BM 中文 English

MCA dan UMNO-PAS bukan pendesak demokratik

Pemuda MCA dalam perhimpunan agung mereka hari ini cuba menghidupkan sentimen perkauman dalam kalangan masyarakat Cina. Mereka menyatakan bahawa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng enggan mengaku dirinya berketurunan Cina dan cuba menggadaikan kepentingan kaum Cina. Terdapat beberapa kenyataan oleh MCA terhadap DAP, termasuk kononnya menjual kepentingan orang Cina dan menjadi orang suruhan Tun Dr Mahathir Mohammad serta orang Melayu.

Pada masa yang sama, UMNO dan PAS sedang rancak melaksanakan kempen perkauman untuk menyerang pemimpin Melayu Pakatan Harapan kerana mengikut telunjuk Lim Kit Siang dan DAP, sehingga membolehkan DAP menentukan dasar kerajaan, bahkan terdapat pemimpin mereka yang menyatakan beliau “merindui” rusuhan 13 Mei.

Adalah amat mengecewakan apabila MCA dan UMNO-PAS meniup api perkauman kepada komuniti masing-masing untuk menentang kerajaan Pakatan Harapan dan menimbulkan rasa sangsi antara masyarakat.

Jelas sekali, ini bukan strategi untuk memenangi tampuk pemerintahan melalui pilihan raya bagi tempoh lima tahun akan datang. Strategi ini bertujuan memburukkan kerajaan Pakatan dengan menimbulkan kekacauan bagi menyukarkan urus tadbir sehingga menyebabkan kerajaan tumbang sebelum pilihan raya umum akan datang.

Suka saya ingatkan MCA dan gabungan UMNO-PAS bahawa pakatan pembangkang dari tahun 1999 iaitu Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan, kesemuanya bersatu dalam idea mengalahkan Barisan Nasional melalui pilihan raya yang demokratik.

Dalam usaha memenangi pemerintahan melalui pilihan raya, DAP serta parti yang lain perlu bekerjasama dalam sebuah pakatan pelbagai etnik untuk meyakinkan ramai pengundi merentasi etnik.

Semasa perbahasan saya dengan Dr. Wee Ka Siong di Astro pada bulan Ogos, sempat saya bergurau dengan membuat andaian sekiranya saya perancang strategi MCA, Khairy Jamaluddin akan saya lantik menjadi presiden MCA dan membentuk parti baru pelbagai etnik yang disertai oleh Melayu moderat daripada UMNO dan PAS, bagi mencabar Pakatan Harapan dari segi dasar dan bukan isu perkauman.

Sebenarnya, saya tidak bergurau. Kita memerlukan pembangkang baharu yang tidak memainkan isu perkauman hingga menimbulkan kemarahan seluruh negara, tetapi mencabar kerajaan dari segi dasar. Memandangkan UMNO-PAS masih bergantung kepada Najib Razak dan pemimpin-pemimpin lain yang menjadi punca kekalahan UMNO-Barisan Nasional pada PRU 14, demi mendapatkan semak-imbang dalam demokrasi Malaysia yang masih baru, harus ada sebuah parti pembangkang pelbagai etnik yang bersedia menjadi pendesak yang demokratik.

MCA dan gabungan UMNO- PAS bukan pendesak masa hadapan. Mereka merupakan sebuah parti yang mendapat kelebihan daripada ketakutan dan kebimbangan pelbagai komuniti. Mereka menyemai rasa tidak percaya, demi mendapatkan hasil melalui perpecahan.

Saya percaya rakyat Malaysia lebih dewasa berbanding MCA dan gabungan UMNO-PAS yang mendakwa mereka lebih matang. Jika tidak, perubahan 9 Mei tidak akan berlaku. Dalam demokrasi baru, kerajaan Pakatan Harapan perlu bersiap sedia sekiranya disingkirkan satu hari nanti. Tetapi, kita perlu pastikan, sekiranya kerajaan Pakatan Harapan ditukar, maka ia tidak digantikan dengan pendesak lama yang bersifat perkauman dan tidak demokratik, seperti MCA dan gabungan UMNO-PAS.

PENGARAH PENDIDIKAN POLITIK KEBANGSAAN DAP
Ucapan oleh Liew Chin Tong pada perasmian Pusat Khidmat DAP, Ayer Keroh, Melaka pada hari Sabtu, 1 Disember 2018