BM 中文 English

Apa yang sudah terjadi dengan peranan lantikan sendiri dan tawaran Hishammuddin untuk membawa pulang Jho Low ke Malaysia bagi dihadapkan ke “muka pengadilan”?

Semalam, ahli peniagaan dalam pelarian yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, didakwa sekali lagi secara in absentia (tanpa ketidakhadiran tertuduh) dengan tujuh pertuduhan membabitkan skandal 1MDB, lima pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Amla) membabitkan dakwaan menerima AS$1.03 bilion (RM4.13 bilion) daripada 1MDB menerusi syarikatnya, Good Star Ltd dan berdepan dua pertuduhan berasingan bersama Tan Kim Loong mengikut akta yang sama membabitkan AS$1.2 juta (RM5.24 juta).

Dalam satu kenyataan menerusi syarikat perhubungan awam di Sydney selepas didakwa secara in absentia, Jho Low mendakwa dirinya tidak terlibat dalam skandal 1MDB dan menuduh bahawa dakwaan yang dikenakan terhadapnya itu adalah untuk “mencipta sebuah lagi rasa selamat palsu kerana kerugian politik yang dibawa rejim Mahathir sendiri disebabkan kegagalannya dalam isu-isu semasa; mengabaikan kedaulatan undang-undang; dan salah tafsir Perlembagaan yang disengajakan”.

Jho Low, menerusi syarikat perhubungan awam Australia itu berkata: “Ia tidak lebih daripada kelangsungan perbicaraan oleh media dan tindak balas politik oleh rejim Mahathir.”

Jurucakap beliau berkata Low tetap dengan pendirian bahawa dirinya tidak bersalah, dan tidak akan tunduk terhadap mana-mana bidang kuasa yang menurutnya tidak mempunyai proses perundangan bebas dan kesalahan ditentukan lebih awal oleh politik, serta Low “tidak boleh mendapat perbicaraan adil di Malaysia, di mana rejim berulang kali membuktikan yang mereka tidak berminat (menghormati) kedaulatan undang-undang.”

Dua persoalan lantas terlintas di fikiran:

Pertama, apa yang sudah terjadi dengan peranan lantikan sendiri dan tawaran bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk membawa pulang Jho Low ke Malaysia bagi dihadapkan ke “muka pengadilan”.

Adakah ini bermakna bahawa Hishammuddin sudah mencuba tetapi gagal; atau beliau tidak mencuba langsung.

Rakyat Malaysia berhak tahu.

Kedua, Jho Low seolah-olah membuat kenyataan politik bagi pihak Najib dan blok pembangkang sekarang. Siapakah ahli politik yang selama ini menasihati Jho Low, sama ada secara langsung atau tidak langsung?

Oleh kerana itu, rakyat Malaysia mahu mengetahui sama ada Najib, Menteri dalam Kabinet Najib, dan semua pemimpin serta Ahli Parlimen blok pembangkang sekarang, bersetuju dengan dakwaan Jho Low bahawa Malaysia “tidak mempunyai proses perundangan yang bebas dan kesalahan ditentukan lebih awal oleh politik”; dan bahawa Low “tidak boleh mendapat perbicaraan adil di Malaysia, di mana rejim berulang kali membuktikan yang mereka tidak berminat (menghormati) kedaulatan undang-undang”, serta Low bertindak bijak dan betul apabila tidak pulang ke Malaysia untuk dihadapkan ke “muka pengadilan”?

Jho Low mungkin sedang bersaing untuk mendapat tempat dalam Guinness Book of Records bagi kategori individu yang paling dikehendaki, kerana ketika ini beliau sedang diburu oleh sekurang-kurangnya 10 negara ekoran dikaitkan dengan skandal jenayah 1MDB dan dakwaan rasuah atau diperlukan untuk tujuan siasatan.

Negara-negara ini termasuk Malaysia (hanya selepas berlakunya peristiwa peralihan tampuk pemerintahan kerajaan yang bersejarah pada 9 Mei 2018), Singapura, Australia, Hong Kong, Indonesia, Luxembourg, Seychelles, United Kingdom, Switzerland, Emiriah Arab Bersatu dan Amerika Syarikat.

Walaupun Jho Low bersedia untuk membelanjakan ratusan juta ringgit wang 1MDB untuk melobi dan merasuah pegawai AS bagi mengugurkan litigasi kleptokratik 1MDB terbesar yang mana telah difailkan oleh Jabatan Keadilan AS pada Julai 2016 – yang mana baru-baru ini didedahkan oleh DOJ di mahkamah AS – beliau bermatian-matian mengelak daripada menjejakkan kaki ke Amerika Syarikat sejak Julai 2016.

Sistem perundangan di negara manakah yang Jho Low yakin mampu memberikannya sebuah perbicaraan yang adil dan mudah untuk beliau menyerah diri bagi dihadapkan ke muka pengadilan?

AHLI PARLIMEN ISKANDAR PUTERI
Kenyataan media oleh Lim Kit Siang di Parlimen pada hari Rabu, 5 Disember 2018