Pakatan Harapan perlu menggunakan formula yang telah berjaya menumbangkan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 bagi melawan serangan terbaharu UMNO-PAS yang memainkan politik pembohongan, kebencian, ketakutan, perkauman dan keagamaan

Pakatan Harapan perlu menggunakan formula yang telah berjaya menumbangkan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 bagi melawan serangan terbaharu UMNO-PAS yang memainkan politik pembohongan, kebencian, ketakutan, perkauman dan keagamaan.

Jika Pakatan Harapan dapat menewaskan politik pembohongan, kebencian, ketakutan, perkauman dan keagamaan yang dimainkan Barisan Nasional dan PAS, sekalipun dilakukan secara berasingan, pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu, tidak ada sebab mengapa ia tidak boleh sekali lagi digunakan untuk menyerang balas kempen pembohongan, kebencian, ketakutan, perkauman dan keagamaan yang dibawa UMNO-PAS.

Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, UMNO mendabik dada bahawa mereka akan memperolehi kemenangan ekoran yakin dengan kempen pembohongan, berita palsu, kebencian dan ketakutan yang dimainkan mereka antaranya seperti berikut:

  • bahawa DAP kononnya merupakan parti dominan dalam Pakatan Harapan, dan bahawa tiga parti lain dalam Pakatan Harapan, iaitu PKR, Amanah dan Bersatu hanyalah “budak suruhan” DAP;
  • bahawa kononnya pemimpin Melayu dalam Pakatan Harapan iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Azmin Ali dan Mohamad Sabu kononnya hanyalah boneka pemimpin Cina DAP;
  • bahawa kononnya saya akan dilantik menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Harapan menang Pilihan Raya Umum ke-14;
  • bahawa kononnya orang Melayu akan kehilangan kuasa politik, dan akan pupus, merempat di negara sendiri di bawah kerajaan Pakatan Harapan;
  • bahawa kononnya saya adalah musuh kepada orang Melayu dan Islam, malah dituduh mengetuai demonstrasi jalanan anti-Melayu di Kuala Lumpur yang mencetuskan rusuhan 13 Mei 1969 di ibu kota sedangkan saya tidak pernah berada di Kuala Lumpur pada waktu itu; dan
  • berulang kali, saya dituduh sebagai seorang komunis (malah difitnah kononnya mempunyai pertalian darah dengan Setiausaha Agung PKM Chin Peng), malah saya dituduh mahu menjadikan Malaysia sebagai negara kristian sedangkan saya bukan penganut kristian dan paling mengarut saya dituduh sebagai agen kuasa asing!

Namun pembohongan, fitnah dan berita palsu ini tidak mampu menahan kemaraan Pakatan Harapan dalam meraih sokongan satu pertiga pengundi Melayu bagi menumbangkan Barisan Nasional dan membetulkan semula 60 tahun dasar pembinaan negara.

Harapan untuk melihat sebuah Malaysia Baharu seperti yang termaktub dalam manifesto pilihan raya adalah kunci yang telah membawa Pakatan Harapan ke Putrajaya, bagi mentrasformasi Malaysia daripada negara kleptokrasi global kepada negara yang berintegriti; mengembalikan semula kedaulatan undang-undang; mengukuhkan demokrasi; mereformasi sistem pendidikan bagi menjadikan Malaysia sebuah negara bertaraf dunia; merapatkan jurang antara golongan miskin dan kaya serta menyatukan semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan budaya serta memanfaatkan aset kepelbagaian kaum, agama, dan budaya yang teradun di Malaysia bagi membina sebuah tamadun global baharu.

Sepanjang 10 bulan lalu, rakyat Malaysia sudah mula tertanya-tanya sama ada mereka telah meletakkan harapan palsu kepada Pakatan Harapan dalam membina sebuah Malaysia Baharu yang akan memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia, malah semua masyarakat dan kumpulan di Malaysia.

Jika dalam tempoh empat tahun akan datang, Pakatan Harapan menggunakan formula yang telah membawa kemenangan bersejarah dan keputusan 9 Mei 2018 bagi membina sebuah Malaysia Baharu dan tidak terkeluar daripada landasannya akibat daripada serangan bertali arus dalam bentuk pembohongan tidak berasas, kebencian dan ketakutan yang dimainkan UMNO dan PAS, sokongan popular untuk Malaysia Baharu akan meningkat.

Dengan kekuatan, ketekunan, dan komitmen untuk berlaku adil kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau wilayah sepanjang proses pembinaan sebuah Malaysia Baharu, tidak ada sebab mengapa Pakatan Harapan tidak mampu mendapat sokongan yang lebih besar daripada pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 nanti, termasuk meningkatkan lagi sokongan pengundi Melayu ke tahap majoriti.

AHLI PARLIMEN ISKANDAR PUTERI
Kenyataan media oleh Lim Kit Siang di Kuala Lumpur pada hari Khamis, 7 Mac 2019