UMNO-PAS/MCA-MIC: Dasar bumi hangus

“Perkahwinan” antara UMNO dan PAS harus dibaca sekali dengan penceraian UMNO dengan dua isteri sebelum ini – MCA dan MIC.

Tidak kisahlah jika perpecahan Barisan Nasional benar atau hanya drama, UMNO dan PAS telah menyerang Pakatan Harapan (PH) dari sayap Melayu manakala MCA dan MIC menyerang PH dari sayap bukan Melayu.

Serangan dalam konteks etnik ini membuktikan ‘dasar bumi hangus’ sedang giat digunakan. ‘Bumi hangus’ ialah dasar merujuk kepada strategi menghapuskan semuanya untuk menang dalam apa jua keadaan. Perbuatan kejam seperti ini sudah tentu akan menyebabkan rakyat terpaksa menanggung berat keperitan tersebut.

Sasaran mereka adalah untuk memastikan Malaysia sukar ditadbir oleh Pakatan Harapan kerana kerajaan yang dipilih oleh rakyat terpaksa berhadapan dengan serangan kemarahan etnik daripada kedua-dua pihak iaitu Melayu dan bukan Melayu.

Permintaan kedua-dua belah pihak sudah tentu akan bercanggah, seterusnya menyebabkan keadaan terus bertambah tegang. Objektif ‘serang sayap’ ini adalah untuk membuatkan Melayu dan bukan Melayu rasa lemah dan serba kekurangan. Semuanya akan dibentangkan sebagai permasalahan etnik binari.

Selain itu, serangan ini bertujuan untuk memecahkan gabungan pelbagai etnik Pakatan Harapan dari dalam, kerana ianya sukar bagi golongan politik beraliran sederhana untuk bertahan akibat tuntutan yang bercanggah daripada kedua-dua pihak tersebut.

Perkahwinan UMNO dan PAS telah membenarkan kewujudan pakatan perkauman baharu untuk mencorakkan keburukan kepada rakyat Malaysia yang bukan Melayu dan bukan Islam, dan mereka tidak perlu berpura-pura untuk menjadi parti moderate atau sederhana sejak MCA dan MIC bukan sekutu rasmi mereka. Pada masa yang sama, MCA dan MIC juga bebas untuk mengapi-apikan politik perkauman.

Dalam keadaan ini, Pakatan Harapan tidak akan berjaya menonjolkan imej yang lebih “Melayu” daripada UMNO, lebih “Islam” daripada PAS, lebih “Cina” daripada MCA dan lebih “India” daripada MIC.

Tetapi, masih ada harapan cerah dalam kegelapan politik ini. Malaysia mempunyai potensi besar jika rakyatnya bersatu demi masa hadapan semua.

Bagi memastikan usaha Malaysia Baharu ini berjaya, Pakatan Harapan perlu bangkit sebagai gerakan rakyat. Masyarakat yang telah keluar mengundi pada 9 Mei 2018, tidak harus berpeluk tubuh sekarang. Hakikatnya, perjuangan kita masih belum selesai.

Rakyat Malaysia yang masih yakin bahawa Malaysia tidak seharusnya dipecahkan berdasarkan perkauman, mereka yang percaya PRU14 merupakan titik permulaan untuk membina kesejahteraan dan keamanan untuk semua, dan rakyat yang mahukan Malaysia berdiri teguh di mata dunia, semua perlu berganding bahu dan membentuk satu gerakan untuk menangkis strategi gerakan UMNO – PAS dan MCA – MIC yang berbaur perpecahan dan perkauman.

Selain daripada kebanyakan rakyat di Semenanjung Malaysia, saya memahami saudara-saudara kita di Sabah dan Sarawak, biar Muslim mahupun bukan Muslim, berpadangan jauh ke arah Malaysia Baharu yang inklusif, prihatin, dan murah hati: negara yang menolak pelampau agama dan menggalakkan perpaduan.

Kedua-dua UMNO-PAS dan MCA-MIC cuba untuk menyemarakkan api perkauman. Gerakan Pakatan Harapan mewakili keamanan, kekuatan spiritual, toleransi antara agama, kesejahteraan, mobiliti sosial, dan kemajuan untuk semua.

PENGARAH PENDIDIKAN POLITIK KEBANGSAAN DAP
Ulasan oleh Liew Chin Tong di Kuala Lumpur pada hari Khamis, 7 Mac 2019