BM 中文 English

Malaysia tidak harus meratifikasi ICERD sehingga majoriti kaum dan agama di negara ini menyokongnya dan memahami bahawa ia tidak mengancam kepelbagaian kaum, agama mahupun Perlembagaan Persekutuan tetapi merupakan langkah ke hadapan menyertai masyarakat dunia mempromosi hak asasi manusia

Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi telah mempersoal akidah Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah kerana mahu kerajaan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Diskriminasi Kaum, International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD).

Beliau antara pemimpin politik Melayu yang memberi amaran bahawa orang Melayu akan mengamuk sekiranya kerajaan Malaysia meratifikasi ICERD.

Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang pula berkata, adalah wajib bagi orang Islam menentang ICERD, manakala penganjur perhimpunan anti-ICERD Sabtu ini berkata bahawa perhimpunan tersebut tidak menyasarkan kaum-kaum lain, tetapi para pengkhianat negara.

Presiden PAS ini adalah mantan Timbalan Presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia. Tetapi saya tidak tahu kalau beliau pernah menggunakan platform itu untuk menggesa 55 negara Islam yang menjadi anggota OIC dan meratifikasi ICERD untuk menarik diri daripada konvensyen itu supaya 99% daripada 1.9 bilion umat Islam di dunia yang tinggal di 179 negara yang telah meratifikasi ICERD tidak menjadi pengkhianat agama.

Cadangan meratifikasi ICERD tidak berpunca daripada agenda rahsia untuk melemahkan Perlembagaan Persekutuan atau menyerang kedudukan orang Melayu, agama Islam dan Raja-raja Melayu.

Saya ingin memetik tulisan blog rakan saya, Tamrin Tun Ghafar, bertajuk ‘ICERD atau ICURI’:

“19. Perbezaan begitu ketara sekali apabila Kerajaan PH yang dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri tidak teragak – agak membenarkan rakyat berhimpun pada 08/12/18 dengan syarat mereka mesti menghormati Perlembagaan dan undang – undang.

“20. Tidakkah Zahid selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN yang pernah melakukan apa saja yang boleh bagi menggagalkan segala apa yang hendak dilakukan oleh pembangkang ketika itu sedar dan merasa malu dengan kelulusan yang diberi bagi memudahkan Perhimpunan pada 8hb Disember nanti?

“21. Perhimpunan kali ini agak unik sedikit kerana buat pertama kalinya UMNO dan PAS akan bersama seperti pasangan pengantin tua yang hampir senja.

“22. Bagi menjaga air muka masing-masing, Zahid dan Hadi terpaksa meneruskan Perhimpunan pada 8hb Disember ini bagi membantah ICERD sedangkan Kerajaan sendiri telah mengumumkan secara rasmi bahawa kerajaan TIDAK AKAN menandatangi deklarasi tersebut.

“23. Oleh kerana berbagai publisiti telah dibuat begitu juga ribuan wang ringgit telah dibelanjakan maka Perhimpunan ini suka tak suka terpaksa diteruskan dengan alasan – alasan yang remeh.

“24. Saya dan ramai lagi akan sama – sama turun padang jika sekiranya Perhimpunan itu diadakan bagi menuntut dari Najib dan keluarganya memulangkan semula duit rakyat yang disamun mereka melalui 1MDB.

“25. Begitu juga beratus juta ringgit lesap daripada Tabung Haji yang mana 7 juta orang Islam terutama makcik dan pakcik di kampung menabung di Lembaga itu bagi memudahkan mereka ke Mekah.

“26. Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan Perhimpunan itu akan diadakan bagi melakukan doa dan solat kesyukuran kerana Kerajaan tidak akan menandatangani ICERD.

“27. Hadi pula dengan alasan hendak mengajar Menteri – Menteri yang tidak menghormati Perdana Menteri.

“28. Zahid dan beberapa ahli UMNO pula mahu memprotes ICERD.

“29. Dengan berbagai alasan diberikan mereka, ini semua membuktikan mereka ini bodoh sombong yang tak boleh diajar.

“30. Kan lebih bermakna jika mereka gunakan Perhimpunan ini menuntut Najib , Rosmah dan Jho Low memulangkan kembali harta rakyat yang mereka rompak dari senyap seribu bahasa dan berpeluk tubuh tidak bersuara.

“31. Yang akan berkumandang di udara ialah laungan ‘ Takbir’ dan ‘Hidup Najib’ bukannya ‘Najib , pulangkan duit kami’.”

Rakyat Malaysia telah menjadi mangsa demikian banyak mitos dan salah faham berkenaan ICERD.

Pertamanya, ICERD serasi bukan sahaja dengan Islam bahkan demikian banyak agama dan ajaran. Ramai yang percaya bahawa meratifikasi ICERD ertinya merendahkan martabat Islam.

Ini sebabnya kenapa kebanyakan negara majoriti umat Islam di dunia, termasuk negara anggota OIC seperti Jordan, Palestin dan bahkan Arab Saudi telah meratifikasi ICERD.

Kedua, ICERD turut serasi dengan Perlembagaan Persekutuan. Ramai yang salah faham bahawa sekiranya Malaysia meratifikasi ICERD, Perkara 153 akan dimansuhkan apabila objektifnya telah dicapai. Malah sebenarnya, Perkara 153 konsisten dengan dengan tujuan ICERD, memandangkan Perkara 1(4) dan 2(2) konvensyen itu bertujuan melaksanakan kesetaraan yang berkesan atau substantif, dan bukan sekadar kesetaraan yang bersifat rasmi dan luaran sahaja.

Ketiga, ICERD tidak menjejaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong dan mengakibatkatkan terhapusnya sistem Raja-raja Melayu.

Terdapat 38 negara dengan sistem monarki dan 36 daripada telah meratifikasi ICERD termasuk United Kingdom pada 1969, Norway pada 1970, Sweden pada 1971, Denmark 1971, Belanda 1971, Jordan 1974, Belgium 1975, Jepun 1995 dan Arab Saudi pada tahun 1997.

Langsung tidak wujud indikasi bahawa meratifikasi ICERD oleh 36 negara ini telah menjejaskan sistem monarki sehingga ia dihapuskan.

Seperti ucapan saya di majlis makan malam Persatuan Jiansu Malaysia di Suchou, China sehari selepas Kabinet memutuskan untuk tidak meratifikasi ICERD, saya menyokong keputusan Kabinet, meski ia satu langkah ke belakang dalam usaha membina Malaysia Baharu.

Tiada rakyat Malaysia yang mahu meratifikasi ICERD jika harganya ialah adalah suatu lagi rusuhan kaum seperti 13 Mei, memandangkan wujud anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab mahu mencetuskan rasa tidak percaya sesama kaum dan agama, selain rasa saling membenci bagi menimbulkan keadaan yang boleh menyebabkan tercetusnya satu lagi rusuhan kaum ala 13 Mei di Malaysia, malah bercakap tentang mengamuknya orang Melayu dan kononnya ‘rindu dengan 13 Mei’.

Malaysia tidak harus meratifikasi ICERD sehingga majoriti kaum dan agama di negara ini menyokongnya dan memahami bahawa ia tidak mengancam kepelbagaian kaum, agama mahupun Perlembagaan Persekutuan tetapi merupakan langkah ke hadapan menyertai masyarakat dunia mempromosi hak asasi manusia.

Isu ICERD adalah amaran untuk seluruh rakyat Malaysia bahawa wawasan ‘Malaysia Baharu’ yang menjadi pencetus sejarah keputusan pilihanraya 9 Mei 2018 yang menyaksikan perubahan kuasa demokratik dan aman buat pertama kali dalam tempoh 60 tahun dan memberi harapan kepada dunia bahawa demokrasi sebagai suatu sistem kerajaan untuk mencapai kebebasan, keadilan dan urustadbir yang baik untuk masyarakat dunia, masih boleh dikalahkan sekiranya kita membiarkan oportunis politik dan para ‘desperado’ mengeksploitasi politik kebohongan, kebencian, kaum dan agama sehingga sanggup melancarkan konflik kaum dan agama.

Teks ucapan Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang di Parlimen yang disediakan bagi membahas usul penting Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong keputusan Kabinet untuk tidak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Diskriminasi Kaum (ICERD) pada hari Khamis, 6 Disember 2018; namun tidak dibacakan setelah usul Anwar tidak dibenarkan oleh Speaker. Teks disebarkan sebagai kenyataan media.

AHLI PARLIMEN ISKANDAR PUTERI
Kenyataan media oleh Lim Kit Siang di Parlimen pada hari Khamis, 6 Disember 2018