah kesedaran untuk tidak mengkesampingkan agenda pencerahan dalam usaha membangun negeri. Syabas diucapkan kepada kerajaan negeri Selangor kerana telah menterjemahkan sebanyak 22 buah buku-buku penting dari pelbagai bahasa ke Bahasa Melayu. Manakala 15 buah buku pula telah berjaya diaudiokan.

Akan tetapi, adalah amat malang sekiranya hasil-hasil karya yang baik ini tidak sepenuhnya dapat diakses oleh masyarakat Selangor. Harus diwujudkan program-program bagi mempromosikan produk-produk pencerahan yang dihasilkan kerajaan negeri. Buku-buku yang telah diterjemah, buku-buku audio, hendaklah diletakkan di perpustakaan-perpustakaan daerah dan sekolah-sekolah di sekitar Selangor. Diiringi dengan program dan aktiviti yang bersesuaian berkaitan dengan karya-karya berkenaan.

Dengan itu, karya-karya tadi tidaklah sekadar menjadi objek mati, sebaliknya dihidupkan dan dibumikan ke peringkat akar umbi masyarakat. Sekaligus manfaat dan pencerahan itu benar-benar sampai kepada rakyat Selangor.

PERUMAHAN

Antara yang menarik perhatian ramai dalam pembentangan belanjawan Selangor kali ini adalah pengumuman pembinaan Rumah Idaman Rakyat Selangor, yang mensasarkan pembinaan sebanyak 30 ribu buah rumah dalam tempoh masa 5 tahun. Rumah-rumah ini akan dibina di atas tanah milik MBI, oleh itu saya tertarik untuk tahu setakat ini berapakah jumlah tanah yang dimiliki MBI dan berapa pula modal yang perlu MBI keluarkan untuk melaksanakan projek ini?

Bagi membantu ide bernas Rumah Idaman Rakyat Selangor, saya mencadangkan agar diwujudkan satu Tabung Perumahan. Kita telah banyak mendengar rungutan para pemaju yang terlibat dalam projek Rumah Selangorku, apabila mereka terpaksa membina kuota rumah mampu milik bagi projek-projek perumahan yang mereka bangunkan. Rungutan-rungutan itu bukanlah langsung tidak berasas. Oleh itu, satu jalan keluar yang boleh ditawarkan kepada pemaju ialah, pemaju boleh untuk tidak membina kuota perumahan mampu milik akan tetapi sebagai gantinya membuat bayaran pada kadar tertentu kepada negeri.

Bayaran berkenaan kemudiannya dimasukkan ke dalam Tabung Perumahan dan digunakan untuk membina lebih banyak rumah-rumah mampu milik di bawah projek Rumah Idaman Rakyat Selangor. Pemaju secara tidak langsung telah melaksanakan tangungjawab sosial mereka tanpa menimbulkan kesulitan kepada mereka dalam membangunkan perumahan mengikut kesesuaian perancangan.

PERINTIS REVOLUSI INDUSTRI 4.0

Perkara terakhir yang ingin saya sentuh dalam perbahasan saya adalah berkenaan usaha kerajaan negeri dalam menghadapi Revolusi Industri 4.0 (RI4.0). Apabila berbicara tentang RI4.0, kita tidak dapat lari daripada membincangkan tentang automasi, Internet of Things (IoT), cloud computing dan lain-lain lagi. Di serata pelusuk dunia pelbagai wacana sedang berlangsung dalam mempersiapkan negara dan negeri masing-masing untuk menghadapi revolusi industri ini. Menurut laporan World Economic Forum, dianggarkan 65% kanak-kanak yang menduduki pendidikan peringkat rendah sekarang, di masa akan datang bakal melakukan kerja yang masih belum lagi tercipta pada masa ini.

Namun, tidaklah masa depan itu samar-samar dan mendung. National IoT Strategic Roadmap, menyatakan potensi ekonomi IoT untuk Malaysia adalah penciptaan pendapatan negara kasar (GNI) sebanyak RM9.5 bilion menjelang tahun 2020. Serta menjangkakan pertumbuhan eksponen melangkaui tahun 2020 dan bakal mencecah RM42.5 bilion. Selangor sebagai negeri yang menjadi peneraju dalam banyak perkara seharusnya memainkan peranan pelopor dalam persiapan menghadapi Revolusi Industri 4.0.

Hanya melalui pemahaman yang baik tentang bagaimana segalanya berfungsi dan ‘bahasa-bahasa’ yang digunakan oleh teknologi-teknologi mendatang, barulah kita dapat melahirkan masyarakat yang mampu menghadapi gelombang RI4.0. Malah jika dilakukan dengan baik, kita mungkin akan melahirkan lebih ramai lagi arkitek bagi dunia IoT, Big Data dan lain-lain.

Justeru, saya mencadangkan agar Selangor merintis jalan ke arah pendidikan coding di peringkat akar umbi dan pada usia seawal mungkin. Melentur buluh biar dari rebungnya, belajar coding biar pada usia mudanya. Negeri boleh mewujudkan satu pusat khusus untuk mendedahkan kanak-kanak kepada ilmu coding dan pemprograman.

Pusat-pusat ini boleh saja menggunakan aset-aset sedia ada seperti Perpustakaan Negeri, Perpustakaan Daerah atau dewan-dewan komuniti. Bermula dengan pendidikan coding yang mudah-mudah buat kanak-kanak di Selangor, ia mempunyai potensi untuk berkembang menjadi hub komuniti RI4.0 yang menggerakkan projek-projek kemasyarakatan menggunakan IoT dan perkongsian data.

Yang berhormat tuan Speaker, izinkan saya sudahi perbahasan saya dengan dua rangkap pantun:

Lepas paya berbukit-bukit
Nampak buah pohon cemperai
Hendak kaya berdikit-dikit
Hendak tuah bertabur urai

Panji berkibar menunjuk jejak
Tersemat tombak lambang berdaya
Layarnya lebar nakhoda bijak
Membelah ombak tiada bahaya

Yang berhormat Speaker, saya mohon menyokong Belanjawan Selangor 2019.

Edry Faizal Eddy Yusof
ADUN DUSUN TUA
Ucapan Perbahasan Belanjawn Selangor 2019 peringkat dasar oleh Edry Faizal Eddy Yusof di DUN Selangor pada hari Selasa, 27 November 2018