Kenyataan membalas Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak mengenai pencemaran sumber air di Sungai Ichat

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak telah gagal memahami punca sebenar pencemaran sumber air di Cameron Highlands dengan tuduhan beliau terhadap pekebun-pekebun di Sungai Ichat.

Satu operasi penguatkuasaan oleh Kerajaan Negeri bermula 25 Februari lalu. Dalam operasi tersebut, sebanyak 61 buah kebun dengan keluasan 55 hektar terbabit dalam operasi itu melibatkan dua fasa. Sebanyak 11 kebun terlibat bagi fasa pertama yang dijangka berakhir pada pertengahan bulan ini. Fasa kedua pula akan melibatkan 50 kebun dan operasi penguatkuasaannya bermula pada April depan.

Dr Sallehuddin Ishak mendakwa bahawa kebun-kebun itu berada di muka sauk empangan Sungai Ichat yang 70 peratus air bersihnya disalurkan kepada penduduk Cameron Highlands.

Tuduhan Dr Sallehuddin Ishak adalah tidak tepat kerana sungai yang membekalkan air kepada Loji Rawatan Air Kuala Terla buat masa sekarang adalah Sungai Terla dan bukannya Sungai Ichat.

Tidak dinafikan bahawa Sungai Ichat mengalami pencemaran yang teruk. Namun demikian, saya perlu mengingati Dr Sallehuddin Ishak bahawa Kerajaan Negeri seharusnya terlebih dahulu menangani punca pencemaran sumber air di Sungai Terla dan bukannya Sungai Ichat.

Menurut satu kajian yang dilakukan oleh penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia yang bertajuk “Kesan aktiviti pembangunan tanah terhadap kawasan punca pengambilan air di Cameron Highlands”, kajian tersebut menunjukkan bahawa menunjukkan bahawa kawasan tadahan air Sungai Terla terganggu akibat aktiviti pembukaan tanah bagi tujuan penempatan dan pertanian dan seterusnya memberi tekanan kepada keseimbangan sumber alam di sekitarnya terutamanya terhadap sumber air di kawasan punca pengambilan air Sungai Terla. Manakala kawasan punca pengambilan air yang lain (Sungai Tringkap, Ulong, Burung dan kawasan hulu Sungai Bertam) tidak mengalami sebarang bentuk pembangunan guna tanah dan keseimbangan sumber alam sekitar pada umumnya masih kekal dan terpelihara.[1]

Oleh sedemikian, saya menyeru kepada Kerajaan Negeri supaya menghentikan Operasi Khas terhadap kebun-kebun di Sungai Ichat buat sementara dan mengadakan dialog bersama pekebun di situ untuk mencari “win-win solution” atau memberikan tempoh notis yang lebih panjang supaya pekebun boleh mengutip hasil terlebih dahulu.

Operasi Khas tersebut melibatkan 61 buah kebun dan beratusan keluarga yang telah mengusahakan kegiatan pertanian di situ turun-temurun, pihak Kerajaan Negeri perlu lebih berperikemanusian dan memberikan jalan keluar seperti penempatan semula kepada pekebun-pekebun itu.

Chiong Yoke Kong
ADUN Tanah Rata
Kenyataan media oleh Chiong Yoke Kong di Cameron Highlands pada hari Ahad, 10 Mac 2019