Semua rakyat Malaysia harus mendukung Perlembagaan dan menghormati semua agama di Malaysia, namun tidak perlu ada hukuman yang berlebihan seperti hukuman 10 tahun penjara terhadap seorang pengguna sosial media selepas didapati menghina Islam dan Nabi Muhammad

Semua rakyat Malaysia harus mendukung Perlembagaan dan menghormati semua agama di Malaysia, namun tidak perlu ada hukuman yang terlalu berat seperti hukuman 10 tahun penjara yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Kuching terhadap seorang pengguna media sosial kerana menghina Islam dan Nabi Muhammad.

Seperti yang dinasihati Menteri Hal Ehwal Undang-Undang, Hanipa Maidin, pengguna media sosial berkenaan harus merayu keputusan yang dibuat Mahkamah Sesyen Kuching tersebut.

Kemunculan media sosial telah membawa rakyat Malaysia ke sebuah zaman baru, di mana apa sahaja yang diperkatakan mereka di media sosial tidak lagi menjadi satu hal yang peribadi, tetapi sebaliknya boleh dihebahkan secara pantas kepada masyarakat umum.

Rakyat Malaysia harus senantiasa sedar akan penggunaan dan penyalahgunaan media sosial, yang mana boleh membawa impak yang begitu besar.

Rakyat Malaysia, tidak kira orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban atau Orang Asli harus membentuk sikap skeptikal dan sinis terhadap sebarang mesej yang diterima mereka di media sosial, tidak kira di Facebook, Twitter, Instagram atau Whatsapp, dan mempersoalkan setiap mesej tersebut: “adakah ini benar”, dan menyemak kesahihan mesej berkenaan sebelum berkongsi maklumat itu dengan orang lain.

Jika rakyat Malaysia, tidak kira orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban atau Orang Asli mampu membentuk sikap skeptikal dan sinis yang sedemikian dengan menyemak kesahihan setiap mesej, maka mereka tidak akan mudah menjadi mangsa politik toksik dan jahat berbaur pembohongan, kebencian, ketakutan, keagamaan dan keagamaan yang kini semakin menjadi-jadi di negara ini.

Saya bercakap berdasarkan pengalaman sebagai seorang mangsa media sosial. Baru-baru ini, pembohongan lapuk di media sosial dihidupkan kembali bagi memomokkan saya sebagai seorang yang kononnya anti-Melayu, anti-Islam, komunis, malah, dituduh mempunyai pertalian darah dengan Chin Peng; dituduh mendalangi rusuhan 13 Mei 1969, malah difitnah memimpin demonstrasi di Kuala Lumpur sambil melaungkan slogan anti-Melayu dan anti-Islam sedangkan saya sebenarnya tidak berada di Kuala Lumpur selepas Pilihan Raya Umum 10 Mei 1969.

Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, dakwaan politik toksik sedemikian didendangkan menerusi suara-suara songsang yang menuduh bahawa kononnya jika Pakatan Harapan menang pilihan raya tersebut, saya akan dilantik menjadi Perdana Menteri. Apabila fitnah dan pembohongan sedemikian dibuktikan tidak benar selepas 9 Mei 2018, pembohongan dan fitnah baharu pula direka untuk menuduh saya kononnya mempunyai kuasa yang besar dalam kerajaan Pakatan Harapan di Putrajaya, malah dituduh menjadikan Dr. Mahathir Mohamad, Anwar Ibrahim, Wan Azizah Wan Ismail dan Mohamad Sabu sebagai boneka.

Jika rakyat Malaysia boleh membentuk sikap skeptikal terhadap apa jua mesej yang diterima mereka di media sosial dan menyemak kesahihannya sebelum berkongsi maklumat tersebut dengan orang lain, ia akan menjadi langkah terpenting dalam menangani masalah penyalahgunaan media sosial di Malaysia.

AHLI PARLIMEN ISKANDAR PUTERI
Kenyataan media oleh Lim Kit Siang di Kuala Lumpur pada hari Ahad, 10 Mac 2019